Jumaat, 25 April 2008

PERSEKITARAN LUAR BANDAR DI MALAYSIA

PERSEKITARAN LUAR BANDAR DI MALAYSIA DAN ISU – ISU SEMASA LUAR BANDAR

PENDAHULUAN

Luar bandar atau kawasan desa merupakan sebuah petempatan yang terletak di kawasan – kawasan yang dikategorikan bukan kawasan perbandaran. Sebelum sesebuah kawasan menjadi sebuah Bandar, ia akan melalui proses bermula sebagai sebuah kawasan yang tidak didiami, kawasan petempatan desa, perubahan menjadi sebuah pekan dan seterusnya menjadi sebuah bandar. Ekonomi Luar Bandar hampir keseluruhannya adalah berasaskan kepada ekonomi pertanian yang merangkumi pertanian sara diri, pertanian komersil, penternakan, nelayan dan sebagainya.

Dalam konteks di Malaysia, petempatan luar bandar adalah dikategorikan kepada 5 kategori iaitu petempatan orang asli, petempatan kampung Melayu tradisional, kawasan penempatan berkelompok, kampung – kampung baru Cina dan kawasan perladangan milik syarikat – syarikat korporat. Di dalam kawasan petempatan desa, keadaan rumah atau tempat tinggalnya adalah berselerak dan hubungan kejiranan atau kekeluargaan adalah amat akrab jika dibandingkan dengan kawasan bandar. Dalam konteks ini, kawasan luar bandar adalah tidak maju dan kemudahan infrastruktur yang disediakan adalah terhad dan kurang berbanding dengan kawasan bandar.

Selain itu juga, kawasan luar bandar mempunyai persekitaran yang aman, damai dan nyaman. Ini adalah kerana kawasan luar bandar dikelilingi oleh flora dan fauna yang menjadikannya unik berbanding dengan kawasan bandar. Meskipun kawasan luar bandar dikategorikan tidak maju atau mundur, namun masalah kemiskinan yang wujud adalah tidak sedahsyat jika dibandingkan dengan kawasan bandar.

Di Malaysia, kemudahan bekalan elektrik, air dan telekomunikasi telahpun disediakan di kawasan – kawasan luar bandar. Dengan ini penduduk desa dapat menikmati kemudahan – kemudahan tersebut setanding dengan penduduk di kawasan bandar. Hampir 90% kawasan di Malaysia telah dilengkapi dengan kemudahan bekalan elektrik dan air. Terdapat juga sebilangan penduduk di kawasan petempatan desa sudah memiliki Astro.

DEFINISI DESA DAN KATEGORI PETEMPATAN LUAR BANDAR

Menurut Kamarudin Ngah dan Rahmat Azam Mustafa (1991), kawasan desa ditakrifkan sebagai sebuah kawasan petempatan yang tidak berfungsi sebagai sebuah kawasan perdagangan atau perniagaan utama dan ianya dikelilingi oleh kawasan pertanian yang mempunyai sempadan – sempadan yang tertentu yang mana kawasan ini tidak hanya digunakan sebagai tempat kediaman semata – mata. Mereka juga menyatakan bahawa tiada definisi yang khusus bagi menjelaskan pengertian atau maksud bagi sesebuah kawasan petempatan desa.

Secara amnya, kawasan desa merupakan sebuah kawasan yang terletak di luar kawasan perbandaran yang mana kehidupan masyarakatnya adalah bergantung kepada sumber pertanian atau semulajadi sebagai bahan asas makanan atau dijual di kawasan pusat pengumpulan hasil – hasil desa sebelum hasil – hasil tersebut dibawa ke bandar atau pekan yang berhampiran. Terdapat 5 kategori petempatan desa yang terdapat di Malaysia iaitu :-

a) Kawasan Petempatan Orang Asli

Orang Asli merupakan penduduk asal Malaysia yang mana kehidupan mereka lebih berbentuk primitive yang meliputi aspek sosial dan ekonomi. Kawasan petempatan orang asli sebenarnya terletak di tengah – tengah hutan belantara Malaysia dan hidup berpindah randah. Terdapat sesetengah masyarakat orang asli Malaysia yang telah menganut agama Islam dan Kristian, tetapi masih terdapat ramai yang mengamalkan kepercayaan Aninisme. Ekonomi utama bagi masyarakat orang asli adalah mengumpul hasil – hasil hutan dan memburu haiwan – haiwan liar di dalam hutan. Terdapat juga aktiviti bercucuk tanam yang dijalankan oleh masyarakat orang asli tetapi lebih bercorak kepada aktiviti pertanian sara diri.

b) Kawasan Perkampungan Melayu Tradisional

Kawasan ini terletak di dalam sebuah kawasan yang telah digazetkan sebagai Kawasan Simpanan Melayu dibawah Enakmen Rizab Melayu. Perkampungan ini telah wujud sejak sekian lama yang mana penduduk – penduduknya mempunyai hubungan kekeluargaan yang akrab yang tidak hanya bersifat kejiranan semata – mata. Keseluruhannya masyarakat Melayu tradisi menganut agama Islam dan masih kekal mengamalkan amalan tradisi Melayu yang diwarisi sejak turun temurun. Aktiviti pertanian sara diri merupakan aktiviti ekonomi utama bagi masyarakat ini. Pertanian sara diri yang diamalkan oleh masyarakat ini lebih kepada penanaman padi, buah – buahan tempatan dan kebun getah kecil. Selain itu, dasar penjajah Inggeris pada zaman penjajahan dulu yang mahu mengekalkan masyarakat Melayu tradisi dengan amalan hidup mereka yang diwarisi sejak turun menurun mengakibatkan masyarakat ini hidup dalam serba kemunduran berbanding dengan masyarakat di kawasan bandar. Dasar Kerajaan British juga ingin memastikan orang – orang Melayu kekal dengan aktiviti pertanian sara diri selaras bagi memenuhi keperluan jaminan hidup mereka semasa era penjajahan dahulu. Walaupun Negara telah mencapai kemerdekaan, amalan tersebut masih diamalkan di beberapa petempatan Melayu tradisi terutamanya di kawasan – kawasan pendalaman.

c) Kawasan Penempatan Berkelompok

Semasa negara baru mencapai kemerdekaan, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein telah memperkenalkan skim rancangan tanah berkelompok yang dikelolakan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada tahun 1956. Peneroka rancangan ini adalah terdiri dari kalangan masyarakat Melayu tradisi yang dikategorikan miskin serta tidak mempunyai tanah untuk menjana pendapatan mereka. Dengan pembukaan tanah – tanah dibawah Skim Felda, banyak kawasan petempatan berkelompok telah dibuka bagi memberi peluang kepada golongan peneroka untuk mengerjakan ladang – ladang getah, kelapa sawit dan sebagainya sebagai punca pendapatan mereka.

Selain itu, rancangan – rancangan Felcra (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan) juga memperkenalkan skim petempatan pertanian berkelompok dibawah rancangan tanah belia, rancangan keselamatan dan sebagainya bagi memberi peluang masyarakat peneroka yang terdiri dari orang – orang Melayu dan asli untuk terlibat di dalam aktiviti pertanian komersil yang menjamin pendapatan isirumah mereka.

Kerajaan – kerajaan negeri Perak, Terengganu, Johor dan Selangor melalui perbadanan pembangunan pertanian negeri juga memperkenalkan skim rancangan tanah belia bagi menggalakkan penglibatan belia – belia dari kawasan desa untuk melibatkan di dalam aktiviti pertanian komersil selain untuk mencegah aktiviti – aktiviti tidak sihat menyelubungi golongan tersebut.

Walaubagaimanapun, kesemua skim – skim pembangunan ini telah dihentikan selepas tahun 1990 dan Felda hanya menumpukan program pembangunan tanah di Sabah.

d) Kampung Baru Cina

Semasa zaman darurat dari tahun 1948 hingga 1960, masyarakat luar bandar dari kalangan masyarakat Cina telah dikumpulkan di sebuah petempatan khusus yang dirancang dan dikawal oleh kerajaan pada ketika itu. Ini adalah kerana, ancaman subversif Parti Komunis Malaya (PKM) menjadi punca kepada Kerajaan British Malaya untuk mengawal kemasukan dakyah PKM dikalangan masyarakat Cina di kawasan luar bandar. Banyak kampung – kampung baru telah dibuka semasa era darurat. Sebelum dikumpulkan di kampung – kampung baru, kebanyakkan masyarakat Cina luar bandar terlibat dengan aktiviti pertanian seperti tanaman sayur – sayuran dan penternakan. Mereka ini telah diancam oleh PKM untuk menyediakan keperluan mereka dari aspek bekalan makanan, ubat – ubatan dan sebagainya bagi melancarkan serangan terhadap kerajaan pada ketika ini.

Kini masyarakat Cina di petempatan kampung – kampung baru masih mengamalkan aktiviti – aktiviti pertanian tersebut dan terdapat juga mereka ini terlibat di dalam aktiviti perniagaan tani di kawasan luar bandar.

e) Petempatan Estet

Masyarakat India banyak tinggal di kawasan – kawasan petempatan estet yang telah dibuka oleh peladang – peladang Eropah semasa era penjajahan Inggeris di Malaysia. Mereka ini terdiri dari masyarakat India Selatan yang telah dibawa oleh British ke Tanah Melayu untuk bekerja di ladang – ladang tersebut. Walaupun negara telah mencapai kemerdekaan, pemilikan syarikat – syarikat perladangan telah bertukar tangan dari milik peladang Inggeris kepada syarikat korporat milik Malaysia seperti Sime Darby, Guthrie dan sebagainya.

Aktiviti utama masyarakat India estet adalah bekerja sebagai buruh kepada syarikat perladangan tersebut untuk mengumpul hasil – hasil pertanian yang terdiri dari hasil getah dan kelapa sawit. Pendapatan mereka adalah berasaskan bayaran upah yang telah ditetapkan oleh pemilik ladang dan golongan buruh ini telah disediakan unit kediaman untuk ahli – ahli keluarga mereka.

JENIS – JENIS PERTANIAN UTAMA LUAR BANDAR

a) Tanaman Padi

Padi merupakan satu daripada
tanaman bijirin dan merupakan makanan ruji bagi ramai penduduk dunia termasuk Malaysia. Di Malaysia padi yang ditanam terbahagi kepada dua jenis iaitu padi sawah yang juga dikenali sebagai padi bendang, dan padi huma atau padi bukit. Padi sawah atau padi bendang adalah jenis padi yang paling banyak di tanam kerana dapat mengeluarkan hasil yang tinggi. Padi sawah memerlukan banyak menggunakan air, baja dan perlu di tanam dengan cara yang teratur.

Padi sawah banyak di tanam di
Semenanjung Malaysia iaitu di Pantai Barat terutamanya di bahagian Utara. Keadaan ini berlaku kerana terdapat kawasan berpaya yang datar dan terdapat satu musim lembap yang ketara dengan purata hujan tahunan melebihi 3500 mm. Kesesuaian ini di tambah lagi dengan adanya musim panas yang berpanjangan.

Padi huma merupakan padi asal yang ditanam di Malaysia sebelum padi sawah diperkenalkan. Padi huma mempunyai hasil yang rendah dan kurang bermutu. Ini disebabkan padi huma di tanam dengan cara lama dan kurang menggunakan baja serta daripada benih yang kurang baik. Padi juga tidak di jaga dengan baik dan selalu pula dirosakkan oleh serangga. Padi jenis ini banyak di tanam di
Sabah dan Sarawak yang kebiasaannya ditanam oleh orang asli seperti orang Iban dan Murut. Kelebihan padi huma adalah padi huma tidak memerlukan jumlah air yang banyak dan dapat ditanam di kawasan di mana air tidak bertakung.

b) Tanaman Getah

Mengikut sejarah, pokok getah tumbuh secara liar di kebanyakkan negara – negara di Amerika Selatan. Pada tahun 1496
Christhopher Columbus membawa balik cerita-cerita pelik seperti kisah sebiji bola yang boleh melambung. Orang-orang di Pulau Haiti di Laut Carribean membuat bola permainan ini dari gam sejenis pokok.

Sekitar tahun 1900 terdapat 2500 hektar kawasan kebun getah yang telah ditanam di Asia. Seorang usahawan automobil Amerika Syarikat iaitu
Henry Ford mula membuat kereta dan sekaligus telah mengakibatkan permintaan terhadap tayar getah meningkat secara mendadak. Pada tahun 1910 terdapat 500,000 hentar tanah yang ditanam pokok getah di Asia. Enam juta hektar pokok getah masih belum mencukupi untuk menampung permintaan tayar getah.

Ladang dengan keluasan lebih 40 hektar telah diusahakan oleh majikan dari England, Perancis, Belanda dan Australia. Rumah pekerja dibina dan pekerja dibawa dari Sri Lanka dan India. British telah menjajah India sejak sekian lama. Di Malaysia, banyak ladang – ladang pertanian milik Usahawan British telah dibangunkan. Antaranya ialah Syarikat Perladangan Guthrie, Sime Darby dan Golden Hope Plantations. Walaubagaimanapun, ketiga – tiga Syarikat Perladangan milik British telah diambilalih oleh Malaysia. Syarikat – syarikat berkenaan juga mempunyai tanah – tanah ladang di beberapa negara di benua Afrika.

Kebun Kecil dari segi istilah bermaksud kawasan pertanian yang mempunyai keluasan kurang dari 40 hektar disebut kebun kecil. Manakala kawasan yang mempunyai keluasan lebih 40 hektar disebut ladang. Biasanya kebun kecil getah hanya 1 hingga 5 hektar sahaja. Pada masa kini, terdapat kira – kira 500,000 pekebun kecil memiliki 1,240,000 hektar kawasan getah. Iaitu 73.4 % dari jumlah kawasan getah di Semenanjung Malaysia.

Pada tahun 1984, Semenanjung Malaysia telah mengeluarkan 1,486,025 tan metrik getah. kira-kira 60 % dari keluaran ini disumbangkan oleh sektor kebun kecil. Biasanya pekebun kecil tinggal berdekatan dengan kawasan pokok getah. Setelah 6 tahun ditanam, pokok getah bolehlah ditoreh.

c) Tanaman Kelapa Sawit

Pokok Kelapa Sawit terdiri daripada dua
spesies Arecaceae atau famili palma yang digunakan untuk pertanian komersil dalam pengeluaran minyak kelapa sawit. Pokok Kelapa Sawit Afrika, Elaeis guineensis, berasal dari Afrika barat di antara Angola dan Gambia, manakala Pokok Kelapa Sawit Amerika, Elaeis oleifera, berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

Pokok – pokok yang matang mempunyai satu batang pokok yang tunggal dan tumbuh sehingga 20
meter tingginya. Daunnya merupakan daun majmuk yang anak-anak daunnya tersusun lurus pada kedua-dua belah tulang daun utama seolah-olah bulu dan mencapai 3 hingga 5 meter panjangnya. Pokok yang muda menghasilkan lebih kurang 30 daun setiap tahun, dengan pokok yang matang yang melebihi 10 tahun menghasilkan lebih kurang 20 daun. Bunganya berbentuk rumpun yang padat. Setiap bunganya kecil sahaja, dengan tiga sepal dan tiga kelopak. Buahnya memakan 5 hingga 6 bulan untuk masak dari masa pendebungaan. Ia terdiri daripada lapisan luar yang berisi dan berminyak (perikarp), dengan biji tunggal (isirung) yang juga kaya dengan minyak. Berbanding dengan saudaranya, Pokok Kelapa, Pokok Kelapa Sawit tidak menghasilkan tunas susur. Pembiakannya adalah melalui penyemaian biji-biji buah sawit.

Industri sawit
Malaysia dan Indonesia bermula apabila empat anak benih dari Afrika ditanam di Taman Botani Bogor, Indonesia pada tahun 1848. Benihnya dari Bogor ini kemudiannya ditanam di tepi-tepi jalan sebagai tanaman hiasan di Deli, Sumatera pada dekad 1870-an dan di Rantau Panjang, Kuala Selangor pada tahun 1911-1912.

Kelapa sawit adalah salah satu
komoditi pertanian utama bagi negara Malaysia yang perkembangannya demikian pesat. Selain pengeluaran minyak kelapa sawit yang tinggi, hasil sampingan juga tinggi.

Secara umum, hasil dari industri kelapa sawit terdiri daripada tiga jenis, iaitu minyak cair, padat dan gas. Minyak kelapa sawit berasal dari unit proses pengukusan (pensterilan), proses pembersihan, dan buangan dari
hidrosiklon.

Pada umumnya, minyak industri kelapa sawit mengandungi
bahan organik yang tinggi sehingga berpotensi mencemari air tanah, dan sungai serta laut. Minyak likat kelapa sawit dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:

· Likat yang berasal daripada proses pengolahan: Limbah padat ini berupa Tandan Kosong Kelapa Sawit, cangkang atau tempurung, serabut atau serat, enap cemar atau lumpur, dan bungkil. TKKS dan lumpur yang tidak tertangani menyebabkan bau busuk, tempat bersarangnya
serangga dan lalat dan berpotensi menghasilkan bahan larut lesap.
· Likat yang berasal daripada pengolahan minyak cair: Limbah padat ini berupa lumpur aktif yang terbawa oleh hasil pengolahan air limbah.

d) Tanaman Tebu

Pokok Tebu merupakan bahan utama yang digunakan dalam pembuatan
gula. Terdapat beberapa spesies tebu, tetapi yang paling biasa dilihat adalah tebu kuning. Terdapat juga tebu hitam.

Kira-kira 107 buah negara menanam pokok tebu untuk menghasilkan 1,324 juta tan (melebihi enam kali jumlah
bit gula yang dihasilkan). Pengeluar-pengeluar terbesar ialah Brazil, India, China, dan Pakistan, dan merupakan melebihi 50% daripada pengeluaran dunia.

Penanaman tebu memerlukan cuaca tropika atau separa tropika, dengan hujan minima 600 mm (24 inci) setahun. Ia merupakan salah satu tumbuhan yang memiliki sistem
fotosintesis paling berkesan dalam alam tumbuhan, mampu menukar sehingga 2% dari tenaga suria kepada [biojisim]]. Dalam wilayah penanaman utama, seperti Hawai, tebu mampu menghasilkan 20 kg gula bagi setiap meter persegi yang terdedah kepada matahari.

Tebu ditanam dari keratan batang berbanding biji benih, walaupun sesetengah jenis tebu masih mampu menghasilkan biji benih, kaedah moden melalui potongan batang telah menjadi kaedah utama pembiakan. Setiap potongan mesti mengandungi sekurang-kurangnya satu kudup, dan potongan batang ini biasanya ditanam menggunakan tangan. Selepas ditanam, jambakan batang tebu boleh dituai beberapa kali; setiap kali selepas tuaian, batang asal akan menumbuhkan pucuk baru, dikenali sebagai ratoons. Biasanya, setiap tuaian yang berikut memberikan hasil semakin berkurangan, dan akhirnya pengurangan hasil menyokong penanaman semula. Bergantung kepada amalan penanaman, tuaian antara 2 hingga 10 boleh dilakukan antara setiap penanaman.

Tebu digunakan sebagai tumbuhan makanan oleh
larva sesetengah spesies lepidoptera, termasuk kupu-kupu turnip.

Tebu boleh dituai menggunakan tangan atau mekhanikal. Penuaian menggunakan tangan menyumbang kepada separuh dari pengeluaran dunia, dan amat berleluasa di negara membangun. Apabila dituai dengan tangan, ladang tebu akan dibakar. Api merebak dengan cepatnya, membakar daun, tetapi membiarkan batang dan akar yang dipenuhi air selamat. Penuai kemudian memotong batang yang tegak pada aras tanah dengan pisau. Penuai tebu yang mahir mampu memotong 500 kg tebu sejam.

e) Tanaman Koko

Koko atau nama saintifiknya Theobroma cacao dari keluarga "Sterculiaceae" adalah daripada bahasa Yunani yang bermaksud makanan para dewa. Pokok koko menghasilkan buah yang bijinya diambil untuk dibuat coklat dan minuman koko.

Pokok koko (Theobroma cacao) adalah kecil dengan ketinggian antara (4.5-7.5
m), merupakan pokok malar hijau dalam Famili Sterculiaceae, yang berasal dari Amerika Selatan dan Amerika Tengah. Benih koko biasanya digunakan untuk menghasilkan koko dan coklat.

Pokok koko tumbuh secara semulajadi pada tahap ketinggian 1,000 kaki (300
m), dan memerlukan cuaca lembab dengan hujan berkala dan tanah yang subur. Benih koko, biasanya dipanggil "beans", terkandung di dalam buah yang dikenali sebagai pod koko yang berbentuk bujur, sepanjang 15-30 cm, dan 8-10 cm lebar. Setiap pod mengandungi 20 hingga 60 biji benih dalam isi putih. Hampir 300 biji diperlukan untuk menghasilkan 1 kilogram pasta koko. Setiap benih mengandungi sejumlah besar lemak (40-50% dalam bentuk mentega koko).

ISU – ISU SEMASA KAWASAN LUAR BANDAR

Di dalam membincangkan isu – isu persekitaran luar bandar di Malaysia, ia adalah merangkumi aspek – aspek yang berkaitan dengan politik, ekonomi dan social, antaranya ialah :-

a) Kehidupan Masyarakat Yang Primitif

Di dalam membincangkan isu ini, ia lebih melihat kepada sesetengah masyarakat orang asli yang masih tinggal di dalam hutan – hutan belantara di Malaysia. Terdapat golongan yang masih berpegang kuat kepada amalan tradisi mereka yang telah diwarisi sejak dahulu lagi. Ini termasuklah fahaman terhadap penghijrahan seseorang ahli komuniti orang asli ke kehidupan moden. Mereka percaya sekiranya mereka bertukar cara hidup akan mengakibatkan bala bencana akan menimpa diri mereka. Kepercayaan aninisme yang dianuti oleh mereka masih utuh terutama sekali bagi golongan tua yang mungkin telah melaluinya secara tidak sengaja dan menjadi ikutan mereka sehingga kini. Oleh yang demikian, pegangan dan fahaman kepada ajaran aninisme yang dianuti oleh mereka mengakibatkan masyarakat orang asli tersebut tidak dapat memajukan hidup dan masyarakat mereka. Oleh itu, pembangunan yang ingin dibawa adalah sukar yang mana pihak pelaksana tidak dapat menjelaskan kepentingannya kepada golongan tersebut.

Bagi sesetengah masyarakat Melayu tradisional, mereka beranggap bahawa pembangunan tanah melalui proses pengambilan tanah untuk tujuan pembinaan bandar – bandar baru di tempat mereka boleh mengakibatkan mereka akan kehilangan tanah dan akan bertambah miskin disebabkan tiada tanah untuk digunakan bagi menjalankan aktiviti pertanian sara diri yang telah diamalkan oleh mereka sejak dari turun temurun. Mereka ini juga khuatir, pembangunan fizikal dan permodenan ini akan menjejaskan amalan tradisi mereka yang menjadi ikutan mereka sejak zaman berzaman.

b) Fahaman Perkauman Yang Menebal

Dalam konteks ini, kita akan merujuk kepada 2 kaum utama di Malaysia yang pernah mengharungi tragedi 13 Mei 1969 iaitu Kaum Melayu dan Cina. Ini adalah kerana, kedua – dua kaum ini tidak tinggal secara bersama. Ini adalah rentetan dari tinggalan dasar pemerintahan British di Malaysia. Kebanyakkan kaum – kaum Melayu ini tinggal di kampung – kampung tradisi yang telah digazetkan sebagai Tanah Rizab Melayu oleh Kerajaan Britain pada ketika itu.bagi mengekalkan kepentingan orang – orang Melayu terhadap penghasilan sumber makanan bagi masyarakat Melayu. Manakala kaum Cina pula telah dikumpulkan oleh Kerajaan British semasa era Darurat di Tanah Melayu bagi mengekang ancaman PKM terhadap orang – orang Cina. Walaupun zaman telah berlalu, namun kedua – dua kaum ini yang tinggal di kebanyakkan negeri – negeri di Malaysia adalah secara berasingan serta mempunyai semangat perkauman yang menebal. Akibatnya untuk mewujudkan suatu kerjasama antara kedua – dua kaum ini adalah sukar disebabkan wujudnya perasaan syak wasangka antara satu sama lain. Selain dari itu, perbezaan fahaman dan tingkatan pendapatan kedua – dua kaum juga mengakibatkan pembangunan yang berbentuk integrasi sukar untuk dilaksanakan.

Terdapat sesetengah masyarakat Melayu Tradisional beranggapan bahawa masyarakat orang Melayu sukar untuk tinggal di kawasan penempatan kaum Cina. Ini disebabkan oleh perbezaan kebudayaan, fahaman agama serta politik yang menyukarkan kewujudan sebuah masyarakat yang saling memahami antara satu sama lain. Sebagai contohnya, merujuk kepada kawasan Bota dan Tronoh di negeri Perak. Hampir 95% masyarakat Melayu tinggal di Bota dan Masyarakat Cina di Tronoh.

c) Fahaman Politik yang berbeza

Merujuk kepada kenyataan akhbar baru – baru ini, terdapat anggapan bahawa parti memerintah di Malaysia iaitu Barisan Nasional banyak didampingi oleh kumpulan – kumpulan elit masyarakat Malaysia di kawasan – kawasan bandar, manakala parti – parti pembangkang pula banyak diikuti oleh masyarakat luar bandar di Malaysia. Akibat dari perbezaan fahaman politik dan sikap sesetengah wakil – wakil rakyat dari kalangan parti memerintah yang hanya sesekali meninjau tempat yang diwakilinya serta sikap jarang mengambil peduli telah mengakibatkan banyak penduduk luar bandar memilih parti – parti pembangkang sebagai ikutan politiknya. Ini ditambah lagi dengan isu – isu yang dibawa oleh ahli – ahli parti pembangkang berhubung dengan parti memerintah telah mengakibatkan sukarnya masyarakat luar bandar terutama masyarakat tradisi untuk menerima aliran pembaharuan dan pembangunan ke tempat mereka. Disebabkan isu ini, kerajaan dari parti memerintah sukar untuk melaksanakan projek – projek pembangunan dan pemodenan ke petempatan mereka.

d) Pegangan Amalan Agama yang kuat

Isu ini adalah merujuk kepada amalan yang masih diikuti oleh sesetengah masyarakat kaum India yang tinggal di kawasan luar bandar terutamanya di estet – estet. Sebagaimana yang telah kita ketahui, kebanyakkan kaum India yang tinggal di Malaysia adalah bersusurgalur dari keturunan India Selatan yang masih berpegang kepada amalan kasta. Walaupun demikian, pegangan kasta ini telah dinafikan dibawah peruntukkan Perlembagaan Persekutuan, namun ikutan ini masih lagi menjadi amalan mereka. Sesetengah masyarakat India yang berkasta agak tinggi sukar untuk menerima orang – orang yang berkasta rendah. Ini adalah pegangan agama Hindu yang menjadikan masyarakat India sukar bekerjasama antara satu sama lain disebabkan oleh perbezaan fahaman kasta ini. Akibat dari itu, adalah sukar bagi kerajaan untuk mewujudkan permodenan dan penyediaan infrastruktur yang baik sekiranya perbezaan fahaman ini tidak boleh dimansuhkan.

e) Pemanasan Global dan Persekitaran

Sejajar dengan masalah yang dihadapi oleh dunia pada masa kini, masalah ini berlaku disebabkan banyak kawasan hutan telah dibersihkan dan ditebang bagi memberi laluan pembangunan fizikal. Akibatnya, masalah sistem ekologi sesebuah negara terancam. Selain dari pembangunan fizikal, perlaksanaan projek – projek pembangunan pertanian komersil juga dikurangkan sejak dari tahun 1990. Ini adalah kerana, pembangunan pertanian juga mengancam keseimbangan sistem ekologi yang juga boleh menyumbang ke arah pencemaran air dan alam sekitar melalui penggunaan baja dan racun serangga. Oleh itu, pembangunan hanya ditumpukan di kawasan – kawasan yang sedia ada melalui perlaksanaan program pemulihan dan pembangunan semula. Bagi mengekalkan persekitaran luar bandar yang sedia ada, banyak dasar – dasar telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi menjamin keseimbangan alam sekitar.

f) Pemilikan Tanah Rizab Melayu berbilang pemilik

Masalah ini telah wujud sekian lama dikalangan masyarakat Melayu tradisional. Ini adalah kerana kebanyakkan masyarakat Melayu tradisional mempunyai kuasa beli yang rendah berbanding dengan kaum – kaum lain di Malaysia. Disebabkan masalah kurangnya kuasa beli ini, ramai orang – orang Melayu tradisi bergantung harap terhadap pemilikan tanah secara warisan dari ibubapa mereka yang telah meninggal dunia. Walaupun saiz tanah rizab Melayu masih dapat mengekalkan keluasannya, namun bilangan pemilik terhadap tanah – tanah tersebut semakin ramai yang menyebabkan tanah – tanah tersebut menjadi tidak ekonomik dan terbiar.

g) Jarak dan Laluan yang jauh dari pusat bandar yang terdekat

Terdapat sesetengah petempatan desa di Malaysia tidak dapat dilalui melalui jalan – jalan raya seperti penggunaan sungai sebagai medium laluan bagi masyarakat luar bandar untuk mendapatkan kemudahan dan bekalan dari bandar – bandar yang berhampiran. Seperti di kawasan pendalaman di Pahang, Sabah dan Sarawak, penggunaan perahu panjang dan pengangkutan udara telah menjadi medium untuk memudahkan pergerakan masyarakat desa. Terdapat juga tempat yang menggunakan perkhidmatan keretapi seperti di Kelantan sebagai alat pengangkutan yang efektif untuk memudahkan pergerakan masyarakat luar bandar. Dengan tiadanya kemudahan perhubungan ini, pembangunan sukar untuk dibawa ke kawasan petempatan tersebut serta proses permodenan kawasan luar bandar juga terbantut atau terpaksa ditangguhkan dulu.

h) Penghijrahan golongan belia

Isu penghijrahan golongan belia luar bandar ke bandar – bandar besar adalah disebabkan oleh 2 faktor utama iaitu faktor tolakan dan faktor tarikan. Faktor tarikan adalah merujuk kepada peluang – peluang pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan dan tinggi serta cara hidup yang berbeza jika dibandingkan dengan kawasan luar bandar. Manakala faktor tolakan pula adalah merujuk masalah kemiskinan, peluang pekerjaan dan masalah kekurangan faktor ekonomi di luar bandar yang mengakibatkan wujudnya konflik dikalangan remaja luar bandar. Akibat dari penghijrahan golongan belia ke bandar telah mengakibatkan wujudnya masalah kampung tinggal dan populasi penduduk yang hanya terdiri dari golongan tua dan kanak – kanak. Oleh yang demikian, kemajuan kawasan luar bandar sukar untuk dilaksanakan dan akhirnya kawasan ini akan menjadi hutan atau belukar apabila ianya tidak didiami oleh penduduk.

CADANGAN MENGATASI ISU – ISU LUAR BANDAR

Bagi menjamin keseimbangan antara kawasan luar bandar dan kawasan bandar di Malaysia, beberapa cadangan telah digariskan oleh penulis, antaranya ialah :-

a) Peranan Kerajaan Memenangi Hati Penduduk

Dalam hal ini, masalah perbezaan fahaman politik antara pihak kerajaan dan penduduk kawasan luar bandar boleh diatasi melalui peranan ahli – ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menyelami perasaan penduduk – penduduk luar bandar. Sebagai seorang wakil rakyat yang dipilih dan dilantik oleh rakyat, sepatutnya wakil rakyat ini tinggal di dalam kawasan kampung yang menjadi tempat tinggal bagi rakyat yang memilih mereka. Dengan ini harapan dan keinginan masyarakat luar bandar akan difahami dan bertindak demi kemajuan tempat tinggal mereka. Senario pada masa kini, terdapat ramai wakil – wakil rakyat dari parti pemerintah tinggal di kawasan – kawasan bandar dan terdapat sebilangan dari mereka tinggal di Kuala Lumpur yang letaknya jauh dari tempat tinggal rakyat yang memilihnya. Kesempatan ini telah digunakan oleh ahli – ahli parti pembangkang untuk mendekati mereka dan menyampaikan risalah – risalah berkaitan dengan parti pembangkang serta isu – isu yang berkaitan dengan kelemahan kerajaan yang memerintah. Apabila wujudnya hubungan yang harmoni antara kerajaan dan penduduk di kawasan luar bandar, adalah mustahil bagi parti – parti pembangkang untuk mendekati mereka bagi menyampai risalah dan propaganda pembangkang. Akhirnya jurang yang wujud diantara mereka dapat dihapuskan.

b) Kepentingan Peranan Ketua Komuniti

Bagi mengatasi masalah perbezaan fahaman di dalam amalan agama yang dianuti oleh sesetengah kaum, peranan ketua komuniti bagi sesebuah masyarakat adalah perlu. Ini adalah kerana ketua komuniti akan cuba membetulkan tanggapan ahli – ahli di dalam masyarakat mereka berhubung dengan masalah ini. Ketua komuniti juga harus diberi kursus dan latihan dari pihak kerajaan untuk memberi penerangan berhubung kebaikan dan kepentingan pembangunan dan permodenan bagi sesebuah kawasan komuniti serta kemampuannya untuk memajukan masyarakat tersebut dari aspek social, politik dan ekonomi. Dengan membekalkan pengetahuan ini, ketua komuniti akan mampu menjelaskannya kepada anak – anak buah mereka dan memastikan mereka ini bersedia untuk maju. Apa yang penting ialah, hubungan yang baik antara ketua komuniti dengan kerajaan adalah perlu. Bagi masyarakat India pula, isu berhubung dengan amalan kasta yang masih menjadi amalan mereka mestilah merujuk kepada sami – sami yang akan bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah tersebut. Hal ini boleh diselesaikan melalui rundingan dikalangan ahli – ahli komuniti berkenaan.

c) Pemantapan Latihan Kepada Golongan Belia

Cadangan ini sesuai bagi isu penghijrahan golongan belia ke bandar dan masalah tanah rizab Melayu berbilang pemilik. Belia merupakan tenaga kerja luar bandar yang paling efektif sejajar dengan usia mereka. Kebanyakkan belia – belia luar bandar ini pernah berpengalaman di dalam mengerjakan tanah – tanah pertanian milik keluarga, jadi kerajaan melalui agensi – agensi pembangunan pertanian seharusnya menyediakan kelas latihan dan kursus kepada mereka meliputi permodenan sistem pertanian dan kerjaya sebagai usahawan tani. Untuk menjayakan program ini, latihan, tenaga pengajar dan perkakasan seharusnya disediakan untuk kegunaan bersama. Masalah bagi tanah – tanah rizab Melayu berbilang pemilik boleh diatasi melalui campurtangan kerajaan di dalam melaksanakan penyatuan tanah – tanah rizab Melayu yang bukan tapak rumah untuk kegunaan pertanian. Tanah – tanah tersebut akan dijadikan ladang yang mana pembayaran sewa tapak adalah berasaskan kepada keluasan tanah yang diserahkan kepada pemilik berdaftar dan pembayaran upah mengikuyt hasil yang diperolehi. Disamping itu juga, kerajaan boleh mendapatkan mana – mana tanah di dalam kawasan kampung untuk dijadikan sebagai pusat komersil pertanian bagi menggalakkan penglibatan golongan belia desa di dalam aktiviti keusahawanan tani. Walaupun demikian, penerapan displin harus dititikberatkan bagi menjamin kejayaan program ini.

d) Mewujudkan Pusat Pertemuan yang terletak antara penempatan tradisi Melayu dan penempatan bukan Melayu

Semasa era penjajahan Inggeris di Malaysia, British telah menggunakan pendekatan “Pecah dan Perintah” di dalam sistem pentadbiran mereka. Ini adalah bertujuan untuk tidak mewujudkan hubungan yang harmoni antara Masyarakat Melayu, Cina dan India di Tanah Melayu. Selain itu untuk menjamin kekuasaan British di Tanah Melayu akan berterusan serta berjalan lancar tanpa adanya tentangan dari kaum – kaum tersebut. Selain itu, pengenalan sistem ekonomi dan penempatan yang berbeza – beza antara kaum tersebut akan melemahkan mereka untuk bangkit menentang Kerajaan Inggeris di Tanah Melayu. Sejarah telah menunjukkan Kerajaan British telah menguasai India dan Hongkong serta menggalakkan penghijrahan bangsa – bangsa tersebut ke tanah – tanah jajahan British yang lain bagi mewujudkan perbezaan kaum bagi sesebuah tanah jajahan tersebut. Setelah negara mencapai kemerdekaan, masalah kaum di Malaysia yang masih mengekalkan corak sosial yang diperkenalkan oleh British.

Akibatnya sikap perkauman masih kekal dan masih wujud ketidaksefahaman dan syak wasangka antara kaum – kaum tersebut. Orang – orang Melayu mempunyai pemilikan tanah – tanah rizab Melayu yang diwarisi, manakala kaum – kaum bukan Melayu terutamanya kaum Cina mempunyai modal dan sumber kewangan yang banyak. Semasa zaman Darurat (1948 – 1960), Kerajaan Inggeris telah mengumpul dan menempatkan kaum Cina yang tinggal di kawasan – kawasan penempatan berhampiran dengan kawasan hutan. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan ejen – ejen Parti Komunis Malaya (PKM) menghasut dan mengugut mereka. Kebanyakkan penempatan – penempatan bagi kampung baru Cina terletak bersebelahan dan berhampiran dengan penempatan tradisi kaum Melayu. Walaupun begitu, hubungan antara kaum Melayu dan Cina tidak serapat mana dan ini adalah disebabkan oleh perasaan bersifat perkauman yang kuat bagi kedua – dua kaum tersebut.

Bagi mewujudkan satu hubungan yang lebih interaktif dan muhibah serta dapat mewujudkan sebuah kerjasama yang baik antara kaum – kaum tersebut, adalah disarankan bagi mewujudkan sebuah pusat pertemuan seperti dewan atau tempat perhimpunan khusus bagi mewujudkan hubungan yang erat antara kaum berkenaan serta mampu mewujudkan suasana kerjasama yang baik yang meliputi aspek – aspek sosial, ekonomi dan politik. Penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Antara Kaum di peringkat penempatan mampu mewujudkan sebuah organisasi yang boleh bekerjasama antara satu sama lain untuk kemajuan sosial, politik dan ekonomi. Ini termasuklah untuk memajukan tanah Rizab Melayu yang juga melibatkan kedua – dua kaum tersebut.

e) Penyediaan Kemudahan Baru dan Menaiktarafkan Kemudahan Sedia ada

Masalah jarak dan sistem perhubungan dan pengangkutan yang bersifat konvesional boleh diatasi yang mana kerajaan melalui wakil – wakil rakyat dipilih seharusnya memberi tumpuan utama terhadap penyediaan kemudahan lalulintas. Ini adalah untuk memastikan jarak dan hubungan antara kawasan bandar yang terdekat dengan kawasan pendalaman boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan tidak mengira masa. Walaupun Malaysia telah merdeka sejak 50 tahun dahulu, masalah perhubungan antara kawasan pendalaman dengan bandar sepatutnya telah diatasi. Namun tumpuan kurang diberi terhadap kawasan – kawasan pendalaman yang pada fikiran kerajaan tidak penting. Apabila tumpuan terhadap pembinaan dan penaiktarafan kemudahan lalulintas diberi, apa yang pasti kemajuan kawasan luar bandar akan berjaya. Dengan ini, ekonomi luar bandar akan meningkat serta mengurangkan masalah penghijrahan golongan belia ke kawasan bandar.

f) Pembangunan Lestari

Isu pemanasan global dan gangguan terhadap keseimbangan ekologi alam sekitar telah menjadi topik hangat pada masa kini. Namun untuk mengatasi masalah ini 100% adalah sukar. Sebaliknya, pengekalan nilai estetika luar bandar dengan menghalang perbandaran bagi kawasan petempatan tradisional boleh dilaksanakan. Kita boleh lihat di sesetengah petempatan di negara – negara Eropah. Walaupun negara – negara tersebut maju, namun pengekalan nilai alam sekitar juga menjadi keutamaan mereka. Pembukaan kawasan – kawasan hutan rizab bagi tujuan pembangunan fizikal sebaik – baiknya hendaklah dielak sama sekali. Sebaliknya bandar – bandar lama yang pernah menjadi pusat pembangunan ekonomi setempat sepatutnya dibangunkan semula melalui projek pembangunan semula bandar. Manakala pekan – pekan kecil pula bolehlah dinaikkan tarafnya. Namun, petempatan desa ini seharusnya dimodenkan tanpa menjejas suasana persekitaran desa. Penyediaan kemudahan – kemudahan asas pula seharusnya mengambilkira sentiment kepentingan alam sekitar kawasan luar bandar. Pembinaan unit – unit hartanah baru di kawasan luar bandar seharusnya dielakkan. Masalah global ini kebanyakkannya berpunca dengan perlaksanaan pembangunan fizikal seperti pembukaan bandar – bandar baru, pembinaan unit – unit hartanah dan pembinaan kawasan pertanian yang berskel besar.

KESIMPULAN

Luar Bandar merupakan benteng pemampan keseimbangan alam sekitar sejak dahulu lagi. Selain sebagai tempat penyumbang sumber – sumber ekonomi, ia juga bertindak sebagai tempat beriadah dan menenangkan fikiran bagi kebanyakkan masyarakat bandar. Walaupun demikian, masalah yang timbul ialah kawasan – kawasan luar bandar ini kurang mendapat tumpuan oleh pihak kerajaan terutama sekali bagi kawasan – kawasan yang tidak mempunyai kepentingan ekonomi yang baik kepada sektor ekonomi negara. Akibatnya, kemudahan lalulintas dan kemajuan sektor pertanian kurang diberi tumpuan dan akibatnya ekonomi luar bandar menjadi bertambah mundur.

Keseimbangan alam sekeliling juga menyumbang ke arah ketidakmajuan di kawasan luar bandar. Namun isu ini seharusnya tidak menjadi masalah di dalam memodenkan kawasan luar bandar. Sebaliknya permodenan yang hendak dibawa itu seharusnya disesuaikan dengan sentimen semasa. Ini adalah untuk menjadikan kawasan luar bandar menjadi moden sesuai dengan peredaran zaman.

Masalah ketidaksepakatan antara kaum – kaum utama di Malaysia juga wujud akibat dari perasaan syak wasangka yang wujud sejak sekian lama. Ini ditambah lagi dengan legasi tinggalan penjajah Inggeris yang memperkenalkan dasar “Pecah dan Perintah” yang masih kekal diamalkan oleh kaum – kaum tersebut. Akibatnya, perasaan perkauman yang menebal dikalangan kaum – kaum tersebut masih wujud yang mengakibatkan dasar mengintegrasikan kaum tersebut tidak dilaksanakan dengan baik oleh kerajaan. Adalah diharapkan, cadangan – cadangan ini boleh digunapakai bagi mewujudkan persekitaran luar bandar yang maju. moden dan harmoni di Malaysia.

RUJUKAN

Abdul Aziz Abdul Rahman (1998) : “Economic Reforms and Agricultural Development in Malaysia”. In Asean Economic Bulletin April 1998 (pp. 59 – 76).

Ahmad Mahdzan Ayob (1997) : Pembangunan Pertanian : Ekonomi dan Bukti Empirik. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Chamhuri Siwar (1996) : “Rural Development” in Jomo K. S. and Ng Suew Kiat (ed.). Malaysia’s Economic Development. Policy and Reform. Pelanduk Publications, Kuala Lumpur.

Chamhuri Siwar (1997) : “Penilaian Dasar dan Strategi Pembangunan Pertanian dan Luar Bandar Dalam Konteks Transformasi Ekonomi dan Wawasan 2020” dalam Surtahman Kastin, Zulkefli Senteri & Zaimah Darawi (ed.). Sektor Pertanian Kearah Pembentukan Negara Perindustrian. Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur.

D. S. Gibbons (Terjemahan Nor Aini Hj. Idris) (1988) : “Pembangunan Luar Bandar dan Proses Politik di Semenanjung Malaysia Sejak Merdeka” di dalam Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei (ed.). Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan. Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

H. M. Dahlan (1991) : “The Effectiveness of Rural Development Planning and Implementation in Malaysia : Some Inquiries and Doubts” in Mohd Yaakub Hj. Johari (ed.). Issues and Strategies in Rural Development. Institute for Development Studies, Sabah.

Hairi Abdullah (1975) : “Masaalah Pemilikan Tanah dan Implikasinya”. Dalam Syarahan Felda : Satu Pengenalan Rengkas Terhadap Masyarakat Desa Dari Segi Struktur, Organisasi dan Masaalah. Anjuran Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Hasnah Ali (1991) : Ekonomi Wilayah : Teori dan Amalan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Ismail Dollah Harun (2004) : “Pembangunan Tanah Rizab Melayu : Satu Tinjauan Permasalahan dan Perundangan”. Prosiding telah dibentangkan di dalam Seminar Pentadbiran Tanah Semenanjung Malaysia. Anjuran Institut Tanah dan Ukur Negara, Kuala Lumpur.

Ismail Dollah Harun (2006) : “Pembangunan Tanah – Tanah Rizab Melayu : Satu Tinjauan Permasalahan dan Perundangan”. Dalam Jurnal Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) Tahun 2006. (Ms. 49 – 52).

John Ratcliffe (1976) : Land Policy : An Explanation of the Nature of Land in Society. Hutchinson of London.

Kamaruddin Ngah (1992) : Isu Pembangunan Tanah Wakaf. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Kamaruddin Ngah dan Rahmat Azam Mustafa (1991) : Pengenalan Perancangan Pembangunan Wilayah. Penerbit Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Khairuddin Idris dan Shamsuddin Ahmad (1992) : “Rancangan Pembangunan Tanah Belia” di dalam Victor T. King dan Nazaruddin Mohd. Jali (ed.). Isu – Isu Pembangunan Luar Bandar di Malaysia. Penerbit Universiti Pertanian Malaysia, Kajang.
Mamadou AW (1977) : “Conception and Misconception of Development” in Alain Birov, Paul-Marc Henry and John P. Schlegel (ed.). Towards a Re-definition of Development Essays and Discussion on the Nature of Development in an International Perspective. Pergamon Press, United Kingdom.

Michael Gurstein (2001) : “Rural Development and Food Security. A “Community Informatics” Based Conceptual Framework”. Proceeding submitted to the 34th Hawaii International Conference on System Science.

Mohd Koharuddin Mohd Balwi (2005 : “Pembangunan Luar Bandar di Malaysia : Gerakan Desa Wawasan (GDW) Sebagai Mekanisme Pembangunan Masyarakat Luar Bandar”. Dalam Jurnal Teknologi Vol. 2, No. 17, Tahun 2007. (Ms. 31 – 48).

Mohd Nasir Ismail dan Ahmad Fuad Muhammad (1992) : “Pembangunan Kawasan di Malaysia” di dalam Victor T. King dan Nazaruddin Mohd. Jali (ed.). Isu – Isu Pembangunan Luar Bandar di Malaysia. Penerbit Universiti Pertanian Malaysia, Kajang.

Mohd Shukri Abdullah (1992) : Strategi Pembangunan Desa Semenanjung Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Mohd Yusof Kasim (1988) : “Ketidakseimbangan Wilayah : Satu Penilaian Terhadap Dasar dan Strategi Pembangunan Wilayah Sehingga Tahun 1970” di dalam Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei (ed.). Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan. Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Mohd Yusof Kasim (1988) : “Ketidakseimbangan Wilayah : Satu Penilaian Terhadap Dasar dan Strategi Pembangunan Wilayah dalam Tempoh Dasar Ekonomi Baru (1970 – 1990)” di dalam Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei (ed.). Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan. Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Neil Ward, Philip Lowe and Tom Bridge (2003) : “Rural and Regional Development : The Role of the Regional Development Agencies in England”. In Regional Studies Journal Vol. 37, No. 2 2003 (pp. 201 – 214).

Nik Azis Nik Pa (1994) : Penghayatan Wawasan Pembangunan Negara. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Norhaya Kamaruddin (2005) : Prinsip Asas Ekonomi Tanah. Dalam Monograf Jabatan Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, Johor.

Pensyarah Perumahan, Bangunan dan Perancangan (2001) : Perancangan. Penerbit USM, Pulau Pinang.

S. Robert Aiken, Thomas R Leinbach, Collin H. Leigh & Michael R. Moss (Terjemahan Sulong Mohamad) (1994) : Pembangunan dan Persekitaran di Semenanjung Malaysia. Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur.

Sime Darby Berhad (2007) : Rangka Tindakan Sosio-ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara.

Takashi Torji (1997) : “The New Economic Policy and The United Malays National Organization – With Special Reference to the Restructuring of Malaysian Society”. In The Developing Economies Journal Vol. XXXV, No. 3, September 1997. (pp. 209 – 39).

Tunku Shamsul Bahrin (1988) : “Land Settlement in Malaysia : A Case Study of the Federal Land Development Authority Projects” in A. S. Oberai (ed.). Land Settlement Policies and Population Distribution in Developing Countries. Pracer, New York.

Tunku Shamsul Bahrin, P. D. A. Perera dan Lim Hong Kow (1986) : Kemajuan Tanah dan Penempatan Semula di Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

United Nations (1999) : Economy and Social Commission for Asia and The Pacific. Asian Population Studies Series No. 15A. The Impact of Globalization on Population Change and Poverty in Rural Area. United Nations, New York.

Victor T. King dan Nazaruddin Mohd. Jali (1992) : “Pembangunan Luar Bandar di Malaysia : Arah Hala dan Isu” di dalam Victor T. King dan Nazaruddin Mohd. Jali (ed.). Isu – Isu Pembangunan Luar Bandar di Malaysia. Penerbit Universiti Pertanian Malaysia, Kajang.

W. M. Adams (1995) : “Green Development Theory? Environmentalism and Sustainable Development” in Jonathan Crush (ed.). Power of Development. Routledge, London.

Wan Ibrisam Fikry Wan Ismail dan Ainur Zaireen Zainuddin (2005) : Pengenalan Kepada Sumber Tanah Luar Bandar. Dalam Monograf Jabatan Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, Johor.

Zulkifly Hj. Mustapha (1988) : “Pembangunan Desa, Kemiskinan dan Ketaksamaan” di dalam Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei (ed.). Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan. Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Zulkifly Osman (1997) : “Isu Pembangunan Tenaga Manusia Dalam Sektor Pertanian” dalam Surtahman Kastin, Zulkefli Senteri & Zaimah Darawi (ed.). Sektor Pertanian Kearah Pembentukan Negara Perindustrian. Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: