Isnin, 28 April 2008

LEMBAGA PENYATUAN DAN PEMULIHAN TANAH PERSEKUTUAN (FELCRA)

LEMBAGA PENYATUAN DAN PEMULIHAN TANAH PERSEKUTUAN (FELCRA) SEBAGAI EJEN PEMBANGUNAN TANAH PERTANIAN NEGARA

PENDAHULUAN

Pembangunan tanah merupakan satu kaedah atau pendekatan yang digunakan oleh kerajaan di dalam menjana kemajuan pendapatan negara selain bagi mengatasi masalah tanah – tanah luar bandar yang ekonomik tetapi terbiar. Selain daripada itu juga, pembangunan tanah – tanah pertanian juga harus diberi tumpuan agar tanah – tanah berkenaan boleh mengeluarkan hasil – hasilnya bagi memberi sokongan dalam bentuk bahan – bahan mentah kepada kilang – kilang perindustrian di Malaysia.

Masalah pergantungan terhadap sumber – sumber bahan mentah luar negara oleh kilang – kilang perindustrian Malaysia telah mengakibatkan negara terpaksa mengeluarkan peruntukkan perbelanjaan pada satu kadar jumlah tertentu yang mengakibatkan peruntukkan yang sepatutnya boleh digunakan untuk keperluan – keperluan negara yang lain mengalir keluar akibat dari tindakan yang kurang bijak tersebut. Malaysia merupakan negara yang kaya dengan hasil semulajadi. Ini adalah kerana hampir 60% dari keluasan negara adalah terdiri kawasan tanah luar bandar yang ekonomik yang mampu menghasilkan sumber mentah dari hasil pertanian.

Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan dari United Kingdom pada 31 Ogos 1957, ekonomi Malaysia pada ketika itu masih bergantung kepada sektor pertanian dengan menggunakan teknologi dan peralatan yang primitif. Walaubagaimanapun, selepas Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 1984-1985, sektor ekonomi Malaysia telah beralih kepada sektor perkilangan sehinggalah tahun 1997, apabila ekonomi Malaysia sekali lagi mengalami kemelesetan yang teruk yang mana nilai matawang Ringgit Malaysia telah jatuh dengan teruknya.

Akhirnya pada tahun 2004 dibawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi iaitu Perdana Menteri Malaysia yang kelima, beliau telah menggalakkan semula pertumbuhan sektor pertanian yang mana beliau ingin menjadikan sektor pertanian sebagai perniagaan. Dengan itu, pergantungan sektor pertanian akan diperkayakan lagi dan dimajukan sebagai sumber terpenting di dalam menjana ekonomi negara.

Bagi menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia, agensi – agensi pembangunan pertanian Malaysia seperti Felda, Felcra, Risda dan sebagainya diberi tanggungjawab bagi merealisasikan wawasan beliau. Oleh yang demikian, kesemua agensi – agensi pembangunan pertanian Malaysia haruslah diperkemaskan serta mempertingkatkan lagi struktur organisasi dan pentadbiran sesuai dengan keadaan semasa. Di dalam artikel ini, penulis ingin menghuraikan fungsi, peranan dan kepentingan Felcra di dalam memajukan dan membangunkan sektor pertanian negara.

SEJARAH DAN LATARBELAKANG FELCRA
Sejarah Penubuhan Felcra

Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (Felcra) telah ditubuhkan pada 1 April 1966 yang mana Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu Allahyarham Tun Abdul Razak Bin Dato’ Hussein. Felcra telah ditubuhkan dibawah satu peruntukkan undang – undang yang dikenali sebagai Akta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan 1966. Secara dasarnya, penubuhan Felcra ini telah dibuat sebelum perwartaan Akta berkenaan. Melalui Siaran Akhbar Berita Harian yang bertarikh 21 September 1964 yang mana Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengumumkannya pada 20 September 1964.

Penubuhan Felcra adalah bertujuan untuk mengatasi masalah – masalah penganugerahan tanah – tanah oleh kerajaan kepada rakyat tanpa sebarang bantuan untuk meningkatkan pendapatan masyarakat desa khususnya di dalam memajukan tanah – tanah berkenaan bagi tujuan pertanian. Selain itu, masalah pewarisan tanah – tanah oleh masyarakat desa yang mana keluasan tanah – tanah berkenaan semakin kecil sehingga tidak ekonomik serta tidal dapat membantu masyarakat desa di dalam meningkatkan hasil pengeluaran pertanian. Akibatnya, banyak tanah – tanah desa yang terbiar yang tidak boleh dimajukan dengan pertanian.

Selain itu, penguatkuasaan peruntukkan – peruntukkan dibawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 juga memainkan peranan penting di dalam pembukaan tanah – tanah desa untuk tujuan pertanian. Felcra juga memainkan peranan pentingnya di dalam pengambilalihan rancangan – rancangan tanah kerajaan negeri yang boleh dianggap tidak berjaya dan seterusnya program – program pembangunan tanah – tanah pertanian ini diserahkan kepada Felcra.

Secara amnya, Felcra bertindak sebagai salah sebuah agensi “Catalyst” kepada pembangunan luar bandar. Agensi “Catalyst” adalah bermaksud sebuah agensi yang bersifat “jambatan” atau “orang tengah” yang mana Felcra akan memberi khidmat nasihat antara 2 pihak iaitu Kerajaan Negeri (pihak berkuasa didalam pentadbiran tanah – tanah di dalam sesebuah negeri) dan golongan peneroka (peserta yang dipilih bagi membangun tanah dan dibantu oleh pihak Felcra).

Objektif Penubuhan Felcra

Objektif utama penubuhan Felcra adalah bertujuan untuk mengurangkan masalah kemiskinan serta jurang pendapatan antara masyarakat desa dan bandar. Dalam konteks ini, Felcra berperanan untuk mewujudkan skim pembangunan tanah – tanah pertanian di kawasan luarbandar, memberi latihan dan kemahiran kepada masyarakat desa di dalam memajukan tanah – tanah pertanian serta memperkenalkan sistem pemberian saham kepada golongan ini yang mana kadarnya adalah bergantung kepada keluasan tanah – tanah yang dimiliki oleh peserta. Selain itu juga, Felcra juga telah mewujudkan satu skim rancangan pembangunan tanah pertanian yang dikhususkan kepada golongan belia desa yang tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap melalui Program Rancangan Tanah Belia.

3 tahun selepas penubuhan Felcra, negara telah diancam dengan kejadian rusuhan kaum yang dikenali “Tragedi 13 Mei” yang mana keadaan negara menjadi kacau bilau akibat pergaduhan berkenaan. Masalah ini wujud kerana masalah ketidakseimbangan pendapatan serta jurang pendapatan yang ketara antara masyarakat Malaysia pada ketika itu. Selain itu juga, amalan ekonomi semasa era penjajahan British masih diamalkan yang mana pengenalan ekonomi adalah berteraskan kepada kaum yang mana kaum Melayu dikenali melalui amalan ekonomi pertanian desa, masyarakat Cina pula dikaitkan dengan amalan ekonomi perlombongan dan perniagaan di bandar – bandar utama dan masyarakat India pula bekerja di ladang – ladang pertanian milik syarikat – syarikat Eropah yang telah bertapak di Malaysia sejak sekian lama. Akibat dari masalah ketidakseimbangan amalan ekonomi di Malaysia pada ketika itu, rusuhan kaum yang melibatkan masyarakat Melayu dan Cina telah tercetus yang mana masyarakat Cina merupakan satu golongan masyarakat yang mempunyai tingkat pendapatan yang tinggi berbanding dengan masyarakat Melayu.

Rentetan dari peristiwa berkenaan, Parlimen yang dibentuk pada ketika itu telah dibubarkan dan digantikan dengan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang bertujuan untuk memulihkan keadaan negara pada ketika itu. Disamping itu juga, Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan dengan menjadikan 2 matlamat utamanya iaitu Membasmi Kemiskinan dan Menyusun Semula Masyarakat bagi mengatasi masalah ketidakseimbangan ekonomi dan hubungan kaum – kaum di Malaysia. Selain itu, Felcra juga telah memainkan peranannya yang penting di dalam memenuhi 2 matlamat DEB bagi meningkatkan pendapatan masyarakat Bumiputera pada ketika itu melalui program – program pembangunan tanah.

Matlamat awal penubuhan Felcra pada tahun 1966 adalah untuk membangunkan sektor luar bandar dengan membantu masyarakat luar bandar untuk menyertai aktiviti – aktiviti ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup serta nilai kehidupan mereka melalui penglibatan masyarakat di dalam bidang pertanian.

Pengkorporatan Felcra

Setelah 30 tahun Felcra telah menyumbang kearah pembangunan tanah – tanah luar bandar, pada 1 September 1997 Felcra telah dikorporatkan dan dikenali sebagai Felcra Berhad. Status Felcra pada awal penubuhannya sehingga 1997, telah bertukar dari sebuah Badan Berkanun Persekutuan kepada sebuah Syarikat Korporat Milik Penuh Kerajaan (juga dikenali sebagai Syarikat Kaitan Kerajaan – GLC). Dengan penukaran status berkenaan, Felcra telah dibolehkan untuk melibatkan diri di dalam bidang – bidang pertanian yang baru selaras dengan aspirasi pembangunan nasional.

Dengan berasaskan kepada pengalaman – pengalaman pada masa lalu, Felcra Berhad kini sedang memperlbagaikan bidang – bidang kegiatannya melalui penyertaan Felcra di dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan serta bidang – bidang perniagaan yang lebih bersifat global.

Felcra Berhad berhasrat untuk menjadi sebuah konglomerat yang berjaya disamping mencipta sektor luar bandar yang lebih dinamik, menarik dan menguntungkan selaras dengan strategi operasi yang mengimbangkan antara program yang berorientasikan keuntungan dan program obligasi social.

Pengkorporatan Felcra selepas September 1997 adalah tertakluk kepada peruntukkan – peruntukkan di dalam Akta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Negara (Penggantian dan Pembubaran) 1997.

Misi, Visi dan Objektif Korporat Felcra

Sejajar dengan pengkorporatan Felcra pada September 1997, matlamat dan fungsi – fungsi asal penubuhannya masih tidak berubah sebagaimana yang dibentuk pada awal penubuhan Felcra. Walau yang demikian sejak pengkorporatan, Felcra telah membentuk misi, visi dan objektif korporatnya yang tersendiri sejajar dengan keperluan dan kehendak semasa.

Misi korporat utama Felcra adalah :-

a) Memegang falsafah “Peserta Bersyukur No. 1” dan terus berkembang bersama mereka dengan “Pertumbuhan dengan Ekuiti” disamping mengurus, menjaga serta memegang amanah kumpulan sasar iaitu Masyarakat Peserta;
b) Melaksanakan program obligasi sosial dan membangunkan semula ladang – ladang yang sedia ada kepada sektor yang lebih menguntungkan; dan
c) Mempelbagaikan aktiviti – aktiviti yang menguntungkan dan dalam masa yang sama merancang dan melaksanakan program yang berorientasikan eksport serta berazam mencapai identity konglomerat yang berjaya.

Visi Korporat Felcra adalah untuk kekal sebagai sebuah “Plantation House No. 1” dan terus berkembang bersama aktiviti – aktiviti yang berkaitan.

Objektif Korporat Felcra adalah :-

a) Memberi nilai pulangan yang tinggi ke atas projek – projek yang dibangunkan,
b) Meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar,
c) Memperbaiki tahap produktiviti melalui kecekapan dan teknologi pengurusan terkini,
d) Memperluaskan teknologi penyatuan dan pengurusan tanah ke luar negara, dan
e) Mempertingkatkan “Economic Value Added” syarikat.

Dengan adanya Misi, Visi dan Objektif Korporat ini, Felcra akan mampu untuk menjadi sebuah agensi nukleus pembangunan luar bandar yang bersifat global serta berdayasaing di peringkat antarabangsa.

FUNGSI – FUNGSI DAN PERANAN FELCRA

Fungsi dan peranan Felcra telah termaktub di dalam Akta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Akta Parlimen No. 22 Tahun 1966) yang mana Felcra boleh untuk memulih atau membangunkan :-

a) tanah – tanah melalui inisiatifnya yang sendiri
b) tanah – tanah kerajaan negeri melalui kelulusan yang diperolehi dari kerajaan negeri
c) tanah – tanah kerajaan negeri atas permintaan kerajaan negeri
d) Mana – mana tanah milik kerajaan negeri (termasuklah tanah – tanah yang dikategorikan sebagai sebuah kawasan penempatan berkelompok), dan
e) Tanah – tanah milik persendirian atas permintaan pemilik tanah dan bersetuju dengan syarat – syarat yang telah dipersetujui antara pemilik dan Felcra
f) mana – mana tanah yang tidak dinyatakan diatas.

Selain dari membangun dan memulih tanah – tanah bagi tujuan pembangunan pertanian, Felcra juga telah diberi peruntukkan tambahan lain dibawah Akta ini bagi tujuan – tujuan berikut :-

a) Felcra telah diberi kuasa dan tanggungjawab bagi tujuan pemulihan dan penyatuan tanah – tanah bagi tujuan pertanian.
b) Memansuhakn mana – mana fungsi dan peranannya sebagaimana yang dinyatakan diatas bagi tujuan untuk mempertingkatkan keberkesanan Felcra di dalam program penyatuan dan pemulihan tanah – tanah sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta.

Sejajar dengan peruntukkan undang – undang sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Akta ini, Felcra telah memulakan projek pembangunan tanah – tanah desa bagi tujuan pertanian. Dengan merujuk kepada kandungan yang dinyatakan di dalam Laporan Tahunan Felcra Pertama, pihak Felcra telah memulakan program pemulihan tanah di 4 kawasan Rancangan Tanah Pinggir sebagai rancangan percubaan bagi membolehkan pihak Felcra untuk mempelajari dan memperolehi pengalaman awalnya sebelum melaksanakan program – program pembangunan, penyatuan dan pemulihan tanah – tanah yang lain.

Rancangan pemulihan tanah yang pertama yang telah dijalankan oleh pihak Felcra ialah Rancangan Tanah Pinggir Simpang Renggam (Kluang, Johor), Rancangan Tanah Pinggir Ayer Hitam (Kuala Pilah, Negeri Sembilan), Rancangan Tanah Pinggir Gong (Temerloh, Pahang) dan Rancangan Tanah Pinggir Kampung Rasau A (Slim River, Perak). Keseluruhan program pemulihan tanah – tanah berkenaan adalah lebih kurang 4,265 hektar dan melibatkan 547 orang peserta.

KONSEP PEMBANGUNAN TANAH OLEH FELCRA

Di dalam perlaksanaan program pembangunan tanah, Felcra mempunyai pendekatannya yang tersendiri. Sejajar dengan penubuhan Felcra pada tahun 1966, konsep pembangunan tanah yang diperkenalkan oleh Felcra adalah berbentuk pembangunan tanah yang bersepadu. Dalam konteks ini, kewujudan Felcra tidak hanya untuk pembangunan tanah – tanah di kawasan luar bandar yang tidak produktif menjadi sebuah tanah pertanian yang produktif tetapi Felcra juga menyumbang ke arah pembangunan sosial dan minda masyarakat luar bandar yang merupakan pemilik – pemilik tanah berkenaan yang kemudiannya dikenali sebagai peserta.

Kaedah Pembangunan Tanah

Sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam tajuk sebelumnya, fungsi utama Felcra adalah untuk melaksanakan program – program utama pembangunan tanah yang melibatkan aktiviti – aktiviti penyatuan dan pemulihan tanah.

a) Penyatuan Tanah

Tujuan utama bagi perlaksanaan program penyatuan tanah adalah untuk memastikan tanah – tanah yang terlibat dengan pembangunan pertanian menjadi lebih ekonomik. Di dalam konsep penyatuan ini, kaedah atau pendekatan yang digunakan oleh Felcra adalah melalui usaha penyatuan tanah dari segi pengurusan tanah – tanah bermilik yang terbiar bagi tujuan untuk memajukan melalui perlaksanaan program pertanian yang bersepadu melalui pengurusan Felcra. Perpindahan penduduk dari antara kaum dan wilayah maju adalah merupakan salah satu pendekatan Felcra kearah usaha – usaha bagi tujuan penyatuan kawasan – kawasan yang ditinggalkan itu supaya dapat dimajukan, ditingkatkan hasil pengeluarannya dan disatukan.

b) Pemulihan Tanah

Dari segi program pemulihan tanah – tanah, kegiatan utama Felcra adalah lebih tertumpu kepada usaha bagi memajukan tanah – tanah terbiar yang terdapat di sekitar kawasan – kawasan luar bandar di Malaysia terutama sekali di kampung – kampung tradisional. Ianya adalah lebih bertujuan bagi meningkatkan pendapatan dan daya pengeluaran pemilik tanah yang berkenaan disamping untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara ini.

Berdasarkan kepada kedua – dua kaedah pembangunan tanah yang dilaksanakan oleh Felcra, terdapat satu lagi sistem pengurusan yang digunapakai oleh pihak Felcra. Sistem ini dikenali sebagai “sistem saham” yang mana ia adalah bertujuan untuk memperladangkan kawasan – kawasan pertanian secara kolektif dan meningkatkan taraf dan daya pengeluaran pekebun – pekebun kecil bagi menjadikan mereka “pemilik – pemilik atau pemegang – pemegang saham ladang” dengan berasaskan kadar pemilikan tanah masing – masing. Kaedah perlaksanaan sebegini telah mewujudkan pengurusan secara berpusat yang mana ia dikendalikan oleh Felcra.

PROGRAM DAN AKTIVITI PEMBANGUNAN TANAH FELCRA
Pemulihan Tanah

Pada peringkat awal penubuhan Felcra, agensi ini diberi tanggungjawab untuk memberi tumpuan kepada usaha – usaha untuk memulihkan semula rancangan – rancangan tanah kerajaan yang gagal sama ada sebahagian atau keseluruhan yang ditinggalkan oleh peserta – peserta yang mana pada ketika itu pokok getah biasa tidak mampu untuk menghasilkan pengeluaran getah yang banyak dan baik. Ini disebabkan kedudukannya di dalam kawasan belukar dan hutan tebal. Usaha ini adalah selaras dengan dasar kerajaan pada ketika itu untuk meningkatkan taraf kehidupan penduduk – penduduk di kawasan luar bandar melalui peningkatan hasil pengeluaran tanaman bagi setiap peserta dan secara tidak langsung dapat mempertingkatkan dan memperbaiki kebolehan peserta untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Pihak Felcra telah membuat kajian terhadap keadaan tanah bagi sesuatu kawasan pertanian yang meliputi jangkaan pendapatan bersih setiap keluarga peserta sekiranya kawasan pertanian berkenaan diambilalih untuk tujuan pemulihan. Kajian dan penilaian ini adalah penting kerana mengikut dasar Felcra, perbelanjaan pemulihan yang dikeluarkan bagi sesuatu kawasan akan dikenakan kepada peserta – peserta rancangan tanah adalah berbentuk pinjaman dan ianya dikutip secara beransur – ansur beserta faedah pinjaman dalam tempoh 9 tahun setelah rancangan itu mengeluarkan hasil pertanian. Oleh yang demikian, sekiranya perbelanjaan pemulihan tanah ini melebihi pulangan pelaburan modal selepas penyiasatan dan kajian yang dijalankan, Felcra tidak akan mengambil alih kawasan pertanian tersebut untuk tujuan pemulihan.

Umumnya, kerja – kerja pemulihan tanah ini akan dijalankan oleh pemborong – pemborong yang mana pihak Felcra wajid mengambil sebilangan pekerja – pekerja yang terdiri dari peserta – peserta rancangan itu sendiri atau pihak Felcra sendiri akan menjalankan kerja – kerja tersebut dengan menggunakan khidmat peserta – peserta rancangan tanah sebagai pekerja atau dengan menggunakan buruh – buruh tempatan. Felcra juga menyediakan pegawai – pegawai pengurusan yang dibantu oleh penyelia dan pembantu – pembantu luar untuk mengawal dan menentukan kerja – kerja pemulihan dan pengurusan rancangan tanah dapat berjalan dengan lancar dan teratur.

Sekiranya mana – mana rancangan tanah diambilalih oleh Felcra, kedudukan peserta – peserta rancangan tanah berkenaan tidak berubah yang mana peserta – peserta lama dari rancangan tanah kerajaan secara automatik menjadi peserta rancangan pemulihan tanah Felcra dan mereka berhak keatas hakmilik lot tanah masing – masing. Mereka diberi keutamaan bagi mendapatkan peluang – peluang untuk bekerja di dalam rancangan tanah bagi tujuan untuk menambah pendapatan semasa rancangan tanah tersebut dalam proses pemulihan.

Rancangan Tanah Pinggir

Felcra telah memulakan pembukaan dan memajukan rancangan – rancangan tanah pinggir pada tahun 1970 selepas Kerajaan Persekutuan menamatkan pemberian bantuan pinjamannya kepada kerajaan – kerajaan negeri yang mana program pembukaan dan pemajuan rancangan tanah ini telah diberikan kepada Felcra. Secara amnya, konsep pembangunan dan pembukaan Rancangan Tanah Pinggir Felcra adalah tidak berubah dengan konsep pembukaan Rancangan Tanah Pinggir dibawah kelolaan Kerajaan Negeri.

Konsep pembukaan rancangan tanah pinggir oleh kerajaan negeri adalah berbentuk pembukaan tanah – tanah kerajaan di kawasan pinggir kampung – kampung tradisional yang bertujuan untuk menampung bilangan penduduk – penduduk di dalam lingkungan 3 batu yang mana kawasan ini mempunyai tanah yang tidak ekonomik tanpa perlu menyediakan kemudahan perkampungan. Setiap peserta akan diberi tanah dengan keluasan tidak lebih dari 6 ekar.

Kaedah perlaksanaan rancangan tanah pinggir antara pengurusan kerajaan negeri dan Felcra adalah berbeza yang mana kaedah yang dilaksanakan oleh Felcra adalah berbentuk estet. Peserta – peserta Felcra tidak dibahagikan lot secara individu untuk dikerjakan di semua peringkat pembangunan tanah, sebaliknya diberikan hak dalam bentuk saham yang mempunyai nilai sama dengan 6 ekar tanah tanaman getah atau kelapa sawit.

Penebusan Tanah – Tanah Simpanan Melayu

Pada tahun 1971, kerajaan telah menyediakan kemudahan kepada pemilik – pemilik tanah simpanan Melayu untuk menebus kembali tanah mereka yang dicagar atau dipegang oleh orang – orang bukan Melayu melalui agensi Felcra. Pada 13 Jun 1972, Jemaah Menteri telah memutuskan perkara – perkara berikut :-

a) Kerajaan menyediakan kemudahan bagi menebus Tanah Simpanan Melayu yang dipegang oleh orang bukan Melayu,
b) Felcra diarahkan untuk menubuhkan sebuah unit khas bagi tujuan penebusan tersebut melalui kerjasama dengan Biro Bantuan Guaman bagi menyediakan khidmat nasihat kepada pemilik – pemilik tanah yang berminat.
c) Bank Pertanian Malaysia akan menyediakan kemudahan kredit bagi tujuan pinjaman untuk penebusan tanah – tanah berkenaan.
d) Kesemua perkara yang diputuskan diatas hendak diumumkan.

Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri, Felcra telah menubuhkan Jabatan Penebusan Tanah dengan menggunakan segala kemudahan yang ada dengan menjalin kerjasama dengan agensi – agensi kerajaan lain seperti Biro bantuan Guaman dan Bank Pertanian Malaysia. Khidmat dan bantuan yang diberi adalah seperti berikut :-

a) Memberi khidmat Bantuan Guaman keopada pemilik – pemilik tanah rizab Melayu yang dipegang oleh Bukan Melayu yang mana ianya tidak sah disisi undang – undang.
b) Menebus tanah yang dipegang oleh Bukan Melayu bagi kes yang sah disisi undang – undang.

Bantuan Khidmat Guaman adalah diberi secara percuma dan dianggap sebagai pinjaman yang tertakluk kepada syarat – syarat berikut :-

a) Tanah yang dikategorikan sebagai Tanah Rizab Melayu oleh Enakmen Rizab Melayu.
b) Tanah Rizab Melayu yang dipegang oleh Bukan Melayu

Jumlah pinjaman yang diberi adalah tidak melebihi 75% dari nilai pasaran tanah berkenaan. Ini adalah bertujuan untuk memastikan pemohon berupaya untuk membayar balik pinjaman melalui hasil yang diperolehi dari tanah berkenaan. Biasanya ansuran bayaran balik pinjaman adalah tidak lebih dari separuh pendapatan bersih yang diperolehi dan dibuat setiap 6 bulan bagi tanaman padi dan setiap bulan bagi tanaman kelapa sawit. Tempoh bayaran balik pinjaman adalah tidak lebih dari 15 tahun dan faedah yang dikenakan adalah 7% setahun yang mana kadar faedah tersebut adalah sama dengan kadar faedah yang dikenakan oleh Bank Pertanian Malaysia kepada Felcra.

Sehingga tahun 1978, Felcra telah menerima 293 permohonan tetapi hanya 23 permohonan sahaja yang diluluskan yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Jumlah keseluruhan pinjaman yang dikeluarkan adalah RM 44,450. Kebanyakkan permohonan yang diterima adalah dari pemohon – pemohon dari Negeri Kedah yang mana peruntukkan undang – undang Tanah Rizab Melayu di negeri ini membenarkan tanah – tanah tersebut digadai kepada orang – orang Bukan Melayu.

Rancangan Tanah Belia

Rancangan tanah ini telah dimulakan oleh Felcra pada tahun 1972 yang mana Felcra telah diarahkan untuk membuka kawasan seluas 60,000 ekar di dalam Rancangan Malaysia Kedua yang mana melibatkan pembukaan tanah setiap tahun seluas kira – kira 12,000. Walaubagaimanapun, disebabkan perubahan dasar dan arahan Majlis Tindakan Negara, hanya 10 rancangan seluas 18,964 ekar sahaja yang dibuka sepanjang tahun 1972 hingga 1980.

Perancangan dan perlaksanaan Rancangan Tanah Belia ini dibuat dengan berasaskan kepada konsep menggalakkan penyertaan bersama belia di dalam memajukan rancangan – rancangan tanah ini dengan menggunakan pendekatan sistem saham kerjasama yang serupa dengan konsep Rancangan Tanah Pinggir.

Kriteria pemilihan peserta bagi Rancangan Tanah Belia adalah seperti berikut :-

a) Remaja yang berusia di antara 17 hingga 23 tahun
b) Tidak mempunyai pekerjaan tetap
c) Berminat di dalam bidang pertanian
d) Mempunyai kelulusan akademik yang rendah

Setelah kesemua kriteria – kriteria tersebut dipenuhi oleh seseorang pemohon, peserta akan dikehendaki mengikuti latihan rohani dan jasmani di Pusat Latihan Belia Pelupur Negara Dusun Tua. Peserta – peserta juga akan mengikuti latihan – latihan di dalam bidang asas dan kemahiran pembangunan tanah dan pertanian sebelum mereka ditempatkan di rancangan – rancangan tanah belia. Penyertaan remaja pada ketika itu di dalam program ini amat menggalakkan.

Bagi memastikan keselesaan peserta – peserta Rancangan Tanah Belia, kemudahan – kemudahan seperti asrama, bekalan air, elektrik, kesihatan dan perubatan, dewan, surau, padang bola dan alatan permainan disediakan. Pihak Felcra telah mengaturkan aktiviti – aktiviti seperti kerja – kerja ladang, asrama dan makanan. Ini adalah bertujuan untuk memastikan peserta dipenuhi dengan aktiviti – aktiviti yang bermanfaat serta teratur. Penyediaan makanan adalah disediakan oleh tukang masak Felcra sambil dibantu oleh beberapa peserta yang lain. Setiap peserta diperuntukkan RM 50.00 untuk bayaran makanan harian dan wang poket sebanyak RM 15.00 untuk membeli keperluan – keperluan lain. Bagi menjamin kejayaan rancangan ini, kerja – kerja menebas, menebang, penyediaan kawasan penanaman dan penanaman pokok adalah dibuat oleh kontraktor yang dilantik oleh Felcra melalui tawaran kontrak. Manakala kerja – kerja selanjutnya akan dilaksanakan oleh peserta – peserta.

Pemilihan penempatan Rancangan Tanah Belia adalah berdekatan dengan jalanraya atau mempunyai akses tetapi jauh dari kawasan perkampungan yang berdekatan. Felcra juga memperuntukkan sebuah kawasan perkampungan khas bagi kegunaan pada masa hadapan. Felcra juga telah menyusun dan merancang bagi penyediaan tapak rumah, infrastruktur dan kemudahan sosial dan awam untuk kegunaan peserta setelah mereka setelah berumahtangga dan berkeluarga.

Projek – projek ekonomi desa seperti penternakan ayam, ikan dan tanaman kontan juga digalakkan dan diatur oleh Felcra sebagai aktiviti belia di luar waktu bekerja sama ada secara perseorangan atau berkumpulan. Bantuan pinjaman sebanyak RM 500 juga disediakan bagi setiap rancangan disalurkan sebagai modal awalan oleh pengurusan Felcra itu. Penentuan aktiviti – aktiviti sampingan ini adalah ditentukan sendiri oleh peserta – peserta tersebut sambil dibantu oleh pegawai dan pengurusan Felcra di dalam penyediaan panduan aktiviti – aktiviti berkenaan.

Untuk menjamin kejayaan peserta dan projek ini, kepentingan hubungan, kerjasama secara berfungsi dan organisasi antara pihak Felcra dan peserta – peserta belia adalah perlu. Oleh yang demikian, dua jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kemajuan Rancangan dan Jawatankuasa Hal Ehwal Belia telah dibentuk.

a) Jawatankuasa Hal Ehwal Belia

Jawatankuasa Hal Ehwal Belia telah ditubuhkan di peringkat Ibupejabat dan berperanan untuk memberi khidmat nasihat dan sebagainya untuk kebaikan dan kepentingan peserta – peserta. Komposisi bagi jawatankuasa ini adalah seperti berikut :-
i. Pengarah Rancangan Tanah Belia bertindak sebagai pengerusi
ii. Wakil dari Kementerian Kesihatan
iii. Wakil Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam
iv. Wakil Majlis Belia Malaysia

b) Jawatankuasa Kemajuan Rancangan

Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi setiap Rancangan Tanah Belia yang mana ia bertujuan untuk membolehkan peserta – peserta rancangan mengemukakan dan memberikan idea, cadangan, pandangan, aduan dan sebagainya bagi tujuan kebaikan dan kemajuan rancangan untuk kepentingan bersama. Jawatankuasa ini dianggotai oleh kakitangan – kakitangan Felcra dan wakil – wakil peserta belia yang dilantik atau dipilih.

Sejak dari tahun 1972, sebanyak 8 buah negeri di Malaysia yang terlibat di dalam perlaksanaan program Rancangan Tanah Belia Felcra iaitu Johor, Selangor, Perak, Terengganu, Pahang dan Sabah. Di dalam program pembangunan rancangan tanah belia ini, pihak Felcra dengan kerjasama kerajaan – kerajaan negeri telah mengenalpasti kawasan – kawasan yang terpilih bagi perlaksanaan program berkenaan. Walaupun demikian, terdapat perbezaan strategi perlaksanaan antara Felcra dan kerajaan – kerajaan negeri di dalam pembangunan rancangan tanah belia ini. Perbezaan yang dimaksudkan adalah dari segi faktor dasar, kewujudan sumber – sumber semulajadi dan masa. Jadual dibawah ini menunjukkan Rancangan – Rancangan Tanah Belia yang telah dibuka oleh pihak Felcra :-

a) Negeri Perak Darul Ridzuan

Bil
Nama Rancangan Tanah Belia
Saiz (hektar)
Jenis Tanaman
Tahun Pelancaran
Bil. Peserta (orang)
1.
Lekir I
1,052
Getah
1972
145
2.
Lekir II
304
Kelapa Sawit
1980
67
3.
Nasarudin MR I
206
Getah
1973
42
4.
Nasarudin MR II
478
Kelapa Sawit
1977
106
5.
Nasarudin MR III
405
Kelapa Sawit
1978
90
6.
Nasarudin MR IV
478
Kelapa Sawit
1978
90
7.
Nasarudin MR V
405
Kelapa Sawit
1979
90
8.
Nasarudin MR VI
405
Kelapa Sawit
1979
90

b) Negeri Kedah Darul Aman

Bil
Nama Rancangan Tanah Belia
Saiz (hektar)
Jenis Tanaman
Tahun Pelancaran
Bil. Peserta (orang)
1.
Belimbing Tolak
483
Getah
1973
94
2.
Weng I
687
Kelapa Sawit
1980
153

c) Negeri Sembilan Darul Khusus

Bil
Nama Rancangan Tanah Belia
Saiz (hektar)
Jenis Tanaman
Tahun Pelancaran
Bil. Peserta (orang)
1.
Lakai
849
Getah
1973
154
2.
Rompin II
688
Getah
1977
212

d) Negeri Melaka

Bil
Nama Rancangan Tanah Belia
Saiz (hektar)
Jenis Tanaman
Tahun Pelancaran
Bil. Peserta (orang)
1.
Ramuan China
835
Getah
1972
157

e) Negeri Johor Darul Takzim

Bil
Nama Rancangan Tanah Belia
Saiz (hektar)
Jenis Tanaman
Tahun Pelancaran
Bil. Peserta (orang)
1.
Sungai Ara
1,497
Kelapa Sawit
1973
300
2.
Bukit Kepong
2,277
Kelapa Sawit
1972 & 1977
500

f) Negeri Terengganu Darul Iman

Bil
Nama Rancangan Tanah Belia
Saiz (hektar)
Jenis Tanaman
Tahun Pelancaran
Bil. Peserta (orang)
1.
Bukit Kapah I
951
Kelapa Sawit
1972
175
2.
Keruak I
872
Getah
1973
100
3.
Bukit Kapah II
435
Getah
1973
80
4.
Sri Bandi I
332
Kelapa Sawit
1977
73
5.
Sri Bandi II
405
Kelapa Sawit
1977
90
6.
Sri Bandi III
607
Kelapa Sawit
1978
135
7.
Sri Bandi IV
433
Kelapa Sawit
1979
135
8.
Bukit Kapah III
433
Kelapa Sawit
1979
98
8.
Sri Bandi V
405
Kelapa Sawit
1979
90

g) Negeri Kelantan Darul Naim

Bil
Nama Rancangan Tanah Belia
Saiz (hektar)
Jenis Tanaman
Tahun Pelancaran
Bil. Peserta (orang)
1.
Panggong Lalat I
405
Getah
1978
90
2.
Panggong Lalat II
405
Getah
1979
90
3.
Panggong Lalat III
243
Getah
1980
54

h) Negeri Pahang Darul Makmur

Bil
Nama Rancangan Tanah Belia
Saiz (hektar)
Jenis Tanaman
Tahun Pelancaran
Bil. Peserta (orang)
1.
Pahang Tenggara I
638,594
Getah
1979
142
2.
Pahang Tenggara II
514,760
Getah
1979
114
3.
Pahang Tenggara III
404,686
Kelapa Sawit
1980
90
4.
Pahang Tenggara IV
404,686
Kelapa Sawit
1980
90
Sumber : Khairuddin Idris dan Shamsuddin Ahmad, 1992

Pembangunan Kampung Secara in-Situ

Rancangan ini telah dimulakan oleh Felcra pada tahun 1977 yang mana ia bertujuan untuk membangun semula kampung – kampung tradisional. Di dalam program ini, tanah – tanah pertanian di kampung berkenaan akan digunakan sepenuhnya oleh peserta – peserta bagi menjana pendapatan yang lebih baik dan penyusunan semula kawasan perumahan yang mana ia bertujuan untuk memudahkan segala bentuk kemudahan dan prasarana dapat disalurkan serta melaksanakan penyusunan kegiatan pertanian yang lebih bersistematik.

Matlamat utama pembangunan ini adalah :-

a) Memperbaiki taraf dan corak hidup masyarakat kampung tradisional melalui pengujudan kegiatan ekonomi yang dirancang serta mampu memberi pulangan yang optima kepada peserta.
b) Meningkatkan daya produktiviti faktor – faktor pengeluaran yang terdapat di kampung – kampung tradisional melalui pengaplikasian teknologi pertanian moden, penggunaan benih yang baik dan sistem pengurusan yang cekap.
c) Mewujudkan struktur sosial penduduk kampung tradisional yang progresif melalui galakan penyertaan bersama dan dapat menikmati kemudahan – kemudahan yang disediakan untuk kegunaan bersama.

Projek ini melibatkan penyatuan tanah kerajaan dan tanah milik individu yang mana ia melibatkan peruntukkan dibawah Seksyen 204A, Kanun Tanah Negara yang merujuk kepada Serah dan Berimilik Semula. Dalam konteks ini, peserta – peserta akan menyerahkan tanah mereka kepada Kerajaan Negeri dengan mengisi borang 12A dan 12B. Seterusnya, kerajaan negeri akan melupus semula tanah – tanah berkenaan untuk dimajukan sebagai sebahagian projek in-situ. Felcra akan memajukan kawasan tersebut dan mengagih semula kepada pemilik – pemilik tanah yang terlibat serta pegangan saham yang lebih ekonomik berbanding dengan tanah semasa pemilikan mereka dahulu.

Pada Mei 1978, Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara telah meluluskan satu peruntukkan khas sebanyak RM 5.09 juta bagi melaksanakan 3 projek perintis in-situ. Antara projek in-situ yang terawal adalah seperti berikut :-

Tempat
Negeri
Keluasan (Hektar)
Tahun
Kg. Teratak Batu
Kelantan
370
1978
Hulu Brang
Kelantan
272
1979
Kg. Kok
Kelantan
169
1980
Sumber : Md. Ariff Ariffin, 1996

Ketiga – tiga projek ini telah ditadbirkan dibawah sistem saham yang mana setiap peserta mendapat faedah dan memegang pemilikan tanah secara bersama dibawah pengendalian sistem pengurusan Felcra.

Rajang Area Security Command (RASCOM)

Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara pada 29 Mei 1978, Felcra telah memulakan projek RASCOM di Sarawak pada tahun 1979 yang mana pihak pengurusan Felcra dikehendaki melaksanakan Rancangan Pembangunan Tanah dan Penempatan Semula kawasan bagi tujuan keselamatan kerana pada ketika itu terdapat ancaman dari Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU). Jemaah Menteri telah bersetuju dengan syarat – syarat bagi kemasukan Felcra ke Sarawak melalui mesyuarat yang diputuskan pada 29 November 1978 yang merangkumi pindaan Akta dan syarat pembiayaan projek. Berikut adalah projek pembangunan pertanian RASCOM yang dilaksanakan oleh Felcra :-

Rancangan Penempatan Semula (RPS)
Tahun
RPS Nanga Tada
1979
RPS Nanga Ngungun
1979
RPS Nanga Jagau
1979
RPS Nanga Sekuau I
1982
RPS Nanga Sekuau II
1983
Sumber : Md. Ariff Ariffin, 1996

Matlamat penubuhan RPS di RASCOM adalah memastikan kawasan berkenaan bebas dari ancaman PKKU. Walaubagaimanapun pada 9 November 1994, Jemaah Menteri memutuskan projek RASCOM yang dilaksanakan oleh Felcra diserahkan kepada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).

Projek Keselamatan

Sejajar dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara yang bersidang pada 29 Mei 1978, Felcra diarahkan untuk memajukan projek di kawasan keselamatan. Keputusan mesyuarat berkenaan adalah seperti berikut :-

a) Melaksanakan rancangan – rancangan pembangunan di Semenanjung Malaysia bagi tujuan keselamatan.
b) Melaksanakan rancangan – rancangan penempatan semula tanah bagi penduduk – penduduk yang tinggal di kawasan terpencil dan berasingan bagi melindungi mereka dari ancaman subversif dan pengaruh Parti Komunis Malaysia (PKM).

Projek Penempatan Semula yang pertama diwujudkan di Pahang yang mana ia melibatkan kawasan – kawasan berikut :-

a) Rancangan Penempatan Semula Sg. Temua, Lipis.
b) Rancangan Penempatan Semula Ceroh, Raub.
c) Rancangan Penempatan Semula Jelu, Raub.

Projek ini telah dimajukan oleh Felcra dengan program penanaman getah dan kelapa sawit secara berperingkat sejak dari tahun 1982 dengan kawasan projek seluas 870 hektar.

Rancangan Tanah Orang Asli

Program ini melibatkan sebuah agensi kerajaan iaitu Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia yang mana Felcra berperanan untuk memaju dan memulihkan tanah – tanah dibawah rizab orang asli. Projek ini telah dimulakan pada 1976 melalui projek pemulihan Tanah di Redang Punggor yang mempunyai keluasan 162 hektar.

Program pembangunan tanah Orang Asli yang dilaksanakan oleh Felcra perlu mendapat kelulusan rasmi dari JHEOA. Selain itu, pihak Felcra juga dikehendaki membuat kerja – kerja perancangan awalan yang mana Felcra perlu mendapatkan laporan teknikal dari agensi – agensi dan jabatan – jabatan kerajaan yang berkaitan sebelum kawasan cadangan ini dimajukan.

Felcra telah memajukan kawasan Rizab Orang Asli seluas 11,129 hektar yang mana ia terbahagi kepada 37 projek Rizab Orang Asli (ROA) melibatkan kawasan seluas 6,428 hektar dan 9 buah projek Rancangan Penempatan Semula (RPS) yang melibatkan kawasan seluas 4,711 hektar.

Pembiayaan bagi projek ROA adalah melalui pinjaman yang diuruskan oleh Felcra dan Perbendaharaan Negara melalui syarta – syarat pembiayaan yang sama dengan projek – projek biasa yang dijalankan oleh Felcra. Bagi projek RPS, sumber pembiayaan diberi secara langsung dan ianya disalurkan secara berkala oleh JHEOA kepada Felcra.

Di dalam melaksanakan projek ini, ia adalah berdasarkan kepada memorandum yang dipersetujui secara bersama oleh Felcra dan JHEAO.

Projek Rancangan Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN)

Ia merupakan satu rancangan pembangunan tanah pertanian bersepadu yang meliputi aspek – aspek keselamatan, pembangunan sosio-ekonomi dan perang saraf terhadap anasir – anasir subversif. Projek ini dilaksanakan melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara MKN No. 11 yang dikeluarkan pada 5 Februari 1980 yang bertujuan untuk memperbaiki taraf sosio-ekonomi bai penduduk – penduduk yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand. Pada ketika itu, ancaman PKM adalah aktif. Matlamat jangkapanjang rancangan ini adalah untuk mengubah keadaan keselamatan dan taraf sosio-ekonomi kawasan – kawasan yang bersempadanan dengan Thailand bagi tujuan menjamin keselamatan kawasan berkenaan selain untuk memajukan ekonomi.

Penglibatan Felcra di kawasan KESBAN adalah tertumpu kepada negeri – negeri yang bersempadanan dengan Thailand seperti negeri Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan. Merujuk kepada keputusan Jemaah Menteri yang bertarikh 19 Disember 1979 yang mana rancangan KESBAN secara menyeluruh perlu dilaksanakan dengan harapan ancaman – ancaman PKM akan dapat dikurangkan dan keselamatan negara akan terjamin. Di dalam Arahan ini, kawasan projek rancangan KESBAN adalah merangkumi kawasan – kawasan yang berhampiran yang terletak dalam lingkungan 24 km dengan garis sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 573 km dari Perlis ke Kelantan. Selaras dengan keperluan ini, Felcra telah dipilih untuk menjadi agensi utama di dalam melaksanakan projek ini.

Pada tahun 1980 melalui arahan MKN, Felcra telah memajukan kawasan seluas 24,138 ekar tanah di dalam kawasan KESBAN dengan peruntukkan yang diluluskan sebanyak 22,084,000 yang meliputi pecahan sebanyak RM 16,591,000 yang diberi melalui pinjaman dan RM 5,493,000 yang diberi secara langsung sepanjang tahun 1981 – 1983. Di dalam Rancangan Malaysia ke-6, Felcra telah membangunkan 12 buah projek di negeri Kedah dan Perak yang meliputi kawasan seluas 3,240 hektar dengan tanaman getah. Bagi projek ini, ia melibatkan kos sebanyak RM 16,912,800.

Projek ini diurus sama seperti projek – projek Felcra yang lain, tetapi terdapat kelonggaran khas yang diberi oleh Perbendaharaan dari segi kos yang mana sekiranya kos pembangunan projek ini melebihi kos biasa di projek – projek luar kawasan KESBAN, kos berkenaan akan dianggap pembiayaan secara langsung.

Pembangunan Tanah Terbiar

Pada tahun 1978, Jabatan Perdana Menteri telah mengumpul dan mengenalpasti kawasan – kawasan luar bandar yang dikategorikan sebagai kawasan mundur yang merangkumi kawasan seluas 565,000 hektar di seluruh negara. Beberapa agensi pembangunan tanah dibawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah melaksanakan rancangan – rancangan pemulihan tanah termasuklah Felcra. Dalam program ini, Felcra telah memberi tumopuan terhadap projek – projek pemulihan tanah terbiar sejajar dengan kehendak arahan kerajaan bermula pada tahun 1984.

Felcra telah mendefinisikan tanah terbiar dengan mengambilkira faktor – faktor berikut :-

a) Tanah – tanah bermilik yang mempunyai pokok kurang dari 50% berbanding dengan bilangan optimum sebagaimana yang dinyatakan di dalam Syarat – Syarat Nyata di dalam Hakmilik Tanah.
b) Pokok – pokok yang melebihi usia ekonominya dianggap sebagai tidak produktif
c) Jangkaan pendapatan hasil tanaman mestilah melebihi 50% dari kadar optimum

Tujuan projek pemulihan tanah terbiar adalah untuk meningkatkan produktiviti tanah dan pemilik – pemilik supaya mereka memperolehi pendapatan yang melebihi dari garisan kemiskinan. Selain itu juga, ia adalah untuk mempertingkatkan produktiviti tanah per hektar dan akan mewujudkan sebuah ladang dibuat secara komersil melalui penanaman tanaman – tanaman komoditi. Kaedah ini adalah untuk memberi peluang kepada pemilik – pemilik tanah untuk memiliki sebuah ladang dan sekaligus dapat meningkatkan taraf sosio-ekonomi pemilik menjadi pemilik saham atau tanah yang berasaskan kepada keluasan tanah masing – masing yang dicarumkan ke dalam projek ini. Sebagai pemilik/pemegang saham, mereka akan menerima pendapatan dalam bentuk dividen dan sekiranya mereka boleh bekerja, mereka akan mendapat upah.

Program ini juga bertujuan untuk memindahkan teknologi perladangan kepada peserta – peserta projek dan mewujudkan kumpulan masyarakat peserta korporat serta menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara.

Projek Penyusunan Semula Kampung – Kampung (PPSK)

Projek ini dijalankan sebagai sebahagian daripada program halacara baru pembangunan kawasan luar bandar. Perlaksanaan program ini adalah melalui kerjasama dengan agensi – agensi pembangunan yang lain. Objektif perlaksaan program ini adalah untuk menyediakan penempatan secara tersusun dan teratur kepada peserta – peserta yang terlibat. Dengan perlaksanaan program ini, penyediaan perkhidmatan dan infrastruktur dapat disalurkan ke kawasan luar bandar. Peserta – peserta projek ini akan menjadi pekerja sepenuh masa di dalam rancangan yang terlibat dan sekaligus pendapatan peserta akan dapat dipertingkatkan melalui penerimaan upah dan pembahagian keuntungan projek.

Pendekatan perlaksanaan program PPSK adalah seperti berikut :-

a) Pembangunan Asas Ekonomi : Tanah – tanah ladang yang merangkumi tanah – tanah bermilik dan tanah kerajaan akan disatukan bagi menjadikannya sebuah estet yang mempunyai keluasan yang sesuai bagi memudahkkannya diurus dengan baik melalui kaedah perladangan dan pengurusan moden bagi meningkatkan taraf kecekapan. Kawasan ladang ini akan menjadi asas ekonomi peserta dan dengan ini pengembangan masyarakat melalui suntikan pelaburan akan dapat dijalankan.

b) Penyusunan Semula Kampung - Kampung : Ia merangkumi penyusunan semula kampung – kampung tradisional yang mundur supaya menjadi sebuah perkampungan yang teratur dan lengkap serta menjadi sebuah pusat perkhidmatan/pertumbuhan desa. Penentuan pusat perkhidmatan dan perumahan adalah berdasarkan kepada kedudukan yang strategic. Ini adalah bertujuan untuk memastikan suntikan ekonomi bagi masyarakat di kawasan sekitarnya dan berhampiran dapat dilaksanakan.

c) Penyediaan Kemudahan dan Infrastruktur : Kemudahan – kemudahan ini akan dibina yang mana ianya adalah sesuai dengan keperluan pusat perkhidmatan/pertiumbuhan sebagai kawasan tumpuan dan untuk memastikan kumpulan sasar dapat menerima pembangunan fizikal yang lengkap.

d) Pengembangan Ekonomi : Industri Desa, Perusahaan Kecil dan Kegiatan – kegiatan ekonomi yang lain yang sesuai akan dibangunkan sebagai usaha untuk mengembangkan aktiviti peserta – peserta projek. Usaha – usaha ini tidak hanya tertumpu kepada industri kebajikan tetapi berasaskan kepada keuntungan dan berorientasikan komersial.

e) Pembangunan Sosial Masyarakat : Ia merangkumi aspek – aspek pendidikan dan pembangunan masyarakat peserta yang diberi secara berperingkat – peringkat. Ini adalah bertujuan untuk mengembangkan program ekonomi kepada peserta – peserta program yang terlibat.

Bagi memastikan program PPSK ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan, penglibatan beberapa agensi dan jabatan kerajaan adalah diperlukan yang mana setiap agensi/jabatan berkenaan akan menyediakan peruntukkan masing – masing mengikut fungsi dan peranan. Pejabat Daerah bertindak sebagai penyelaras projek dan diikuti dengan agensi/jabatan berikut :-

Jabatan/Agensi
Kerajaan
Fungsi dan Peranan
Pejabat Daerah
Pembinaan Tapak Perkampungan
Pembinaan Masjid
Pembinaan Balairaya
Pembinaan TADIKA
Penyediaan Padang Bola
Penyediaan Kemudahan Telefon
Felcra
Penyediaan Tanah – Tanah Ladang
Pembinaan Rumah – Rumah Peserta
Jabatan Kerja Raya (JKR)
Pembinaan Jalan – Jalan Kampung
Penyediaan Kemudahan Bekalan Air
Tenaga Nasional Berhad (TNB)
Penyediaan kemudahan Bekalan Elektrik
Jabatan Kesihatan
Pembinaan Pusat Kesihatan Kecil
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa
Penyediaan Pelan Tatatur Tapak Kampung
Sumber : Md. Ariff Ariffin, 1996

Felcra telah berjaya mewujudkan 12 buah PPSK di 5 buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu di negeri Pahang, Melaka, Johor, Perak dan Terengganu, antaranya ialah :-

a) PPSK Salong dan Rumpun Makmur di Pahang
b) PPSK Bukit Sedandan dan Lembah Kesang di Melaka
c) PPSK Selat Bagan Nyior dan Bukit Tampoi di Kedah
d) PPSK Tebing Runtuh dan Dusun Panti di Johor
e) PPSK Changkat Sulaman, Sg. Durian dan Serigala di Perak
f) PPSK Nibong di Terengganu

Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) Seberang Perak

Pembangunan projek ini melibatkan kawasan – kawasan di Perak Tengah dan Selatan yang mana ia telah dimulakan sejak dari tahun 1976. Projek ini melibatkan usahasama antara Firma Perunding ESAMS (Malaysia) dan Howard Humphreys (Britain) yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia bagi menjalankan kajian di kawasan berkenaan. Hasil dari kajian ini, kawasan Seberang Perak telah dikenalpasti sesuai untuk ditanam dengan tanaman getah, kelapa sawit dan koko. Pada tahun 1978, Firma KPM Khidmat Sdn Bhd dengan kerjasama Snowy Mountain Engineering Corp. dari Australia telah dilantik bagi menjalankan kajian kemungkinan dari segi teknikal dan ekonomi yang merangkumi keperluan perairan, pengangkutan, pemprosesan dan pemasaran hasil tanaman.

Pembangunan kawasan ini adalah merangkumi kawasan – kawasan rancangan pertanian sedia ada yang disatukan dan ianya diletakkan dibawah satu pengurusan projek. Harapa kerajaan pada ketika itu adalah untuk meningkatkan pengeluaran hasil beras negara, menyediakan peluang pekerjaan baru dan untuk meningkatkan pendapatan peserta sejajar dengan pemodenan sektor pertanian. Pada peringkat awal, projek ini dilaksanakan oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan. Antaranya ialah :-

Jabatan/Agensi
Fungsi dan Peranan
Felcra
a) Pembangunan tanah bagi tanaman kelapa sawit dan padi.
b) Penyediaan perumahan dan penempatan peserta baru seramai 4,000 keluarga yang melibatkan kawasan seluas 742 hektar di Bandar Baru Seberang Perak
c) Penyediaan perumahan dan peserta yang sedia ada seramai 481 keluarga di Sg. Dedap
Jabatan Kerja Raya
(JKR)
a) Pembinaan sebahagian Lebuhraya Pantai Barat sepanjang 24 km
b) Pembinaan jalan utama sepanjang 53 km
c) Pembinaan jalan – jalan perkampungan sejauh 117 km
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)
a) Memperbaiki saliran utama sepanjang 121 km dan membina saliran kedua sepanjang 79 km.
b) Memperbaiki parit utama sepanjang 73 km dan membina parit kedua sepanjang 12 km.
c) Memperbaiki ban sedia ada sepanjang 66 km dan membina ban pencegah banjir sepanjang 29 km.
Lembaga Air Perak (LAP)
Menyediakan kemudahan bekalan air
Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP)
Membina dan menyediakan pusat – pusat komersil dan perniagaan di kawasan Bandar Baru Seberang Perak.
Tenaga Nasional Berhad (TNB)
Menyediakan kemudahan bekalan elektrik
Jabatan Pelajaran Negeri Perak
a) Membina 5 buah sekolah rendah
b) Membina 3 buah sekolah menengah
c) Menyediakan kemudahan – kemudahan pendidikan dan pelajaran yang berkaitan.
Jabatan Kesihatan
Menyediakan kemudahan kesihatan dan pembinaan Pusat Kesihatan
Jabatan Pertanian Negeri Perak
Menyediakan kemudahan Pusat Perkhidmatan Pertanian
Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)
Membina bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan
Pejabat Daerah Perak Tengah
Menyediakan kemudahan urusan pemberian dan pengeluaran hakmilik tanah dan projek – projek pembangunan luar bandar
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa
Menyediakan pelan tatatur tapak bagi perancangan pembangunan Bandar Baru di Kawasan Seberang Perak.
MARDI
Menjalankan kajian dan penyelidikan bagi tanaman padi.
Bank Pertanian Malaysia
Menyediakan kemudahan kredit dan pinjaman pertanian.
Polis DiRaja Malaysia (PDRM)
Membina dan menyediakan kemudahan Perkhidmatan Polis dan Ketenteraman Awam
KEMAS
Menyediakan kemudahan dan aktiviti bagi pembangunan masyarakat.dan pembinaan TADIKA
Jabatan Bomba dan Penyelamat
Membina Balai Bomba dan menyediakan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat di Kawasan Bandar Seberang Perak.
Pos Malaysia Berhad
Membina Pejabat Pos dan menyediakan Perkhidmatan Pos
BERNAS
Menyediakan perkhidmatan pemasaran padi dan beras.
Telekom Malaysia Berhad
Menyediakan kemudahan komunikasi dan Perkhidmatan Talian Tetap Telekom
Jabatan Perkhidmatan Haiwan
Memberi khidmat nasihat dan latihan berkaitan dengan penternakan haiwan.
Sumber : Md. Ariff Ariffin, 1996

Mengikut perancangan, Projek IADP Seberang Perak melibatkan pembangunan kawasan seluas 13,027 hektar bagi penanaman padi dan kelapa sawit yang mana sebanyak 12,386.65 hektar diperuntukkan bagi kawasan bertanam dan 742 hektar lagi diuntukkan bagi pembangunan sebuah bandar yang dikenali sebagai Bandar Baru Seberang Perak. Pecahan bagi kawasan bertanam adalah seperti berikut :-

a) Projek Tanaman Padi

Projek
Tahun
Tanaman
Keluasan
(Hektar)
Seberang Perak 3
1979
Padi
495.50
Seberang Perak 4
1980
Padi
363.16
Seberang Perak 5
1981
Padi
525.81
Seberang Perak 6
1982
Padi
809.23
Seberang Perak 7
1982
Padi
620.90
Seberang Perak 8
1981
Padi
816.00
Seberang Perak 9
1981
Padi
722.00
Jumlah
4,353.00

b) Projek Tanaman Kelapa Sawit

Projek
Tahun
Tanaman
Keluasan
(Hektar)
Seberang Perak 10
1980
Kelapa Sawit
598.69
Seberang Perak 10A
1980
Kelapa Sawit
646.12
Seberang Perak 11
1982
Kelapa Sawit
180.00
Seberang Perak 11A
1982
Kelapa Sawit
247.00
Seberang Perak 11B
1981
Kelapa Sawit
222.00
Seberang Perak 11C
1981
Kelapa Sawit
106.00
Seberang Perak 12A
1986
Kelapa Sawit
700.00
Seberang Perak 12B
1986
Kelapa Sawit
679.00
Seberang Perak 12C
1988
Kelapa Sawit
190.00
Seberang Perak 13
1982
Kelapa Sawit
1,787.93
Seberang Perak 14
1981
Kelapa Sawit
893.00
Seberang Perak 15
1983
Kelapa sawit
1,783.91
Jumlah
8,033.65
Sumber : Md. Ariff Ariffin, 1996

Nota : Jumlah Keseluruhan kawasan pertanian ialah 12,386.65 hektar.

Selain itu, kawasan yang seluas 742 hektar telah diperuntukkan untuk tujuan pembangunan Bandar Seberang Perak selaras dengan kehendak penempatan peserta. Pembinaan kemudahan – kemudahan ini dijalankan secara berperingkat – peringkat. Pecahan guna tanah di Bandar Seberang Perak adalah seperti berikut :-

Komponen
Keluasan
(Hektar)
Perumahan peserta
301
Perniagaan dan perdagangan
36
Pejabat-pejabat kerajaan
8
Hospital
14
Kemudahan sosial
300
Pusat tempatan
12
Sekolah
44
Kawasan lapang
27
Jumlah Keluasan
742
Sumber : Wikipedia, 2008

SUMBANGAN FELCRA TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA

Berikut adalah sumbang Felcra di dalam pembangunan ekonomi pertanian komersil luar bandar di Malaysia, iaitu :-

a) Penyelesaian Masalah Tanah Terbiar

Tanah – tanah terbiar di kawasan luar bandar Malaysia mempunyai nilai ekonomi yang baik. Akan tetapi, pembangunan pertanian yang tidak diusahakan pemilik disebabkan faktor berbilang pemilik, tiada bantuan dan latihan kemahiran bagi memberi peluang kepada pemilik – pemilik tanah berkenaan yang merupakan penduduk luar bandar di dalam memajukan ekonomi mereka. Dengan adanya bantuan dari Felcra, banyak sumber yang disalurkan kepada pemilik yang merangkumi pemberian latihan, pengenalan kepada sistem pertanian komersil yang berbentuk ladang serta bantuan kewangan dengan harapan tanah – tanah tersebut dapat dimajukan sesuai dengan keperluan dan kehendak sumber – sumber bahan mentah tempatan. Penanaman komoditi getah dan kelapa sawit juga memberi peluang kepada masyarakat luar bandar khususnya orang Melayu untuk terlibat dengan aktiviti perladangan. Jika di zaman penjajahan, orang – orang Melayu tidak diberi peluang oleh Penjajah British untuk terlibat dengan aktif di dalam pertanian komersil.

b) Penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar

Sejak kewujudan Felcra pada tahun 1966, masalah pengangguran masyarakat luar bandar dapat dikurangkan melalui program – program pembangunan pertanian yang diperkenalkan oleh Felcra. Contohnya, tanah – tanah terbiar yang dijadikan sebagai tanah ladang pertanian komersil telah memberi peluang kepada pemilik untuk menjadi sebagai pekerja di ladang. Selain memperolehi pendapatan melalui syer, mereka juga mendapat upah dari kerja – kerja di ladang mengikut bayaran yang ditentukan oleh pihak Felcra. Dengan kata lain, pemilik tanah secara tidak langsung menjadi pekerja di ladang tersebut serta memperolehi pendapatan dalam bentuk tahunan (pulangan syer) dan upah (gaji sebagai pekerja ladang).

c) Mengatasi Masalah Sosio-ekonomi Belia

Pada tahun – tahun 1970’an, ramai belia yang tinggal di kawasan luar bandar tidak mempunyai pekerjaan tetap. Ini ditambah lagi dengan tahap kelulusan akademik yang rendah. Oleh yang demikian, peluang untuk mereka mendapat pekerjaan selaras dengan tahap akademik yang dimiliki oleh mereka adalah terhad dan tipis. Walaupun demikian, belia – belia ini mempunyai kemahiran di dalam mengerjakan tanah – tanah pertanian. Jadi kerajaan melalui agensinya Felcra telah memperkenalkan rancangan tanah belia dengan harapan untuk menggalakkan penglibatan golongan belia di dalam pembangunan tanah pertanian. Program ini telah berjaya dilaksanakan yang mana penglibatan belia – belia luar bandar telah dapat mengatasi masalah sosio-ekonomi belia pada ketika itu. Walaupun tempoh perlaksanan program ini agak singkat, namun sedikit sebanyak sumbangan belia di dalam pertanian komersil telah banyak mengubah masa depan mereka menjadi seorang peneroka yang berjaya.

d) Melindungi dan Mempertahankan Keselamatan Negara

Program pembangunan tanah Felcra juga telah dapat membantu kerajaan di dalam mengatasi masalah ancaman subversif dari Parti Komunis Malaya (PKM) dan Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) melalui pembukaan tanah – tanah baru untuk tujuan petempatan dengan sistem kawalan keselamatan yang baik. Melalui program ini, pengganas komunis terpaksa berundur dan secara tidak langsung menghalang pengaruh komunis dari mempengaruhi masyarakat yang tinggal di kawasan yang berhampiran dengan hutan belantara yang menjadi kawasan aktiviti subversif tersebut. Dengan pembukaan tanah – tanah pertanian berkenaan, komunis sukar untuk melancar serangan terhadap kerajaan dan menjadi sebagai benteng pertahanan. Walaupun ancaman PKM dan PKKU telahpun berakhir pada tahun 1989 dan 1990, program pembangunan untuk tujuan keselamatan ini telah bertindak sebagai sebuah kawasan pertanian komersil bagi menyediakan sumber – sumber bahan mentah bagi keperluan sektor perindustrian negara.

e) Pembangunan dan Penyusunan Semula Kampung - Kampung

Program pertanian yang diperkenalkan oleh Felcra ini bertujuan untuk membangun dan menyusun semula kampung – kampung tradisi yang dahulunya hanya menjadikan pertanian sara diri sebagai ekonomi tempatan. Disebabkan kuasa ekonomi masyarakat desa adalah rendah dan hanya bergantung harap pada pertanian sara diri, masalah kemiskinan pun wujud dan akibatnya banyak berlaku penghijrahan golongan belia ke kawasan bandar. Selain itu, masalah kampung tinggal (Abandoned Village) juga dapat diatasi. Pembangunan dan penyusunan semula kampung – kampung ini telah memberi peluang kepada masyarakat desa di dalam melibatkan diri di dalam aktiviti pertanian komersil yang mana ia memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan tingkat ekonomi mereka dan tidak hanya bergantung kepada pertanian sara diri. Dengan ini, dasar untuk membasmi kemiskinan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

f) Menggalakkan masyarakat orang Asli tidak berpindah randah

Sebagaimana yang kita ketahui, kehidupan masyarakat orang asli di Malaysia adalah bersifat primitif pada ketika itu. Yang mana golongan ini sukar berpindah randah dari satu petempatan ke petempatan lain. Kehidupan mereka tidak teratur kerana tempat tinggal mereka adalah bersifat sementara. Perpindahan masyarakat orang asli di Malaysia dari satu petempatan ke petempatan lain adalah disebabkan oleh kepercayaan aninisme yang dianuti oleh mereka. Akibatnya, mereka ini tidak mempunyai satu petempatan yang bersifat kekal serta mempunyai satu sektor pertanian yang kekal bagi membolehkan mereka meningkatkan tahap pendapatan mereka. Melalui program kerjasama antara Felcra dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, tahap sosio-ekonomi bagi masyarakat orang asli dapat dimajukan dan dipertingkatkan melalui pengenalan sektor pertanian komersil yang boleh menjamin pendapatan yang lebih baik berbanding dengan pergantungan hidup primitif terhadap sumber – sumber semulajadi yang terdapat di dalam hutan belantara di Malaysia. Dengan ini, pola kehidupan masyarakat orang asli akan teratur disamping mempunyai sumber pendapatan yang tetap serta kehidupan yang lebih moden dan teratur.

g) Pembentukan Sebuah Perbandaran Moden yang berteraskan ekonomi pertanian

Felcra telah berjaya mewujudkan Bandar Baru Seberang Perak yang bertindak sebagai nadi pembangunan di kawasan sekitarnya dengan mengekalkan aktiviti ekonominya sumber pertanian komersil. Pembukaan bandar ini telah menggalakkan penglibatan agensi – agensi kerajaan bagi menyediakan kemudahan asas dan komersil kepada masyarakat peneroka setempat. Bandar ini juga menyediakan kemudahan komersil dan perniagaan kepada masyarakat sekitarnya melalui penyediaan unit – unit hartanah komersil bagi keperluan masyarakat peserta. Di bandar ini juga, terdapat kemudahan sekolah, balai polis dan institusi kemahiran bagi menggalakkan penglibatan golongan kedua peneroka untuk melibatkan diri di dalam aktiviti pertanian melalui teknik dan peralatan moden yang mampu menjana pulangan ekonomi pada tahap optimum. Sebagaimana Felda membangunkan Bandar Pusat Jengka di Pahang dengan menjadi pusat komersil bagi masyarakat Felda, Bandar Baru Seberang Perak juga menyediakan kemudahan asas dan komersil yang tidak hanya ditumpukan kepada golongan peserta Felcra yang tinggal di kawasan petempatan tersebut sebaliknya kepada masyarakat petani bukan Felcra bagi mendapatkan keperluan, latihan asas dan urusniaga sumber – sumber pertanian desa. Dengan ini, peningkatan di dalam sosio-ekonomi masyarakat tempatan dapat ditingkatkan dan dimodenkan.

KESIMPULAN

Felcra merupakan sebuah agensi kerajaan yang telah ditubuhkan bagi memajukan sektor pertanian komersil yang dahulunya dimonopoli oleh golongan pendatang akibat dari dasar British untuk tidak menggalakkan penglibatan masyarakat Melayu di dalam sector berkenaan. Akibatnya, orang – orang Melayu yang tinggal di kawasan luar bandar semasa era awal kemerdekaan berada di dalam kelompok kemiskinan. Meskipun begitu, orang – orang Melayu mempunyai tanah yang banyak di kawasan luar bandar yang kaya dengan sumber ekonomi pertanian. Disebabkan oleh ketidakmampuan golongan masyarakat luar bandar untuk memajukan tanah – tanah ini, maka Felcra bertindak sebagai sebuah badan yang akan mengurus, melatih dan memberi bantuan kepada masyarakat luar bandar di dalam memajukan aktiviti pertanian. Jadi penglibatan Felcra ini telah mengkomersilkan sektor pertanian yang berteraskan makanan yang dahulunya merupakan ekonomi pertanian tradisi yang diwarisi dari nenek moyang mereka. Pengenalan kepada sektor pertanian komersil juga telah memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk menjadi seorang peladang yang berjaya di dalam menyediakan keperluan bahan – bahan mentah pertanian bagi memenuhi kehendak kilang – kilang perindustrian di Malaysia.

Selain itu juga, pembukaan tanah – tanah baru juga telah memberi peluang kepada golongan belia pada ketika itu untuk memajukan sosio-ekonomi mereka. Pembukaan tanah – tanah ini secara tidak langsung dapat mengatasi masalah pengangguran golongan tersebut pada ketika itu. Manakala bagi kes – kes tanah terbiar akibat dari kekurangan modal, kemahiran dan masalah tanah dimiliki oleh berbilang pemilik juga dapat diatasi melalui pengenalan kepada sistem syer yang mampu menjadikan tanah tersebut sebagai sumber saham utama kepada mereka. Disamping itu juga, gaji dan upah yang diterima oleh pemilik dari pekerjaan tanah – tanah ladang ini juga dapat meningkatkan tingkat upah masyarakat luar bandar dan sekaligus dapat mengeluarkan mereka dari masalah kemiskinan.

Masalah rakyat termiskin juga dapat diatasi melalui program pertanian oleh Felcra. Ini dibuat melalui program pembangunan rakyat termiskin, rancangan tanah terbiar, rancangan tanah orang asli, pembangunan kampung – kampung tradisi dan penebusan tanah – tanah rizab Melayu yang dicagar. Dengan ini ekonomi bagi masyarakat desa dapat dipelihara dan dipertingkatkan melalui skim pertanian moden disamping mengekalkan aktiviti – aktiviti pertanian tradisi yang diwarisi mereka. Tanaman makanan ruji seperti sawah padi juga dikomersilkan melalui sistem pengairan yang moden dan terurus dengan harapan pengeluaran hasil dapat dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan semasa.

Walaupun Felcra telah dikorporatkan pada 1997, namun fungsi dan peranan Felcra masih dikekalkan demi kemajuan ekonomi bagi masyarakat luar bandar meskipun dunia sedang menghadapi era globalisasi selaras dengan perkembangan semasa. Oleh itu, keperluan permodenan masyarakat tani luar bandar adalah perlu bagi memastikan sumber luar bandar dan tahap sosio-ekonomi masyarakat desa dapat ditingkatkan dan dimajukan.

RUJUKAN

Abd. Malik Ismail dan Mohaini Tajuddin (1996) : “Institusi Pembangunan Pertanian : Satu Sorotan” di dalam Abd. Malik dan Mohaini Tajuddin (ed.). Institusi Pertanian : Peranan, Masalah dan Keberkesanan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Abdul Aziz Abdul Rahman (1998) : “Economic Reforms and Agricultural Development in Malaysia”. In Asean Economic Bulletin April 1998 (pp. 59 – 76).

Ahmad Mahdzan Ayob (1997) : Pembangunan Pertanian : Ekonomi dan Bukti Empirik. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Basri Abdul Talib dan Zainal Abidin Hashim (1996) : “Penilaian Terhadap Agensi Penyatuan, Pemulihan dan Penanaman Semula” di dalam Abd. Malik dan Mohaini Tajuddin (ed.). Institusi Pertanian : Peranan, Masalah dan Keberkesanan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Berita Harian : 21 September 1968.

Chamhuri Siwar (1996) : “Penilaian Dasar, Strategi dan Institusi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan” di dalam Abd. Malik dan Mohaini Tajuddin (ed.). Institusi Pertanian : Peranan, Masalah dan Keberkesanan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Chamhuri Siwar (1996) : “Rural Development” in Jomo K. S. and Ng Suew Kiat (ed.). Malaysia’s Economic Development. Policy and Reform. Pelanduk Publications, Kuala Lumpur.

Chamhuri Siwar and Abdul Aziz Abdul Rahman (….) : The Prospects of Agricultural Institutions.

Felcra Berhad (1998) : Laporan Tahunan 1998. Cetakrapi Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Ismail Dollah Harun (2004) : “Pembangunan Tanah Rizab Melayu : Satu Tinjauan Permasalahan dan Perundangan”. Prosiding telah dibentangkan di dalam Seminar Pentadbiran Tanah Semenanjung Malaysia. Anjuran Institut Tanah dan Ukur Negara, Kuala Lumpur.

Ismail Dollah Harun (2006) : “Pembangunan Tanah – Tanah Rizab Melayu : Satu Tinjauan Permasalahan dan Perundangan”. Dalam Jurnal Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) Tahun 2006. (Ms. 49 – 52).

Jabatan Penerangan Malaysia (1999) : Malaysia 1999 – Buku Rasmi Tahunan. Mutucetak Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Kerajaan Malaysia (1994) : Akta Penyatuan dan Pemulihan Tanah Negara 1966. International Law Book Services, Kuala Lumpur.

Kerajaan Malaysia (2000) : Malaysia Kita. International Law Books Services, Kuala Lumpur.

Kerajaan Malaysia (2004) : Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. International Law Book Services, Kuala Lumpur.

Khairuddin Idris dan Shamsuddin Ahmad (1992) : “Rancangan Pembangunan Tanah Belia” di dalam Victor T. King dan Nazaruddin Mohd. Jali (ed.). Isu – Isu Pembangunan Luar Bandar di Malaysia. Penerbit Universiti Pertanian Malaysia, Kajang.

Mardiana dan Hasnah (2000) : Pengajian Malaysia. Fajar Bakti, Kuala Lumpur.

Mohd Haflah Piei (….) : Penilaian Kritikal DEB dan RML.

Mohd Koharuddin Mohd Balwi (2005 : “Pembangunan Luar Bandar di Malaysia : Gerakan Desa Wawasan (GDW) Sebagai Mekanisme Pembangunan Masyarakat Luar Bandar”. Dalam Jurnal Teknologi Vol. 2, No. 17, Tahun 2007. (Ms. 31 – 48).

Mohd Nasir Ismail dan Ahmad Fuad Muhammad (1992) : “Pembangunan Kawasan di Malaysia” di dalam Victor T. King dan Nazaruddin Mohd. Jali (ed.). Isu – Isu Pembangunan Luar Bandar di Malaysia. Penerbit Universiti Pertanian Malaysia, Kajang.

Mohd Shukri Abdullah (1992) : Strategi Pembangunan Desa Semenanjung Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Mohd Yusof Kasim (1988) : “Ketidakseimbangan Wilayah : Satu Penilaian Terhadap Dasar dan Strategi Pembangunan Wilayah Sehingga Tahun 1970” di dalam Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei (ed.). Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan. Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Nik Hashim Mustapha (1996) : “Peranan, Masalah dan Keberkesanan Institusi Pembangunan Tanah” di dalam Abd. Malik dan Mohaini Tajuddin (ed.). Institusi Pertanian : Peranan, Masalah dan Keberkesanan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Nor Zakiah Ahmad, Mariani Abdul Majid and Mohd Azlan Shah Zaidi (2001) : “Agricultural and Industrial Development in Malaysia : Policy Bias?”. In Humanomics Journal Vol. 17 No. 1, 2001 (pp.61 – 76).

S. Robert Aiken, Thomas R Leinbach, Collin H. Leigh & Michael R. Moss (Terjemahan Sulong Mohamad) (1994) : Pembangunan dan Persekitaran di Semenanjung Malaysia. Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur.

Tunku Shamsul Bahrin, P. D. A. Perera dan Lim Hong Kow (1986) : Kemajuan Tanah dan Penempatan Semula di Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Victor T. King dan Nazaruddin Mohd. Jali (1992) : “Pembangunan Luar Bandar di Malaysia : Arah Hala dan Isu” di dalam Victor T. King dan Nazaruddin Mohd. Jali (ed.). Isu – Isu Pembangunan Luar Bandar di Malaysia. Penerbit Universiti Pertanian Malaysia, Kajang.

Wan Ibrisam Fikry Wan Ismail dan Ainur Zaireen Zainuddin (2005) : Pengenalan Kepada Sumber Tanah Luar Bandar. Dalam Monograf Jabatan Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, Johor.

Zainal Abidin Hashim (1997) : “Rancangan Pembangunan Tanah Pertanian di Kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah” dalam Surtahman Kastin, Zulkefli Senteri & Zaimah Darawi (ed.). Sektor Pertanian Kearah Pembentukan Negara Perindustrian. Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur.

Zulkifly Hj. Mustapha (1988) : “Pembangunan Desa, Kemiskinan dan Ketaksamaan” di dalam Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei (ed.). Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan. Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan
http://www.felcra.com.my (1 Februari 2008)

Pejabat Perdana Menteri Malaysia
http://www.pmo.gov.my (8 Januari 2008)

Wikipedia Ensiklopedia
http://www.wikipedia.org (1 Februari 2008)

Jumaat, 25 April 2008

PERSEKITARAN LUAR BANDAR DI MALAYSIA

PERSEKITARAN LUAR BANDAR DI MALAYSIA DAN ISU – ISU SEMASA LUAR BANDAR

PENDAHULUAN

Luar bandar atau kawasan desa merupakan sebuah petempatan yang terletak di kawasan – kawasan yang dikategorikan bukan kawasan perbandaran. Sebelum sesebuah kawasan menjadi sebuah Bandar, ia akan melalui proses bermula sebagai sebuah kawasan yang tidak didiami, kawasan petempatan desa, perubahan menjadi sebuah pekan dan seterusnya menjadi sebuah bandar. Ekonomi Luar Bandar hampir keseluruhannya adalah berasaskan kepada ekonomi pertanian yang merangkumi pertanian sara diri, pertanian komersil, penternakan, nelayan dan sebagainya.

Dalam konteks di Malaysia, petempatan luar bandar adalah dikategorikan kepada 5 kategori iaitu petempatan orang asli, petempatan kampung Melayu tradisional, kawasan penempatan berkelompok, kampung – kampung baru Cina dan kawasan perladangan milik syarikat – syarikat korporat. Di dalam kawasan petempatan desa, keadaan rumah atau tempat tinggalnya adalah berselerak dan hubungan kejiranan atau kekeluargaan adalah amat akrab jika dibandingkan dengan kawasan bandar. Dalam konteks ini, kawasan luar bandar adalah tidak maju dan kemudahan infrastruktur yang disediakan adalah terhad dan kurang berbanding dengan kawasan bandar.

Selain itu juga, kawasan luar bandar mempunyai persekitaran yang aman, damai dan nyaman. Ini adalah kerana kawasan luar bandar dikelilingi oleh flora dan fauna yang menjadikannya unik berbanding dengan kawasan bandar. Meskipun kawasan luar bandar dikategorikan tidak maju atau mundur, namun masalah kemiskinan yang wujud adalah tidak sedahsyat jika dibandingkan dengan kawasan bandar.

Di Malaysia, kemudahan bekalan elektrik, air dan telekomunikasi telahpun disediakan di kawasan – kawasan luar bandar. Dengan ini penduduk desa dapat menikmati kemudahan – kemudahan tersebut setanding dengan penduduk di kawasan bandar. Hampir 90% kawasan di Malaysia telah dilengkapi dengan kemudahan bekalan elektrik dan air. Terdapat juga sebilangan penduduk di kawasan petempatan desa sudah memiliki Astro.

DEFINISI DESA DAN KATEGORI PETEMPATAN LUAR BANDAR

Menurut Kamarudin Ngah dan Rahmat Azam Mustafa (1991), kawasan desa ditakrifkan sebagai sebuah kawasan petempatan yang tidak berfungsi sebagai sebuah kawasan perdagangan atau perniagaan utama dan ianya dikelilingi oleh kawasan pertanian yang mempunyai sempadan – sempadan yang tertentu yang mana kawasan ini tidak hanya digunakan sebagai tempat kediaman semata – mata. Mereka juga menyatakan bahawa tiada definisi yang khusus bagi menjelaskan pengertian atau maksud bagi sesebuah kawasan petempatan desa.

Secara amnya, kawasan desa merupakan sebuah kawasan yang terletak di luar kawasan perbandaran yang mana kehidupan masyarakatnya adalah bergantung kepada sumber pertanian atau semulajadi sebagai bahan asas makanan atau dijual di kawasan pusat pengumpulan hasil – hasil desa sebelum hasil – hasil tersebut dibawa ke bandar atau pekan yang berhampiran. Terdapat 5 kategori petempatan desa yang terdapat di Malaysia iaitu :-

a) Kawasan Petempatan Orang Asli

Orang Asli merupakan penduduk asal Malaysia yang mana kehidupan mereka lebih berbentuk primitive yang meliputi aspek sosial dan ekonomi. Kawasan petempatan orang asli sebenarnya terletak di tengah – tengah hutan belantara Malaysia dan hidup berpindah randah. Terdapat sesetengah masyarakat orang asli Malaysia yang telah menganut agama Islam dan Kristian, tetapi masih terdapat ramai yang mengamalkan kepercayaan Aninisme. Ekonomi utama bagi masyarakat orang asli adalah mengumpul hasil – hasil hutan dan memburu haiwan – haiwan liar di dalam hutan. Terdapat juga aktiviti bercucuk tanam yang dijalankan oleh masyarakat orang asli tetapi lebih bercorak kepada aktiviti pertanian sara diri.

b) Kawasan Perkampungan Melayu Tradisional

Kawasan ini terletak di dalam sebuah kawasan yang telah digazetkan sebagai Kawasan Simpanan Melayu dibawah Enakmen Rizab Melayu. Perkampungan ini telah wujud sejak sekian lama yang mana penduduk – penduduknya mempunyai hubungan kekeluargaan yang akrab yang tidak hanya bersifat kejiranan semata – mata. Keseluruhannya masyarakat Melayu tradisi menganut agama Islam dan masih kekal mengamalkan amalan tradisi Melayu yang diwarisi sejak turun temurun. Aktiviti pertanian sara diri merupakan aktiviti ekonomi utama bagi masyarakat ini. Pertanian sara diri yang diamalkan oleh masyarakat ini lebih kepada penanaman padi, buah – buahan tempatan dan kebun getah kecil. Selain itu, dasar penjajah Inggeris pada zaman penjajahan dulu yang mahu mengekalkan masyarakat Melayu tradisi dengan amalan hidup mereka yang diwarisi sejak turun menurun mengakibatkan masyarakat ini hidup dalam serba kemunduran berbanding dengan masyarakat di kawasan bandar. Dasar Kerajaan British juga ingin memastikan orang – orang Melayu kekal dengan aktiviti pertanian sara diri selaras bagi memenuhi keperluan jaminan hidup mereka semasa era penjajahan dahulu. Walaupun Negara telah mencapai kemerdekaan, amalan tersebut masih diamalkan di beberapa petempatan Melayu tradisi terutamanya di kawasan – kawasan pendalaman.

c) Kawasan Penempatan Berkelompok

Semasa negara baru mencapai kemerdekaan, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein telah memperkenalkan skim rancangan tanah berkelompok yang dikelolakan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada tahun 1956. Peneroka rancangan ini adalah terdiri dari kalangan masyarakat Melayu tradisi yang dikategorikan miskin serta tidak mempunyai tanah untuk menjana pendapatan mereka. Dengan pembukaan tanah – tanah dibawah Skim Felda, banyak kawasan petempatan berkelompok telah dibuka bagi memberi peluang kepada golongan peneroka untuk mengerjakan ladang – ladang getah, kelapa sawit dan sebagainya sebagai punca pendapatan mereka.

Selain itu, rancangan – rancangan Felcra (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan) juga memperkenalkan skim petempatan pertanian berkelompok dibawah rancangan tanah belia, rancangan keselamatan dan sebagainya bagi memberi peluang masyarakat peneroka yang terdiri dari orang – orang Melayu dan asli untuk terlibat di dalam aktiviti pertanian komersil yang menjamin pendapatan isirumah mereka.

Kerajaan – kerajaan negeri Perak, Terengganu, Johor dan Selangor melalui perbadanan pembangunan pertanian negeri juga memperkenalkan skim rancangan tanah belia bagi menggalakkan penglibatan belia – belia dari kawasan desa untuk melibatkan di dalam aktiviti pertanian komersil selain untuk mencegah aktiviti – aktiviti tidak sihat menyelubungi golongan tersebut.

Walaubagaimanapun, kesemua skim – skim pembangunan ini telah dihentikan selepas tahun 1990 dan Felda hanya menumpukan program pembangunan tanah di Sabah.

d) Kampung Baru Cina

Semasa zaman darurat dari tahun 1948 hingga 1960, masyarakat luar bandar dari kalangan masyarakat Cina telah dikumpulkan di sebuah petempatan khusus yang dirancang dan dikawal oleh kerajaan pada ketika itu. Ini adalah kerana, ancaman subversif Parti Komunis Malaya (PKM) menjadi punca kepada Kerajaan British Malaya untuk mengawal kemasukan dakyah PKM dikalangan masyarakat Cina di kawasan luar bandar. Banyak kampung – kampung baru telah dibuka semasa era darurat. Sebelum dikumpulkan di kampung – kampung baru, kebanyakkan masyarakat Cina luar bandar terlibat dengan aktiviti pertanian seperti tanaman sayur – sayuran dan penternakan. Mereka ini telah diancam oleh PKM untuk menyediakan keperluan mereka dari aspek bekalan makanan, ubat – ubatan dan sebagainya bagi melancarkan serangan terhadap kerajaan pada ketika ini.

Kini masyarakat Cina di petempatan kampung – kampung baru masih mengamalkan aktiviti – aktiviti pertanian tersebut dan terdapat juga mereka ini terlibat di dalam aktiviti perniagaan tani di kawasan luar bandar.

e) Petempatan Estet

Masyarakat India banyak tinggal di kawasan – kawasan petempatan estet yang telah dibuka oleh peladang – peladang Eropah semasa era penjajahan Inggeris di Malaysia. Mereka ini terdiri dari masyarakat India Selatan yang telah dibawa oleh British ke Tanah Melayu untuk bekerja di ladang – ladang tersebut. Walaupun negara telah mencapai kemerdekaan, pemilikan syarikat – syarikat perladangan telah bertukar tangan dari milik peladang Inggeris kepada syarikat korporat milik Malaysia seperti Sime Darby, Guthrie dan sebagainya.

Aktiviti utama masyarakat India estet adalah bekerja sebagai buruh kepada syarikat perladangan tersebut untuk mengumpul hasil – hasil pertanian yang terdiri dari hasil getah dan kelapa sawit. Pendapatan mereka adalah berasaskan bayaran upah yang telah ditetapkan oleh pemilik ladang dan golongan buruh ini telah disediakan unit kediaman untuk ahli – ahli keluarga mereka.

JENIS – JENIS PERTANIAN UTAMA LUAR BANDAR

a) Tanaman Padi

Padi merupakan satu daripada
tanaman bijirin dan merupakan makanan ruji bagi ramai penduduk dunia termasuk Malaysia. Di Malaysia padi yang ditanam terbahagi kepada dua jenis iaitu padi sawah yang juga dikenali sebagai padi bendang, dan padi huma atau padi bukit. Padi sawah atau padi bendang adalah jenis padi yang paling banyak di tanam kerana dapat mengeluarkan hasil yang tinggi. Padi sawah memerlukan banyak menggunakan air, baja dan perlu di tanam dengan cara yang teratur.

Padi sawah banyak di tanam di
Semenanjung Malaysia iaitu di Pantai Barat terutamanya di bahagian Utara. Keadaan ini berlaku kerana terdapat kawasan berpaya yang datar dan terdapat satu musim lembap yang ketara dengan purata hujan tahunan melebihi 3500 mm. Kesesuaian ini di tambah lagi dengan adanya musim panas yang berpanjangan.

Padi huma merupakan padi asal yang ditanam di Malaysia sebelum padi sawah diperkenalkan. Padi huma mempunyai hasil yang rendah dan kurang bermutu. Ini disebabkan padi huma di tanam dengan cara lama dan kurang menggunakan baja serta daripada benih yang kurang baik. Padi juga tidak di jaga dengan baik dan selalu pula dirosakkan oleh serangga. Padi jenis ini banyak di tanam di
Sabah dan Sarawak yang kebiasaannya ditanam oleh orang asli seperti orang Iban dan Murut. Kelebihan padi huma adalah padi huma tidak memerlukan jumlah air yang banyak dan dapat ditanam di kawasan di mana air tidak bertakung.

b) Tanaman Getah

Mengikut sejarah, pokok getah tumbuh secara liar di kebanyakkan negara – negara di Amerika Selatan. Pada tahun 1496
Christhopher Columbus membawa balik cerita-cerita pelik seperti kisah sebiji bola yang boleh melambung. Orang-orang di Pulau Haiti di Laut Carribean membuat bola permainan ini dari gam sejenis pokok.

Sekitar tahun 1900 terdapat 2500 hektar kawasan kebun getah yang telah ditanam di Asia. Seorang usahawan automobil Amerika Syarikat iaitu
Henry Ford mula membuat kereta dan sekaligus telah mengakibatkan permintaan terhadap tayar getah meningkat secara mendadak. Pada tahun 1910 terdapat 500,000 hentar tanah yang ditanam pokok getah di Asia. Enam juta hektar pokok getah masih belum mencukupi untuk menampung permintaan tayar getah.

Ladang dengan keluasan lebih 40 hektar telah diusahakan oleh majikan dari England, Perancis, Belanda dan Australia. Rumah pekerja dibina dan pekerja dibawa dari Sri Lanka dan India. British telah menjajah India sejak sekian lama. Di Malaysia, banyak ladang – ladang pertanian milik Usahawan British telah dibangunkan. Antaranya ialah Syarikat Perladangan Guthrie, Sime Darby dan Golden Hope Plantations. Walaubagaimanapun, ketiga – tiga Syarikat Perladangan milik British telah diambilalih oleh Malaysia. Syarikat – syarikat berkenaan juga mempunyai tanah – tanah ladang di beberapa negara di benua Afrika.

Kebun Kecil dari segi istilah bermaksud kawasan pertanian yang mempunyai keluasan kurang dari 40 hektar disebut kebun kecil. Manakala kawasan yang mempunyai keluasan lebih 40 hektar disebut ladang. Biasanya kebun kecil getah hanya 1 hingga 5 hektar sahaja. Pada masa kini, terdapat kira – kira 500,000 pekebun kecil memiliki 1,240,000 hektar kawasan getah. Iaitu 73.4 % dari jumlah kawasan getah di Semenanjung Malaysia.

Pada tahun 1984, Semenanjung Malaysia telah mengeluarkan 1,486,025 tan metrik getah. kira-kira 60 % dari keluaran ini disumbangkan oleh sektor kebun kecil. Biasanya pekebun kecil tinggal berdekatan dengan kawasan pokok getah. Setelah 6 tahun ditanam, pokok getah bolehlah ditoreh.

c) Tanaman Kelapa Sawit

Pokok Kelapa Sawit terdiri daripada dua
spesies Arecaceae atau famili palma yang digunakan untuk pertanian komersil dalam pengeluaran minyak kelapa sawit. Pokok Kelapa Sawit Afrika, Elaeis guineensis, berasal dari Afrika barat di antara Angola dan Gambia, manakala Pokok Kelapa Sawit Amerika, Elaeis oleifera, berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

Pokok – pokok yang matang mempunyai satu batang pokok yang tunggal dan tumbuh sehingga 20
meter tingginya. Daunnya merupakan daun majmuk yang anak-anak daunnya tersusun lurus pada kedua-dua belah tulang daun utama seolah-olah bulu dan mencapai 3 hingga 5 meter panjangnya. Pokok yang muda menghasilkan lebih kurang 30 daun setiap tahun, dengan pokok yang matang yang melebihi 10 tahun menghasilkan lebih kurang 20 daun. Bunganya berbentuk rumpun yang padat. Setiap bunganya kecil sahaja, dengan tiga sepal dan tiga kelopak. Buahnya memakan 5 hingga 6 bulan untuk masak dari masa pendebungaan. Ia terdiri daripada lapisan luar yang berisi dan berminyak (perikarp), dengan biji tunggal (isirung) yang juga kaya dengan minyak. Berbanding dengan saudaranya, Pokok Kelapa, Pokok Kelapa Sawit tidak menghasilkan tunas susur. Pembiakannya adalah melalui penyemaian biji-biji buah sawit.

Industri sawit
Malaysia dan Indonesia bermula apabila empat anak benih dari Afrika ditanam di Taman Botani Bogor, Indonesia pada tahun 1848. Benihnya dari Bogor ini kemudiannya ditanam di tepi-tepi jalan sebagai tanaman hiasan di Deli, Sumatera pada dekad 1870-an dan di Rantau Panjang, Kuala Selangor pada tahun 1911-1912.

Kelapa sawit adalah salah satu
komoditi pertanian utama bagi negara Malaysia yang perkembangannya demikian pesat. Selain pengeluaran minyak kelapa sawit yang tinggi, hasil sampingan juga tinggi.

Secara umum, hasil dari industri kelapa sawit terdiri daripada tiga jenis, iaitu minyak cair, padat dan gas. Minyak kelapa sawit berasal dari unit proses pengukusan (pensterilan), proses pembersihan, dan buangan dari
hidrosiklon.

Pada umumnya, minyak industri kelapa sawit mengandungi
bahan organik yang tinggi sehingga berpotensi mencemari air tanah, dan sungai serta laut. Minyak likat kelapa sawit dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:

· Likat yang berasal daripada proses pengolahan: Limbah padat ini berupa Tandan Kosong Kelapa Sawit, cangkang atau tempurung, serabut atau serat, enap cemar atau lumpur, dan bungkil. TKKS dan lumpur yang tidak tertangani menyebabkan bau busuk, tempat bersarangnya
serangga dan lalat dan berpotensi menghasilkan bahan larut lesap.
· Likat yang berasal daripada pengolahan minyak cair: Limbah padat ini berupa lumpur aktif yang terbawa oleh hasil pengolahan air limbah.

d) Tanaman Tebu

Pokok Tebu merupakan bahan utama yang digunakan dalam pembuatan
gula. Terdapat beberapa spesies tebu, tetapi yang paling biasa dilihat adalah tebu kuning. Terdapat juga tebu hitam.

Kira-kira 107 buah negara menanam pokok tebu untuk menghasilkan 1,324 juta tan (melebihi enam kali jumlah
bit gula yang dihasilkan). Pengeluar-pengeluar terbesar ialah Brazil, India, China, dan Pakistan, dan merupakan melebihi 50% daripada pengeluaran dunia.

Penanaman tebu memerlukan cuaca tropika atau separa tropika, dengan hujan minima 600 mm (24 inci) setahun. Ia merupakan salah satu tumbuhan yang memiliki sistem
fotosintesis paling berkesan dalam alam tumbuhan, mampu menukar sehingga 2% dari tenaga suria kepada [biojisim]]. Dalam wilayah penanaman utama, seperti Hawai, tebu mampu menghasilkan 20 kg gula bagi setiap meter persegi yang terdedah kepada matahari.

Tebu ditanam dari keratan batang berbanding biji benih, walaupun sesetengah jenis tebu masih mampu menghasilkan biji benih, kaedah moden melalui potongan batang telah menjadi kaedah utama pembiakan. Setiap potongan mesti mengandungi sekurang-kurangnya satu kudup, dan potongan batang ini biasanya ditanam menggunakan tangan. Selepas ditanam, jambakan batang tebu boleh dituai beberapa kali; setiap kali selepas tuaian, batang asal akan menumbuhkan pucuk baru, dikenali sebagai ratoons. Biasanya, setiap tuaian yang berikut memberikan hasil semakin berkurangan, dan akhirnya pengurangan hasil menyokong penanaman semula. Bergantung kepada amalan penanaman, tuaian antara 2 hingga 10 boleh dilakukan antara setiap penanaman.

Tebu digunakan sebagai tumbuhan makanan oleh
larva sesetengah spesies lepidoptera, termasuk kupu-kupu turnip.

Tebu boleh dituai menggunakan tangan atau mekhanikal. Penuaian menggunakan tangan menyumbang kepada separuh dari pengeluaran dunia, dan amat berleluasa di negara membangun. Apabila dituai dengan tangan, ladang tebu akan dibakar. Api merebak dengan cepatnya, membakar daun, tetapi membiarkan batang dan akar yang dipenuhi air selamat. Penuai kemudian memotong batang yang tegak pada aras tanah dengan pisau. Penuai tebu yang mahir mampu memotong 500 kg tebu sejam.

e) Tanaman Koko

Koko atau nama saintifiknya Theobroma cacao dari keluarga "Sterculiaceae" adalah daripada bahasa Yunani yang bermaksud makanan para dewa. Pokok koko menghasilkan buah yang bijinya diambil untuk dibuat coklat dan minuman koko.

Pokok koko (Theobroma cacao) adalah kecil dengan ketinggian antara (4.5-7.5
m), merupakan pokok malar hijau dalam Famili Sterculiaceae, yang berasal dari Amerika Selatan dan Amerika Tengah. Benih koko biasanya digunakan untuk menghasilkan koko dan coklat.

Pokok koko tumbuh secara semulajadi pada tahap ketinggian 1,000 kaki (300
m), dan memerlukan cuaca lembab dengan hujan berkala dan tanah yang subur. Benih koko, biasanya dipanggil "beans", terkandung di dalam buah yang dikenali sebagai pod koko yang berbentuk bujur, sepanjang 15-30 cm, dan 8-10 cm lebar. Setiap pod mengandungi 20 hingga 60 biji benih dalam isi putih. Hampir 300 biji diperlukan untuk menghasilkan 1 kilogram pasta koko. Setiap benih mengandungi sejumlah besar lemak (40-50% dalam bentuk mentega koko).

ISU – ISU SEMASA KAWASAN LUAR BANDAR

Di dalam membincangkan isu – isu persekitaran luar bandar di Malaysia, ia adalah merangkumi aspek – aspek yang berkaitan dengan politik, ekonomi dan social, antaranya ialah :-

a) Kehidupan Masyarakat Yang Primitif

Di dalam membincangkan isu ini, ia lebih melihat kepada sesetengah masyarakat orang asli yang masih tinggal di dalam hutan – hutan belantara di Malaysia. Terdapat golongan yang masih berpegang kuat kepada amalan tradisi mereka yang telah diwarisi sejak dahulu lagi. Ini termasuklah fahaman terhadap penghijrahan seseorang ahli komuniti orang asli ke kehidupan moden. Mereka percaya sekiranya mereka bertukar cara hidup akan mengakibatkan bala bencana akan menimpa diri mereka. Kepercayaan aninisme yang dianuti oleh mereka masih utuh terutama sekali bagi golongan tua yang mungkin telah melaluinya secara tidak sengaja dan menjadi ikutan mereka sehingga kini. Oleh yang demikian, pegangan dan fahaman kepada ajaran aninisme yang dianuti oleh mereka mengakibatkan masyarakat orang asli tersebut tidak dapat memajukan hidup dan masyarakat mereka. Oleh itu, pembangunan yang ingin dibawa adalah sukar yang mana pihak pelaksana tidak dapat menjelaskan kepentingannya kepada golongan tersebut.

Bagi sesetengah masyarakat Melayu tradisional, mereka beranggap bahawa pembangunan tanah melalui proses pengambilan tanah untuk tujuan pembinaan bandar – bandar baru di tempat mereka boleh mengakibatkan mereka akan kehilangan tanah dan akan bertambah miskin disebabkan tiada tanah untuk digunakan bagi menjalankan aktiviti pertanian sara diri yang telah diamalkan oleh mereka sejak dari turun temurun. Mereka ini juga khuatir, pembangunan fizikal dan permodenan ini akan menjejaskan amalan tradisi mereka yang menjadi ikutan mereka sejak zaman berzaman.

b) Fahaman Perkauman Yang Menebal

Dalam konteks ini, kita akan merujuk kepada 2 kaum utama di Malaysia yang pernah mengharungi tragedi 13 Mei 1969 iaitu Kaum Melayu dan Cina. Ini adalah kerana, kedua – dua kaum ini tidak tinggal secara bersama. Ini adalah rentetan dari tinggalan dasar pemerintahan British di Malaysia. Kebanyakkan kaum – kaum Melayu ini tinggal di kampung – kampung tradisi yang telah digazetkan sebagai Tanah Rizab Melayu oleh Kerajaan Britain pada ketika itu.bagi mengekalkan kepentingan orang – orang Melayu terhadap penghasilan sumber makanan bagi masyarakat Melayu. Manakala kaum Cina pula telah dikumpulkan oleh Kerajaan British semasa era Darurat di Tanah Melayu bagi mengekang ancaman PKM terhadap orang – orang Cina. Walaupun zaman telah berlalu, namun kedua – dua kaum ini yang tinggal di kebanyakkan negeri – negeri di Malaysia adalah secara berasingan serta mempunyai semangat perkauman yang menebal. Akibatnya untuk mewujudkan suatu kerjasama antara kedua – dua kaum ini adalah sukar disebabkan wujudnya perasaan syak wasangka antara satu sama lain. Selain dari itu, perbezaan fahaman dan tingkatan pendapatan kedua – dua kaum juga mengakibatkan pembangunan yang berbentuk integrasi sukar untuk dilaksanakan.

Terdapat sesetengah masyarakat Melayu Tradisional beranggapan bahawa masyarakat orang Melayu sukar untuk tinggal di kawasan penempatan kaum Cina. Ini disebabkan oleh perbezaan kebudayaan, fahaman agama serta politik yang menyukarkan kewujudan sebuah masyarakat yang saling memahami antara satu sama lain. Sebagai contohnya, merujuk kepada kawasan Bota dan Tronoh di negeri Perak. Hampir 95% masyarakat Melayu tinggal di Bota dan Masyarakat Cina di Tronoh.

c) Fahaman Politik yang berbeza

Merujuk kepada kenyataan akhbar baru – baru ini, terdapat anggapan bahawa parti memerintah di Malaysia iaitu Barisan Nasional banyak didampingi oleh kumpulan – kumpulan elit masyarakat Malaysia di kawasan – kawasan bandar, manakala parti – parti pembangkang pula banyak diikuti oleh masyarakat luar bandar di Malaysia. Akibat dari perbezaan fahaman politik dan sikap sesetengah wakil – wakil rakyat dari kalangan parti memerintah yang hanya sesekali meninjau tempat yang diwakilinya serta sikap jarang mengambil peduli telah mengakibatkan banyak penduduk luar bandar memilih parti – parti pembangkang sebagai ikutan politiknya. Ini ditambah lagi dengan isu – isu yang dibawa oleh ahli – ahli parti pembangkang berhubung dengan parti memerintah telah mengakibatkan sukarnya masyarakat luar bandar terutama masyarakat tradisi untuk menerima aliran pembaharuan dan pembangunan ke tempat mereka. Disebabkan isu ini, kerajaan dari parti memerintah sukar untuk melaksanakan projek – projek pembangunan dan pemodenan ke petempatan mereka.

d) Pegangan Amalan Agama yang kuat

Isu ini adalah merujuk kepada amalan yang masih diikuti oleh sesetengah masyarakat kaum India yang tinggal di kawasan luar bandar terutamanya di estet – estet. Sebagaimana yang telah kita ketahui, kebanyakkan kaum India yang tinggal di Malaysia adalah bersusurgalur dari keturunan India Selatan yang masih berpegang kepada amalan kasta. Walaupun demikian, pegangan kasta ini telah dinafikan dibawah peruntukkan Perlembagaan Persekutuan, namun ikutan ini masih lagi menjadi amalan mereka. Sesetengah masyarakat India yang berkasta agak tinggi sukar untuk menerima orang – orang yang berkasta rendah. Ini adalah pegangan agama Hindu yang menjadikan masyarakat India sukar bekerjasama antara satu sama lain disebabkan oleh perbezaan fahaman kasta ini. Akibat dari itu, adalah sukar bagi kerajaan untuk mewujudkan permodenan dan penyediaan infrastruktur yang baik sekiranya perbezaan fahaman ini tidak boleh dimansuhkan.

e) Pemanasan Global dan Persekitaran

Sejajar dengan masalah yang dihadapi oleh dunia pada masa kini, masalah ini berlaku disebabkan banyak kawasan hutan telah dibersihkan dan ditebang bagi memberi laluan pembangunan fizikal. Akibatnya, masalah sistem ekologi sesebuah negara terancam. Selain dari pembangunan fizikal, perlaksanaan projek – projek pembangunan pertanian komersil juga dikurangkan sejak dari tahun 1990. Ini adalah kerana, pembangunan pertanian juga mengancam keseimbangan sistem ekologi yang juga boleh menyumbang ke arah pencemaran air dan alam sekitar melalui penggunaan baja dan racun serangga. Oleh itu, pembangunan hanya ditumpukan di kawasan – kawasan yang sedia ada melalui perlaksanaan program pemulihan dan pembangunan semula. Bagi mengekalkan persekitaran luar bandar yang sedia ada, banyak dasar – dasar telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi menjamin keseimbangan alam sekitar.

f) Pemilikan Tanah Rizab Melayu berbilang pemilik

Masalah ini telah wujud sekian lama dikalangan masyarakat Melayu tradisional. Ini adalah kerana kebanyakkan masyarakat Melayu tradisional mempunyai kuasa beli yang rendah berbanding dengan kaum – kaum lain di Malaysia. Disebabkan masalah kurangnya kuasa beli ini, ramai orang – orang Melayu tradisi bergantung harap terhadap pemilikan tanah secara warisan dari ibubapa mereka yang telah meninggal dunia. Walaupun saiz tanah rizab Melayu masih dapat mengekalkan keluasannya, namun bilangan pemilik terhadap tanah – tanah tersebut semakin ramai yang menyebabkan tanah – tanah tersebut menjadi tidak ekonomik dan terbiar.

g) Jarak dan Laluan yang jauh dari pusat bandar yang terdekat

Terdapat sesetengah petempatan desa di Malaysia tidak dapat dilalui melalui jalan – jalan raya seperti penggunaan sungai sebagai medium laluan bagi masyarakat luar bandar untuk mendapatkan kemudahan dan bekalan dari bandar – bandar yang berhampiran. Seperti di kawasan pendalaman di Pahang, Sabah dan Sarawak, penggunaan perahu panjang dan pengangkutan udara telah menjadi medium untuk memudahkan pergerakan masyarakat desa. Terdapat juga tempat yang menggunakan perkhidmatan keretapi seperti di Kelantan sebagai alat pengangkutan yang efektif untuk memudahkan pergerakan masyarakat luar bandar. Dengan tiadanya kemudahan perhubungan ini, pembangunan sukar untuk dibawa ke kawasan petempatan tersebut serta proses permodenan kawasan luar bandar juga terbantut atau terpaksa ditangguhkan dulu.

h) Penghijrahan golongan belia

Isu penghijrahan golongan belia luar bandar ke bandar – bandar besar adalah disebabkan oleh 2 faktor utama iaitu faktor tolakan dan faktor tarikan. Faktor tarikan adalah merujuk kepada peluang – peluang pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan dan tinggi serta cara hidup yang berbeza jika dibandingkan dengan kawasan luar bandar. Manakala faktor tolakan pula adalah merujuk masalah kemiskinan, peluang pekerjaan dan masalah kekurangan faktor ekonomi di luar bandar yang mengakibatkan wujudnya konflik dikalangan remaja luar bandar. Akibat dari penghijrahan golongan belia ke bandar telah mengakibatkan wujudnya masalah kampung tinggal dan populasi penduduk yang hanya terdiri dari golongan tua dan kanak – kanak. Oleh yang demikian, kemajuan kawasan luar bandar sukar untuk dilaksanakan dan akhirnya kawasan ini akan menjadi hutan atau belukar apabila ianya tidak didiami oleh penduduk.

CADANGAN MENGATASI ISU – ISU LUAR BANDAR

Bagi menjamin keseimbangan antara kawasan luar bandar dan kawasan bandar di Malaysia, beberapa cadangan telah digariskan oleh penulis, antaranya ialah :-

a) Peranan Kerajaan Memenangi Hati Penduduk

Dalam hal ini, masalah perbezaan fahaman politik antara pihak kerajaan dan penduduk kawasan luar bandar boleh diatasi melalui peranan ahli – ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menyelami perasaan penduduk – penduduk luar bandar. Sebagai seorang wakil rakyat yang dipilih dan dilantik oleh rakyat, sepatutnya wakil rakyat ini tinggal di dalam kawasan kampung yang menjadi tempat tinggal bagi rakyat yang memilih mereka. Dengan ini harapan dan keinginan masyarakat luar bandar akan difahami dan bertindak demi kemajuan tempat tinggal mereka. Senario pada masa kini, terdapat ramai wakil – wakil rakyat dari parti pemerintah tinggal di kawasan – kawasan bandar dan terdapat sebilangan dari mereka tinggal di Kuala Lumpur yang letaknya jauh dari tempat tinggal rakyat yang memilihnya. Kesempatan ini telah digunakan oleh ahli – ahli parti pembangkang untuk mendekati mereka dan menyampaikan risalah – risalah berkaitan dengan parti pembangkang serta isu – isu yang berkaitan dengan kelemahan kerajaan yang memerintah. Apabila wujudnya hubungan yang harmoni antara kerajaan dan penduduk di kawasan luar bandar, adalah mustahil bagi parti – parti pembangkang untuk mendekati mereka bagi menyampai risalah dan propaganda pembangkang. Akhirnya jurang yang wujud diantara mereka dapat dihapuskan.

b) Kepentingan Peranan Ketua Komuniti

Bagi mengatasi masalah perbezaan fahaman di dalam amalan agama yang dianuti oleh sesetengah kaum, peranan ketua komuniti bagi sesebuah masyarakat adalah perlu. Ini adalah kerana ketua komuniti akan cuba membetulkan tanggapan ahli – ahli di dalam masyarakat mereka berhubung dengan masalah ini. Ketua komuniti juga harus diberi kursus dan latihan dari pihak kerajaan untuk memberi penerangan berhubung kebaikan dan kepentingan pembangunan dan permodenan bagi sesebuah kawasan komuniti serta kemampuannya untuk memajukan masyarakat tersebut dari aspek social, politik dan ekonomi. Dengan membekalkan pengetahuan ini, ketua komuniti akan mampu menjelaskannya kepada anak – anak buah mereka dan memastikan mereka ini bersedia untuk maju. Apa yang penting ialah, hubungan yang baik antara ketua komuniti dengan kerajaan adalah perlu. Bagi masyarakat India pula, isu berhubung dengan amalan kasta yang masih menjadi amalan mereka mestilah merujuk kepada sami – sami yang akan bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah tersebut. Hal ini boleh diselesaikan melalui rundingan dikalangan ahli – ahli komuniti berkenaan.

c) Pemantapan Latihan Kepada Golongan Belia

Cadangan ini sesuai bagi isu penghijrahan golongan belia ke bandar dan masalah tanah rizab Melayu berbilang pemilik. Belia merupakan tenaga kerja luar bandar yang paling efektif sejajar dengan usia mereka. Kebanyakkan belia – belia luar bandar ini pernah berpengalaman di dalam mengerjakan tanah – tanah pertanian milik keluarga, jadi kerajaan melalui agensi – agensi pembangunan pertanian seharusnya menyediakan kelas latihan dan kursus kepada mereka meliputi permodenan sistem pertanian dan kerjaya sebagai usahawan tani. Untuk menjayakan program ini, latihan, tenaga pengajar dan perkakasan seharusnya disediakan untuk kegunaan bersama. Masalah bagi tanah – tanah rizab Melayu berbilang pemilik boleh diatasi melalui campurtangan kerajaan di dalam melaksanakan penyatuan tanah – tanah rizab Melayu yang bukan tapak rumah untuk kegunaan pertanian. Tanah – tanah tersebut akan dijadikan ladang yang mana pembayaran sewa tapak adalah berasaskan kepada keluasan tanah yang diserahkan kepada pemilik berdaftar dan pembayaran upah mengikuyt hasil yang diperolehi. Disamping itu juga, kerajaan boleh mendapatkan mana – mana tanah di dalam kawasan kampung untuk dijadikan sebagai pusat komersil pertanian bagi menggalakkan penglibatan golongan belia desa di dalam aktiviti keusahawanan tani. Walaupun demikian, penerapan displin harus dititikberatkan bagi menjamin kejayaan program ini.

d) Mewujudkan Pusat Pertemuan yang terletak antara penempatan tradisi Melayu dan penempatan bukan Melayu

Semasa era penjajahan Inggeris di Malaysia, British telah menggunakan pendekatan “Pecah dan Perintah” di dalam sistem pentadbiran mereka. Ini adalah bertujuan untuk tidak mewujudkan hubungan yang harmoni antara Masyarakat Melayu, Cina dan India di Tanah Melayu. Selain itu untuk menjamin kekuasaan British di Tanah Melayu akan berterusan serta berjalan lancar tanpa adanya tentangan dari kaum – kaum tersebut. Selain itu, pengenalan sistem ekonomi dan penempatan yang berbeza – beza antara kaum tersebut akan melemahkan mereka untuk bangkit menentang Kerajaan Inggeris di Tanah Melayu. Sejarah telah menunjukkan Kerajaan British telah menguasai India dan Hongkong serta menggalakkan penghijrahan bangsa – bangsa tersebut ke tanah – tanah jajahan British yang lain bagi mewujudkan perbezaan kaum bagi sesebuah tanah jajahan tersebut. Setelah negara mencapai kemerdekaan, masalah kaum di Malaysia yang masih mengekalkan corak sosial yang diperkenalkan oleh British.

Akibatnya sikap perkauman masih kekal dan masih wujud ketidaksefahaman dan syak wasangka antara kaum – kaum tersebut. Orang – orang Melayu mempunyai pemilikan tanah – tanah rizab Melayu yang diwarisi, manakala kaum – kaum bukan Melayu terutamanya kaum Cina mempunyai modal dan sumber kewangan yang banyak. Semasa zaman Darurat (1948 – 1960), Kerajaan Inggeris telah mengumpul dan menempatkan kaum Cina yang tinggal di kawasan – kawasan penempatan berhampiran dengan kawasan hutan. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan ejen – ejen Parti Komunis Malaya (PKM) menghasut dan mengugut mereka. Kebanyakkan penempatan – penempatan bagi kampung baru Cina terletak bersebelahan dan berhampiran dengan penempatan tradisi kaum Melayu. Walaupun begitu, hubungan antara kaum Melayu dan Cina tidak serapat mana dan ini adalah disebabkan oleh perasaan bersifat perkauman yang kuat bagi kedua – dua kaum tersebut.

Bagi mewujudkan satu hubungan yang lebih interaktif dan muhibah serta dapat mewujudkan sebuah kerjasama yang baik antara kaum – kaum tersebut, adalah disarankan bagi mewujudkan sebuah pusat pertemuan seperti dewan atau tempat perhimpunan khusus bagi mewujudkan hubungan yang erat antara kaum berkenaan serta mampu mewujudkan suasana kerjasama yang baik yang meliputi aspek – aspek sosial, ekonomi dan politik. Penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Antara Kaum di peringkat penempatan mampu mewujudkan sebuah organisasi yang boleh bekerjasama antara satu sama lain untuk kemajuan sosial, politik dan ekonomi. Ini termasuklah untuk memajukan tanah Rizab Melayu yang juga melibatkan kedua – dua kaum tersebut.

e) Penyediaan Kemudahan Baru dan Menaiktarafkan Kemudahan Sedia ada

Masalah jarak dan sistem perhubungan dan pengangkutan yang bersifat konvesional boleh diatasi yang mana kerajaan melalui wakil – wakil rakyat dipilih seharusnya memberi tumpuan utama terhadap penyediaan kemudahan lalulintas. Ini adalah untuk memastikan jarak dan hubungan antara kawasan bandar yang terdekat dengan kawasan pendalaman boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan tidak mengira masa. Walaupun Malaysia telah merdeka sejak 50 tahun dahulu, masalah perhubungan antara kawasan pendalaman dengan bandar sepatutnya telah diatasi. Namun tumpuan kurang diberi terhadap kawasan – kawasan pendalaman yang pada fikiran kerajaan tidak penting. Apabila tumpuan terhadap pembinaan dan penaiktarafan kemudahan lalulintas diberi, apa yang pasti kemajuan kawasan luar bandar akan berjaya. Dengan ini, ekonomi luar bandar akan meningkat serta mengurangkan masalah penghijrahan golongan belia ke kawasan bandar.

f) Pembangunan Lestari

Isu pemanasan global dan gangguan terhadap keseimbangan ekologi alam sekitar telah menjadi topik hangat pada masa kini. Namun untuk mengatasi masalah ini 100% adalah sukar. Sebaliknya, pengekalan nilai estetika luar bandar dengan menghalang perbandaran bagi kawasan petempatan tradisional boleh dilaksanakan. Kita boleh lihat di sesetengah petempatan di negara – negara Eropah. Walaupun negara – negara tersebut maju, namun pengekalan nilai alam sekitar juga menjadi keutamaan mereka. Pembukaan kawasan – kawasan hutan rizab bagi tujuan pembangunan fizikal sebaik – baiknya hendaklah dielak sama sekali. Sebaliknya bandar – bandar lama yang pernah menjadi pusat pembangunan ekonomi setempat sepatutnya dibangunkan semula melalui projek pembangunan semula bandar. Manakala pekan – pekan kecil pula bolehlah dinaikkan tarafnya. Namun, petempatan desa ini seharusnya dimodenkan tanpa menjejas suasana persekitaran desa. Penyediaan kemudahan – kemudahan asas pula seharusnya mengambilkira sentiment kepentingan alam sekitar kawasan luar bandar. Pembinaan unit – unit hartanah baru di kawasan luar bandar seharusnya dielakkan. Masalah global ini kebanyakkannya berpunca dengan perlaksanaan pembangunan fizikal seperti pembukaan bandar – bandar baru, pembinaan unit – unit hartanah dan pembinaan kawasan pertanian yang berskel besar.

KESIMPULAN

Luar Bandar merupakan benteng pemampan keseimbangan alam sekitar sejak dahulu lagi. Selain sebagai tempat penyumbang sumber – sumber ekonomi, ia juga bertindak sebagai tempat beriadah dan menenangkan fikiran bagi kebanyakkan masyarakat bandar. Walaupun demikian, masalah yang timbul ialah kawasan – kawasan luar bandar ini kurang mendapat tumpuan oleh pihak kerajaan terutama sekali bagi kawasan – kawasan yang tidak mempunyai kepentingan ekonomi yang baik kepada sektor ekonomi negara. Akibatnya, kemudahan lalulintas dan kemajuan sektor pertanian kurang diberi tumpuan dan akibatnya ekonomi luar bandar menjadi bertambah mundur.

Keseimbangan alam sekeliling juga menyumbang ke arah ketidakmajuan di kawasan luar bandar. Namun isu ini seharusnya tidak menjadi masalah di dalam memodenkan kawasan luar bandar. Sebaliknya permodenan yang hendak dibawa itu seharusnya disesuaikan dengan sentimen semasa. Ini adalah untuk menjadikan kawasan luar bandar menjadi moden sesuai dengan peredaran zaman.

Masalah ketidaksepakatan antara kaum – kaum utama di Malaysia juga wujud akibat dari perasaan syak wasangka yang wujud sejak sekian lama. Ini ditambah lagi dengan legasi tinggalan penjajah Inggeris yang memperkenalkan dasar “Pecah dan Perintah” yang masih kekal diamalkan oleh kaum – kaum tersebut. Akibatnya, perasaan perkauman yang menebal dikalangan kaum – kaum tersebut masih wujud yang mengakibatkan dasar mengintegrasikan kaum tersebut tidak dilaksanakan dengan baik oleh kerajaan. Adalah diharapkan, cadangan – cadangan ini boleh digunapakai bagi mewujudkan persekitaran luar bandar yang maju. moden dan harmoni di Malaysia.

RUJUKAN

Abdul Aziz Abdul Rahman (1998) : “Economic Reforms and Agricultural Development in Malaysia”. In Asean Economic Bulletin April 1998 (pp. 59 – 76).

Ahmad Mahdzan Ayob (1997) : Pembangunan Pertanian : Ekonomi dan Bukti Empirik. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Chamhuri Siwar (1996) : “Rural Development” in Jomo K. S. and Ng Suew Kiat (ed.). Malaysia’s Economic Development. Policy and Reform. Pelanduk Publications, Kuala Lumpur.

Chamhuri Siwar (1997) : “Penilaian Dasar dan Strategi Pembangunan Pertanian dan Luar Bandar Dalam Konteks Transformasi Ekonomi dan Wawasan 2020” dalam Surtahman Kastin, Zulkefli Senteri & Zaimah Darawi (ed.). Sektor Pertanian Kearah Pembentukan Negara Perindustrian. Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur.

D. S. Gibbons (Terjemahan Nor Aini Hj. Idris) (1988) : “Pembangunan Luar Bandar dan Proses Politik di Semenanjung Malaysia Sejak Merdeka” di dalam Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei (ed.). Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan. Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

H. M. Dahlan (1991) : “The Effectiveness of Rural Development Planning and Implementation in Malaysia : Some Inquiries and Doubts” in Mohd Yaakub Hj. Johari (ed.). Issues and Strategies in Rural Development. Institute for Development Studies, Sabah.

Hairi Abdullah (1975) : “Masaalah Pemilikan Tanah dan Implikasinya”. Dalam Syarahan Felda : Satu Pengenalan Rengkas Terhadap Masyarakat Desa Dari Segi Struktur, Organisasi dan Masaalah. Anjuran Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Hasnah Ali (1991) : Ekonomi Wilayah : Teori dan Amalan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Ismail Dollah Harun (2004) : “Pembangunan Tanah Rizab Melayu : Satu Tinjauan Permasalahan dan Perundangan”. Prosiding telah dibentangkan di dalam Seminar Pentadbiran Tanah Semenanjung Malaysia. Anjuran Institut Tanah dan Ukur Negara, Kuala Lumpur.

Ismail Dollah Harun (2006) : “Pembangunan Tanah – Tanah Rizab Melayu : Satu Tinjauan Permasalahan dan Perundangan”. Dalam Jurnal Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) Tahun 2006. (Ms. 49 – 52).

John Ratcliffe (1976) : Land Policy : An Explanation of the Nature of Land in Society. Hutchinson of London.

Kamaruddin Ngah (1992) : Isu Pembangunan Tanah Wakaf. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Kamaruddin Ngah dan Rahmat Azam Mustafa (1991) : Pengenalan Perancangan Pembangunan Wilayah. Penerbit Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Khairuddin Idris dan Shamsuddin Ahmad (1992) : “Rancangan Pembangunan Tanah Belia” di dalam Victor T. King dan Nazaruddin Mohd. Jali (ed.). Isu – Isu Pembangunan Luar Bandar di Malaysia. Penerbit Universiti Pertanian Malaysia, Kajang.
Mamadou AW (1977) : “Conception and Misconception of Development” in Alain Birov, Paul-Marc Henry and John P. Schlegel (ed.). Towards a Re-definition of Development Essays and Discussion on the Nature of Development in an International Perspective. Pergamon Press, United Kingdom.

Michael Gurstein (2001) : “Rural Development and Food Security. A “Community Informatics” Based Conceptual Framework”. Proceeding submitted to the 34th Hawaii International Conference on System Science.

Mohd Koharuddin Mohd Balwi (2005 : “Pembangunan Luar Bandar di Malaysia : Gerakan Desa Wawasan (GDW) Sebagai Mekanisme Pembangunan Masyarakat Luar Bandar”. Dalam Jurnal Teknologi Vol. 2, No. 17, Tahun 2007. (Ms. 31 – 48).

Mohd Nasir Ismail dan Ahmad Fuad Muhammad (1992) : “Pembangunan Kawasan di Malaysia” di dalam Victor T. King dan Nazaruddin Mohd. Jali (ed.). Isu – Isu Pembangunan Luar Bandar di Malaysia. Penerbit Universiti Pertanian Malaysia, Kajang.

Mohd Shukri Abdullah (1992) : Strategi Pembangunan Desa Semenanjung Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Mohd Yusof Kasim (1988) : “Ketidakseimbangan Wilayah : Satu Penilaian Terhadap Dasar dan Strategi Pembangunan Wilayah Sehingga Tahun 1970” di dalam Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei (ed.). Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan. Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Mohd Yusof Kasim (1988) : “Ketidakseimbangan Wilayah : Satu Penilaian Terhadap Dasar dan Strategi Pembangunan Wilayah dalam Tempoh Dasar Ekonomi Baru (1970 – 1990)” di dalam Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei (ed.). Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan. Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Neil Ward, Philip Lowe and Tom Bridge (2003) : “Rural and Regional Development : The Role of the Regional Development Agencies in England”. In Regional Studies Journal Vol. 37, No. 2 2003 (pp. 201 – 214).

Nik Azis Nik Pa (1994) : Penghayatan Wawasan Pembangunan Negara. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Norhaya Kamaruddin (2005) : Prinsip Asas Ekonomi Tanah. Dalam Monograf Jabatan Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, Johor.

Pensyarah Perumahan, Bangunan dan Perancangan (2001) : Perancangan. Penerbit USM, Pulau Pinang.

S. Robert Aiken, Thomas R Leinbach, Collin H. Leigh & Michael R. Moss (Terjemahan Sulong Mohamad) (1994) : Pembangunan dan Persekitaran di Semenanjung Malaysia. Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur.

Sime Darby Berhad (2007) : Rangka Tindakan Sosio-ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara.

Takashi Torji (1997) : “The New Economic Policy and The United Malays National Organization – With Special Reference to the Restructuring of Malaysian Society”. In The Developing Economies Journal Vol. XXXV, No. 3, September 1997. (pp. 209 – 39).

Tunku Shamsul Bahrin (1988) : “Land Settlement in Malaysia : A Case Study of the Federal Land Development Authority Projects” in A. S. Oberai (ed.). Land Settlement Policies and Population Distribution in Developing Countries. Pracer, New York.

Tunku Shamsul Bahrin, P. D. A. Perera dan Lim Hong Kow (1986) : Kemajuan Tanah dan Penempatan Semula di Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

United Nations (1999) : Economy and Social Commission for Asia and The Pacific. Asian Population Studies Series No. 15A. The Impact of Globalization on Population Change and Poverty in Rural Area. United Nations, New York.

Victor T. King dan Nazaruddin Mohd. Jali (1992) : “Pembangunan Luar Bandar di Malaysia : Arah Hala dan Isu” di dalam Victor T. King dan Nazaruddin Mohd. Jali (ed.). Isu – Isu Pembangunan Luar Bandar di Malaysia. Penerbit Universiti Pertanian Malaysia, Kajang.

W. M. Adams (1995) : “Green Development Theory? Environmentalism and Sustainable Development” in Jonathan Crush (ed.). Power of Development. Routledge, London.

Wan Ibrisam Fikry Wan Ismail dan Ainur Zaireen Zainuddin (2005) : Pengenalan Kepada Sumber Tanah Luar Bandar. Dalam Monograf Jabatan Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, Johor.

Zulkifly Hj. Mustapha (1988) : “Pembangunan Desa, Kemiskinan dan Ketaksamaan” di dalam Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei (ed.). Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan. Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Zulkifly Osman (1997) : “Isu Pembangunan Tenaga Manusia Dalam Sektor Pertanian” dalam Surtahman Kastin, Zulkefli Senteri & Zaimah Darawi (ed.). Sektor Pertanian Kearah Pembentukan Negara Perindustrian. Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur.