Selasa, 22 April 2008

Tanah Rizab Melayu

TANAH SIMPANAN MELAYU :
LATARBELAKANG, SEJARAH DAN ISU – ISU SEMASA

Pendahuluan

Apabila kita membincangkan Tanah Simpanan Melayu, ia akan merujuk kepada satu bangsa yang merupakan penduduk asal bagi Tanah Melayu yang mana ia adalah merujuk kepada bangsa Melayu. Melayu merupakan satu bangsa yang terdiri daripada orang Melayu atau keturunan “Malayan” yang telah mendiami Nusantara sejak berkurun lama.

Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu untuk Pendidikan, Sosio-ekonomi dan Kebudayaan (UNESCO) telah mendefinisikan Melayu sebagai satu suku bangsa Melayu yang tinggal dan berasal dari Semenanjung Malaysia, Borneo, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagaskar. Bagaimanapun menurut Perlembagaan Malaysia, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam.

Di dalam Enakmen Rizab Melayu bagi Negeri – Negeri Melayu Bersekutu (FMS), Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor telah memberi tafsiran Melayu yang berbeza – beza, tetapi pada asasnya ia mengandungi 3 elemen serentak di dalam mentafsirkan seseorang itu Melayu, iaitu :-

a) Berketurunan Melayu atau “Malayan”.
b) Bertutur di dalam Bahasa Melayu atau “Malayan”, dan
c) Beragama Islam.

Nota : “Malayan” adalah merujuk kepada etnik – etnik Melayu yang terdapat atau berasal dari gugusan kepulauan Melayu yang terdiri dari suku Banjar, Jawa, Minangkabau, Bowean, Patani, Bugis, Medahiling, Borneo dan lain – lain.

Orang – orang Melayu merupakan penduduk asal bagi kepulauan Nusantara sejak berkurun lama. Sebelum kedatangan Islam pada kurun ke-14, kebanyakkan orang – orang Melayu menganut agama Hindu dan Buddha. Kepulauan Nusantara Melayu adalah merangkumi Selatan Thailand, Semenanjung Malaysia, Pulau Singapura, Pulau Sumatera, Kepulauan Jawa, Kepulauan Riau-Lingga, Borneo, Filipina, Makasar (Kepulauan Bugis) dan Pulau Krismas (Keris Mas).

Sejarah Malaysia Secara Ringkas

Malaysia atau juga dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan sebuah negara yang terletak di Asia Tenggara. Pada tahun 1402 sebuah Kerajaan Melayu telah dibangunkan oleh Parameswara yang dikenali sebagai Empayar Melaka. Setelah Parameswara menganut agama Islam, empayar Melaka telah dikenali sebagai Kesultanan Melayu Melaka dan sekaligus menjadi sebuah empayar yang terbesar dan berkuasa di Kepulauan Melayu sehinggalah ianya jatuh ke tangan Portugal pada tahun 1511.

Setelah empayar Melaka jatuh ke tangan Portugis, beberapa kerajaan Melayu telah didirikan seperti Kesultanan Melayu Perak, Kesultanan Melayu Johor, Kesultanan Melayu Pahang, Kesultanan Melayu Acheh, Kesultanan Melayu Patani dan sebagainya. Setelah kejatuhan Melaka, Kesultanan Melayu Acheh dan Kesultanan Melayu Johor telah berusaha untuk merampas kembali Melaka dari tangan Portugis. Selain itu juga, telah berlaku Perang Tiga Segi antara Acheh, Johor dan Portugis sehinggalah Portugis Melaka dikalahkan oleh Belanda pada 1641 hasil dari bantuan dan sokongan Kerajaan Johor-Riau.

Inggeris mula berminat dengan Kepulauan Melayu pada abad ke-17 dan telah memulakan misi bagi mendapatkan tanah – tanah jajahan di Asia Tenggara. Inggeris telah menduduki Pulau Pinang pada 1786 dan kuasa Inggeris di Tanah Melayu mula berkembang setelah Perjanjian Inggeris-Belanda ditandatangani pada tahun 1824 yang membahagikan geopolitik Melayu kepada 2 kuasa kolonial iaitu Zon Utara dibawah Pengaruh Inggeris dan Zon Selatan dibawah Pengaruh Belanda. Inggeris telah meluaskan kuasanya ke atas negeri – negeri Tanah Melayu bermula dengan Singapura pada tahun 1819 yang diambilalih dari Sultan Johor, penubuhan Negeri – Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 setelah sultan – sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yam Tuan Besar Negeri Sembilan menerima Residen Inggeris sebagai Penasihat, pengambilalihan Negeri – Negeri Melayu Utara yang terdiri dari Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Wilayah Raman dari Siam pada tahun 1909 melalui Perjanjian Bangkok antara Inggeris dan Siam dan terakhir sekali Johor pada tahun 1914 apabila Sultan Ibrahim menerima Penasihat British. Sepanjang tempoh dari tahun 1874 hingga 1946, Tanah Melayu (Tidak termasuk Negeri – Negeri Selat) telah menjadi Negeri Naungan British dan dikenali sebagai Malaya.

Pada tahun 1946, British telah mencadangkan Gagasan Malayan Union bagi tujuan menjadikan Persekutuan Tanah Melayu sebagai Tanah Jajahan Inggeris. Akibatnya telah berlaku tentangan dari orang – orang Melayu yang tidak mahu menerima gagasan berkenaan dan akibatnya Britain terpaksa menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaannya dari Inggeris dan menjadi sebuah negara merdeka dan diikuti pada 16 September 1963, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak telah menyertai Gagasan Malaysia. Walaubagaimanapun pada 9 Ogos 1965, Singapura telah keluar dari Persekutuan Malaysia dan menjadi sebuah Republik.

Tanah Rizab Bagi Masyarakat Natif

a) New Zealand

Undang – undang Tanah Natif telah mula diberi perhatian setelah termeterainya Perjanjian Waitangi antara Inggeris dengan Kaum Maori di New Zealand pada tahun 6 Februari 1840. Pada asalnya New Zealand merupakan sebahagian dari Kolonial British Australia dan menjadi wilayah dominion putih pada tahun 1907. Di dalam Perjanjian Waitangi 1840, Kerajaan Kolonial British telah menjamin hak – hak dan keistimewaan bagi masyarakat Maori di New Zealand termasuklah tanah – tanah milik natif.

b) Persekutuan Australia

Di Australia sebelum Pungutan Suara 1967, masyarakat orang asli telah ditindas sejak British menduduki Australia pada tahun 1788. Asalnya British telah menjadikan Australia sebagai tempat buangan pesalah dari Britain. Sepanjang era pemerintahan British dari tahun 1788 hingga 1901 dan diikuti pentadbiran Kerajaan Dominion Putih Australia, masyarakat orang Asli yang terdiri dari etnik Melenesia telah diseksa dan dinafikan hak ke atas bumi Australia. Akhirnya pada tahun 1967, Kerajaan Persekutuan Australia telah diberi kuasa bagi membentuk damn menggubal undang – undang bagi masyarakat orang asli Australia. Manakala pemilikan tanah tradisi bagi masyarakat asli orang pula telah diberi melalui kes mahkamah yang membatalkan istilah Australia yang dikenali sebagai terra nuilius semasa pendudukan Inggeris dahulu. Akhirnya, hak dan jaminan bagi masyarakat asli telah terbela dan Kerajaan Australia telah mewujudkan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Orang Asli bagi menjaga kepentingan dan hak – hak masyarakat orang asli di Australia.

c) Amerika Syarikat

Di Amerika Syarikat pula, Christopher Columbus telah menemui benua ini pada tahun 1492 dan masyarakat Indian merupakan penduduk asli di benua Amerika. Selepas Amerika Syarikat (melalui 13 koloni British) mencapai kemerdekaan dari Inggeris pada tahun 1776, Kerajaan Amerika Syarikat telah meluaskan pengaruh dan jajahannya ke Pantai Barat (West Coast) yang meliputi tanah – tanah jajahan Perancis dan Sepanyol. Dalam usaha untuk mengembangkan penempatan bagi masyarakat kulit putih yang mula berhijrah ke Amerika Syarikat, masyarakat orang asli Red Indian telah dinafikan hak mereka. Dan mereka ini telah dihalau dari petempatan tradisi dan akibatnya berlakunya peperangan antara Kerajaan Amerika Syarikat dengan Masyarakat Red Indian. Pada tahun 1830 melalui peruntukkan Akta Pengasingan Natif 1830, Presiden Amerika Syarikat telah diberi kuasa untuk mengadakan apa – apa perjanjian bagi memindahkan masyarakat orang asli. Amerika Syarikat dari timur Sungai Mississipi ke kawasan barat suangai berkenaan.

Seramai 100,000 orang telah dipindahkan dibawah polisi ini. Akibatnya telah berlaku peperangan dan penentangan dari masyarakat orang asli terhadap pentadbiran Kerajaan Amerika Syarikat. Akhirnya pada tahun 1924 dibawah Akta Kerakyatan Amerika Syarikat bagi Masyarakat Indian 1924 telah dikuatkuasakan dan masyarakat Indian digabungkan dengan masyarakat kulit putih Amerika Syarikat. Dengan ini, orang – orang Indian telah diberi hak untuk mendapat kemudahan sebagaimana yang diperolehi oleh masyarakat bukan Indian. Bagi menjamin kepentingan dan hak bagi masyarakat natif di Amerika Syarikat, sebuah biro dikenali sebagai Biro Hal Ehwal Orang Indian telah ditubuhkan dan kerajaan juga telah memperuntukkan kawasan rizab khas untuk orang – orang Indian di Amerika Syarikat.

d) Afrika Selatan

Berbeza pula di Afrika Selatan yang mana sebelum Tanjung Pengharapan ditemui oleh Vasco da Gamma pada tahun 1488, kawasan ini dihuni oleh penduduk asli Afrika yang terdiri dari golongan Khoi, Bushmen, Xhosa dan Zulu. Peneroka Belanda telah berhijrah pada tahun 1652 dan dikenali sebagai masyarakat Afrikaneer. Afrika Selatan telah menjadi Jajahan Britain pada tahun 1930 setelah melalui perjanjian Inggeris-Belanda dan 2 Perang Boer. Walaupun negara ini berada di bawah jajahan British, mereka terpaksa berkongsi kuasa dengan pihak Afrikaner. Perkongsian kuasa ini telah berlanjutan hingga 1940an, bila parti pro-Afrikaner iaitu Parti Kebangsaan (NP) mencapai majoriti di Parlimen. Para strategi parti tersebut telah mencipta dasar aparteid (yang dikuatkuasakan pada tahun 1948), suatu cara untuk mengawal sistem ekonomi dan sosial negara dengan mengekalkan penguasaan kulit putih dan diskriminasi perkauman. Namun demikian kerajaan British kerap menggagalkan usaha Aparteid yang menyeluruh di Afrika Selatan.

Oleh itu pada tahun 1961, selepas suatu pungutan suara kaum kulit putih, negara ini telah diisytiharkan sebagai sebuah republik. Disamping itu pada tahun yang sama, Afrika Selatan telah keluar daripada Pertubuhan Negara – Negara Komanwel. Oleh itu, kerajaan yang diterajui kaum Afrikaner ini tidak lagi tertakluk kepada pengaruh British. Bermula pada 1960an, program “Grand Apartheid” telah dilaksanakan secara besar-besaran; yang menekankan pengasingan wilayah dan kezaliman pihak polis. Penindasan kaum kulit hitam telah berlanjutan sehingga akhir abad ke 20. Pada Februari 1990, rentetan dari pemulauan antarabangsa dan tentangan hebat dari pelbagai gerakan anti-aparteid terutamanya Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), kerajaan Parti Kebangsaan di bawah pimpinan Presiden F.W. de Klerk telah menarik balik pengharaman Kongres Kebangsaan Afrika dan persatuan politik berhaluan kiri yang lain dan membebaskan Nelson Mandela dari penjara. Undang – undang aparteid telah dimansuhkan secara perlahan – lahan dan pilihan raya pelbagai bangsa yang pertama telah diadakan pada tahun 1994. Parti ANC telah meraih kemenangan yang besar dan Nelson Mandela, telah dilantik sebagai Presiden kulit hitam yang pertama di Afrika Selatan (Sumber : Wikipedia, 11 April 2008).

Latarbelakang Tanah Simpanan Melayu di Semenanjung Malaysia

Sebelum kedatangan penjajah – penjajah Barat ke Tanah Melayu, sistem perundangan tanah yang digunapakai pada ketika itu adalah bercorak kepada Sistem Pemilikan Adat. Dalam konteks ini, tanah – tanah berkenaan adalah milikan bersama untuk satu suku atau kumpulan masyarakat yang telah menduduki tanah – tanah berkenaan sejak sekian lama. Pada ketika itu tidak wujud sempadan bagi mana – mana tanah individu dan ia secara langsung mewujudkan satu suasana masyarakat desa yang saling kenal mengenali antara satu sama lain. Di dalam komuniti masyarakat tradisi ini ia akan diketuai oleh seorang Ketua Kampung atau Penghulu yang dilantik dari kalangan mereka.

Selain daripada itu juga, semasa era pra penjajahan Barat, terdapat 2 jenis pemilikan tanah yang digunapakai oleh masyarakat Melayu Tradisional. Antaranya ialah, pemilikan tanah oleh golongan bangsawan (pembesar – pembesar dan pegawai – pegawai kanan kerajaan). Mereka ini juga memiliki laluan sungai utama dan kawasan perlombongan di dalam kawasan yang berada dibawah pentadbiran dan kekuasaan mereka. Manakala jenis yang kedua ialah tanah – tanah yang dimiliki oleh golongan petani. Tanah – tanah berkenaan akan dibuka dan diusahakan oleh golongan berkenaan tanpa batasan dan halangan dibawah undang – undang feudal pada ketika itu. Selain itu juga, keluasan tanah bagi sesuatu kawasan adalah luas dan boleh diterokai tanpa sebarang keperluan yang harus dipenuhi oleh masyarakat petani feudal zaman kuno. (Dato’ Dr. Nik Mohd Zain Nik Yusof, 9 November 1996).

Terdapat juga sesetengah kawasan yang merupakan kawasan tanah kurniaan Sultan kepada pembesar atau pegawai – pegawai kerajaan. Tanah – tanah berkenaan akan diusahakan oleh golongan petani dan hamba dan hasilnya akan diserahkan kepada pembesar – pembesar berkenaan dan Sultan yang dikenali sebagai Cukai Hasil. Semasa awal era penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, orang – orang Melayu telah membuka hutan bagi tujuan pembukaan tanah – tanah pertanian dan kedatangan imigran – imigran Cina, India dan Eropah telah mengakibatkan banyak kawasan – kawasan tanah milik orang Melayu telah dijual kepada mereka. Pada ketika itu, Penjajah British telah memperkenalkan sistem pertanian moden yang boleh menghasilkan pulangan pendapatan yang lebih dari pertanian tradisional seperti getah, kelapa sawit, koko dan sebagainya.

Penemuan bijih timah dan bahan – bahan galian yang lain juga telah mengakibatkan banyak – banyak tanah milikan Melayu terjual kepada syarikat – syarikat perlombongan sama ada milik saudagar China atau Eropah. Pada tahun 1891, Sir William Maxwell telah memperkenalkan 2 bentuk pendaftaran hakmilik tanah iaitu “tanah – tanah milik orang Eropah” dan “tanah – tanah yang dipegang dibawah hakmilik adat”. Bagi mengelakkan tanah – tanah natif ini jatuh ke tangan pendatang, British telah mengenakan syarat bahawa tanah adat tidak dibenarkan dipajak atau digadai dan pada tahun 1897, Daftar Hakmilik Mukim (Mukim Register) telah diperkenalkan.

Pembangunan ekonomi Tanah Melayu pada awal kurun 20 telah menyaksikan sumbangan dari sektor perlombongan dan pertanian komersil yang banyak. Ini telah mengakibatkan golongan – golongan pendatang yang terdiri daripada saudagar – saudagar Eropah dan Cina untuk memiliki tanah – tanah berkenaan melalui pembelian tanah dari masyarakat tempatan yang terdiri daripada orang – orang Melayu. Disebabkan permintaan yang tinggi terhadap tanah – tanah yang mempunyai hasil bumi yang kaya serta kedudukan yang berhampiran dengan bandar – bandar utama telah mengakibatkan nilai tanah semasa semakin meningkat. Akibatnya banyak pemilik – pemilik tanah yang terdiri daripada masyarakat Melayu telah menjual tanah – tanah mereka kepada golongan pendatang.

Disebabkan oleh senario pembukaan tanah oleh masyarakat Melayu dan seterusnya dijual kepada saudagar – saudagar asing, pihak Pentadbir Kolonial British telah merasakan bahawa bangsa Melayu akan kehilangan tanah mereka pada suatu masa nanti jika amalan ini berterusan. Oleh yang demikian, Kerajaan Inggeris telah memperkenalkan satu enakmen yang dikenali sebagai Enakmen Rizab Melayu pada tahun 1913 yang bertujuan untuk menjaga dan menjamin kepentingan bangsa Melayu ke atas tanah dan juga untuk memastikan tanah – tanah berkenaan tidak jatuh ke tangan bukan Melayu. Tujuan utama British memperkenalkan Enakmen Rizab Melayu ini adalah untuk mencegah orang – orang Melayu dari menjual dan memperolehi keuntungan daripada penjualan tanah – tanah ini kepada bukan Melayu.

Undang – undang ini juga adalah untuk memastikan anak – anak tempatan yang merujuk kepada bangsa Melayu tidak akan kehilangan tanah mereka. Kerajaan British juga telah menjelaskan bahawa pengenalan dan penguatkuasaan undang – undang ini adalah sama seperti penguatkuasaan tanah – tanah natif yang telah digunapakai di negara – negara lain seperti di Hindia Timur Belanda, Punjab, New Zealand, Ghana, Nigeria Utara, Tanganyika (sebahagian dari negara Tanzania), Uganda, Sudan, Kenya, Malawi dan Amerika Syarikat. Undang – undang yang sedang diamalkan di negara – negara berkenaan adalah untuk menjaga dan menjamin hak – hak dan kepentingan natif selain menyekat tanah – tanah berkenaan jatuh ke tangan golongan imigran. Tanah – tanah ini juga telah diisytiharkan sebagai tanah – tanah natif.

Ringkasan Undang – Undang Enakmen Rizab Melayu

Secara ringkasnya, terdapat 2 objektif utama pembentukkan Enakmen Rizab Melayu, iaitu :-

a) Menjaga kepentingan tanah – tanah milik Melayu agar ianya tidak jatuh ke tangan orang – orang bukan Melayu.
b) Memastikan kawasan – kawasan penanaman padi dapat dikekalkan dan bagi menjamin orang – orang Melayu akan terus terlibat dengan aktiviti penanaman padi bagi dijadikan sebagai sumber makanan utama mereka yang semakin meningkat.

Tindakan British memperkenalkan undang – undang ini secara jelasnya bertentangan dengan amalan sistem ekonomi Britain yang berteraskan kepada sistem ekonomi pasaran bebas (Laissez – Faire) yang berasal dari idea Sir Adam Smith. Ini adalah bertujuan untuk memastikan pengawalan tanah – tanah oleh petani – petani Melayu dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kepentingan petani – petani, pemilik – pemilik ladang dan kerajaan Inggeris.

Akhirnya, Kerajaan British telah menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri dari kerajaan – kerajaan negeri Selangor dan Perak bagi pembentukkan Enakmen Tanah Rizab Melayu. Dan pada tahun 1913, Enakmen Tanah Rizab Melayu telah diluluskan. Dengan perlaksanaan enakmen ini, secara asasnya ia bertentangan dengan amalan kebebasan ekonomi yang diamalkan oleh Kerajaan Britain terhadap tanah – tanah jajahannya. Dengan ini, perlaksanaan sistem pasaran bebas ke atas penjualan tanah – tanah yang terkandung di dalam kawasan yang diisytiharkan sebagai rizab Melayu disekat.

Draf asal enakmen ini, peruntukkan undang – undang rezab Melayu tidak membenarkan seseorang Melayu daripada melupuskan tanah kampung kepada bukan Melayu kecuali bagi mereka – mereka yang telah dibenarkan oleh enakmen berkenaan. Pengawalan terhadap pemilikan tanah dibawah Enakmen Rizab Melayu 1913 adalah merangkumi aspek – aspek berikut :-

a) Kuasa yang diberi kepada Residen British bagi mengisytiharkan mana – mana tanah dalam negeri melalui peruntukkan Seksyen 3, Enakmen Rizab Melayu 1913,
b) Pemilik – pemilik tanah Melayu bagi tanah yang berada di dalam kawasan yang diisytiharkan sebagai Kawasan Simpanan Melayu adalah disekat untuk menjalankan urusniaga tanah secara persendirian,
c) Pelupusan atau pemberimilikan tanah – tanah Rizab Melayu hanya boleh dibuat dikalangan masyarakat Melayu sahaja menurut peruntukkan di dalam Seksyen – Seksyen 8, 9 dan 10 Enakmen berkenaan, dan
d) Bagi mengelakkan orang – orang bukan Melayu dari memiliki tanah – tanah Rizab Melayu, apa – apa urusniaga tanah di dalam kawasan Rizab Melayu oleh bukan Melayu adalah terbatal atau tidak sah.

Tujuan British Mewujudkan Enakmen Rizab Melayu

Bagi menjamin kepentingan anak – anak watan di Tanah Melayu, British telah mengenalpasti ancaman – ancaman berikut yang pasti akan menggugat kepentingan dan hak orang Melayu sebagai anak watan di Tanah Melayu. Antaranya ialah :-

a) Kemasukkan Imigran Asing ke Tanah Melayu

Kemasukkan orang – orang asing ke Tanah Melayu telah mengakibatkan berlakunya pertambahan penduduk yang begitu pesat akibat dari tarikan ekonomi di Tanah Melayu. Menurut penulisan Dato’ Dr. Nik Mohd Zain Nik Yusof, banci pertama pada tahun 1891 telah menunjukkan bahawa bilangan penduduk di Negeri – Negeri Melayu Bersekutu (FMS) seramai 418,527. Daripada bilangan tersebut, 44% dari keseluruhan bilangan penduduk tersebut adalah terdiri golongan pendatang yang mana 39% adalah dari pendatang – pendatang China. Kebanyakkan golongan pendatang ini terlibat dengan aktiviti – aktiviti ekonomi seperti perlombongan, perladangan dan sebagainya selaras dengan dasar ekonomi Kerajaan British pada ketika yang berteraskan kepada Sistem Ekonomi Kapitalis. Akhirnya banyak tanah – tanah milik Melayu ini telah dibeli oleh golongan pendatang yang mengusahakan aktiviti ekonomi berkenaan.

Banci pada tahun 1901 telah menunjukkan jumlah penduduk di FMS telah meningkat sebanyak 62% menjadi 850,000 orang. Dengan kemasukkan pendatang – pendatang ke Tanah Melayu telah mengakibatkan berlakunya penukaran Pola Pemilikan Tanah di Semenanjung Malaysia.

b) Implikasi Pertanian Bercorak Perladangan

Peningkatan harga pasaran getah disamping kejatuhan harga tanaman kopi pada awal kurun ke-20 telah mendorong Kerajaan Kolonial Inggeris untuk memajukan sektor pertanian komersil seperti tanaman getah. Ini adalah kerana getah amat diperlukan oleh kilang – kilang perindustrian British di England sejajar dengan Revolusi Perindustrian yang sedang dialami oleh Kerajaan Great Britain. Selain itu juga, pengenalan kenderaan motor yang menggunakan tayar yang diperbuat daripada getah turut menyumbang ke arah perkembangan sektor pertanian getah. Akibatnya banyak tanah – tanah di Semenanjung Tanah Melayu telah diterokai oleh masyarakat Melayu dan dijual kepada saudagar – saudagar Eropah untuk dijadikan sebagai ladang – ladang getah. Dengan ini, bilangan keluasan tanah untuk masyarakat Melayu akan berkurangan dan sasaran kerajaan kolonial bagi mengekalkan tanaman makanan bagi masyarakat Melayu semakin berkurangan.

c) Pembukaan kawasan – kawasan perlombongan yang baru

Bijih timah telah ditemui oleh Menteri Larut iaitu Dato’ Long Jaafar pada tahun 1848. Ini telah mengakibatkan kedatangan pelombong – pelombong bijih dari negara China. Akibatnya banyak kawasan – kawasan tanah milik masyarakat Melayu telah dibeli oleh saudagar – saudagar China bagi tujuan perlombongan bijih timah. Orang – orang Melayu pada ketika itu tidak mempunyai kepakaran bagi melombong hasil – hasil bijih timah secara besar – besaran sebagaimana yang dijalankan oleh saudagar – saudagar China. Hanya yang mampu dilakukan oleh orang – orang Melayu pada ketika itu adalah menjual tanah – tanah tersebut kepada mereka dan secara tidak langsung masyarakat Melayu ini akan menerima habuan dari penjualan tanah – tanah tersebut. Akibatnya, orang – orang Melayu secara berterusan berpindah ke kawasan pendalaman disebabkan tanah – tanah mereka tersebut mempunyai nilai komersil yang tinggi telah dimiliki oleh orang – orang bukan Melayu.

d) Cubaan untuk “Menawan Hati” Sultan dan Pembesar – Pembesar Melayu melalui dasar kononnya orang – orang Melayu diberi perhatian oleh Kerajaan Kolonial Inggeris

Golongan sultan dan pembesar – pembesar Melayu pada ketika itu kononnya disogok oleh British bagi tujuan untuk mengekalkan kuasa mereka di Tanah Melayu. Akibat kebanjiran pendatang – pendatang dari Eropah, China dan India, masyarakat Melayu merasakan mereka terancam dengan kehadiran bangsa – bangsa asing yang kononnya untuk menguasai ekonomi masyarakat tempatan ketika itu. Meskipun Tanah Melayu tidak menjadi tanah jajahan penuh Inggeris namun Tanah Melayu merupakan “Protectare State” atau Tanah Naungan British pada ketika itu. Dengan mewujudkan enakmen rizab Melayu, golongan bangsawan merasakan masyarakat Melayu telah dilindungi haknya dari aspek pemilikan dan keistimewaan terhadap tanah. Sebaliknya, tanah – tanah yang dikategorikan

Kawasan Simpanan Melayu hanya sebilangan sahaja yang terletak di kawasan bandar, manakala selebihnya terletak di kawasan – kawasan luar bandar dan pendalaman. British kurang menggalakkan penglibatan orang – orang Melayu di dalam bidang – bidang perniagaan, perlombongan dan pertanian komersil sebaliknya bertujuan untuk mengekalkan kehidupan tradisi mereka di kawasan – kawasan luar bandar. Walaubagaimanapun, kawasan – kawasan yang mempunyai peruntukkan tanah rizab Melayu adalah dari kalangan negeri – negeri Melayu yang mempunyai Sultan, Raja dan Yang DiPertuan Besar. Negeri Melaka pula tertakluk kepada peruntukkan dibawah “Malay Customary Land Enactment”.

e) Pengekalan Ekonomi Sara Diri Masyarakat Melayu

Masyarakat Melayu tradisi telah menjadikan beras dari sumber padi sebagai makanan ruji. Sama seperti masyarakat Asia yang lain yang menjadikan beras sebagai makanan utama mereka. Berbeza dengan orang Eropah terutamanya pendatang – pendatang Inggeris yang menjadikan gandum sebagai makanan utama mereka. Pihak Britain merasakan peri pentingnya tanaman padi dikalangan orang – orang Melayu sebagai tanaman makanan mereka serta menjamin kelangsungan hidup masyarakat tempatan. Oleh yang demikian, kebanyakkan tanah – tanah yang dikategorikan sebagai tanah rizab Melayu adalah digunakan bagi tujuan penanaman padi. Terdapat juga tanah – tanah rizab Melayu yang dimasukkan dalam kategori “Agricultural Malays Settlement” yang mana tanah – tanah ini digunakan secara secara khusus untuk tujuan penanaman padi dan bukan untuk tujuan – tujuan lain. Di dalam hakmilik tanah bagi tanah – tanah rizab Melayu telah diperuntukkan syarat – syarat nyata tanah sama ada “bendang” atau “kampong”. Hakmilik tanah zaman kolonial yang digunakan bagi tanah – tanah rizab Melayu adalah dari kategori “Extract of Mukim Registers” atau ringkasannya EMR bagi kawasan tanah – tanah rizab Melayu yang berada dibawah pentadbiran FMS.

Isu – Isu Tanah Rizab Melayu

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, tanggungjawab untuk menjaga kepentingan Tanah Rizab Melayu telah berpindah daripada tugas seorang Residen British kepada Menteri Besar. Di dalam Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan Fasal 86 berhubung dengan Tanah Rizab Melayu serta disokong oleh enakmen – enakmen rizab Melayu yang diwarisi dari Kolonial British yang terus menerus diamalkan. Walaubagaimanapun, isu – isu berhubung dengan Tanah Rizab Melayu mula diberi perhatian pada masa kini. Ini adalah kerana perkembangan dan aliran program – program pembangunan yang pada asalnya terdapat di kawasan perbandaran sedia ada tetapi telah meluas ke kawasan – kawasan luar bandar.

Seperti yang kita ketahui, pihak British telah mewartakan sebahagian besar kawasan tanah rizab Melayu di kawasan – kawasan desa. Akan tetapi, apabila pengaliran program mula merebak ke kawasan – kawasan luar bandar telah mengakibatkan permintaan ke atas tanah rizab Melayu mula meningkat disamping kekurangan tanah – tanah yang bukan dikategorikan sebagai Tanah Rizab Melayu. Oleh itu telah wujud beberapa isu lain yang berkaitan dengan Tanah Rizab Melayu. Antaranya ialah :-

a) Pelupusan Tanah – Tanah Simpanan Melayu

Sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Enakmen – Enakmen Rizab Melayu, setiap tanah yang dikategorikan Tanah Rizab Melayu yang dikeluarkan dari peruntukan Enakmen Rizab Melayu harus diganti dengan tanah yang lain yang mempunyai ciri – ciri yang sama seperti tanah yang dilucutkan. Perlucutan tersebut boleh dibuat melalui permohonan yang dibuat kepada pihak berkuasa negeri dengan mematuhi syarat – syarat penggantian tanah yang baru. Walaubagaimanapun di dalam amalan pada masa kini, banyak tanah – tanah rizab Melayu yang dilucutkan tidak digantikan sebagaimana yang dikehendaki oleh enakmen berkenaan, terutamanya bagi tanah – tanah rizab Melayu yang terletak di bandar – bandar utama di Malaysia. Akibatnya, keluasan tanah rizab Melayu semakin susut.

b) Pengambilan Tanah

Isu – isu pengambilan tanah yang melibatkan tanah rizab Melayu adalah hampir sama dengan kes pelupusan tanah – tanah simpanan Melayu. Yang membezakannya ialah, Pengambilan Tanah ini dibuat melalui peruntukkan dibawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Dalam hal ini, pemilik – pemilik tanah rizab Melayu akan diberi pampasan yang sewajarnya yang mana penilaian bagi pempasan tanah ini adalah berasaskan kepada nilai pasaran. Isu yang timbul, pengambilan tanah – tanah rizab Melayu tidak digantikan dengan tanah – tanah yang baru yang mengakibatkan keluasan tanah rizab Melayu telah berkurangan dan susut.

c) Tidak Boleh Diurusniagakan Kepada Bukan Melayu

Sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Enakmen Rizab Melayu, tanah – tanah yang diwartakan sebagai rizab Melayu tidak boleh dijual, dipajak atau digadaikan kepada orang – orang bukan Melayu. Ini telah menyebabkan pasaran bagi tanah rizab Melayu menjadi terhad dan mengakibatkan nilainya sukar meningkat berbanding dengan tanah – tanah yang bukan rizab Melayu. Selain itu juga, masyarakat Bukan Melayu dan institusi – institusi kewangan juga tidak sanggup untuk menanggung risiko bagi menjalankan apa – apa transaksi terhadap tanah rizab Melayu.

d) Himpitan Pembangunan

Tanah – tanah rizab Melayu pada asalnya terletak di kawasan – kawasan luar bandar, desa dan pendalaman. Apabila projek – projek pembangunan mula menular ke kawasan – kawasan luar bandar, tanah – tanah rizab Melayu mula dihimpit dengan pembangunan. Ini adalah kerana, tanah – tanah ini pada asalnya digunakan untuk tujuan pertanian. Dan apabila sektor komersil dan perindustrian mula berkembang, tanah – tanah ini sukar untuk dimajukan kerana terikat dengan peruntukkan – peruntukkan Enakmen Rizab Melayu yang sedang dikuatkuasakan. Walaupun permintaan ke atas tanah – tanah rizab Melayu untuk tujuan pembangunan disebabkan oleh penawaran tanah – tanah bukan rizab Melayu rendah, namun himpitan pembangunan telah memberi tekanan terhadap kepentingan tanah – tanah berkenaan untuk tujuan pembangunan dan pihak – pihak yang terlibat enggan untuk menanggung risiko di dalam menjalankan sebarang urusan yang melibatkan tanah – tanah rizab Melayu. Ini adalah kerana setiap urusan yang melibatkan orang Melayu (sebagai pemilik tanah – tanah rizab Melayu) dan Pemaju – Pemaju Hartanah (terdiri dari kalangan Bukan Melayu) adalah tak sah dari segi undang – undang.

e) Masalah Tanah Terbiar

Masalah ini wujud disebabkan oleh sekeping tanah rizab Melayu yang mempunyai berbilang pemilik. Ini adalah disebabkan oleh perwarisan tanah secara turun temurun dari pemilik asal yang diberimilik kepada anak cucunya. Sebagaimana yang telah kita ketahui, masyarakat Melayu desa tidak mempunyai kuasa untuk membeli tanah – tanah lain disebabkan taraf ekonomi dan kuasa beli mereka yang rendah berbanding kaum – kaum lain di Malaysia. Jadi saiz pemilikan tanah mengikut syer adalah kecil dan menjadi tidak ekonomi dan akibatnya tanah – tanah ini tidak mampu untuk menjana pendapatan melalui sektor pertanian. Bagi kawasan – kawasan pendalaman, banyak golongan remaja berminat untuk bekerja makan gaji dan tanah – tanah ini menjadi terbiar. Terdapat juga konflik yang wujud di dalam urusan pembahagian harta pesaka yang menyaksikan kes ini tidak diselesaikan dan perbalahan pembahagian ini sentiasa berterusan di dalam penentuan syer dan sempadan masing – masing.

f) Sifat Perkauman yang menebal

Terdapat sesetengah maysrakat tradisi Melayu yang enggan menjalankan projek usahasama dengan kaum bukan Melayu lain di dalam memajukan tanah – tanah mereka. Ini adalah kerana, kebanyakkan orang – orang Melayu desa yang merupakan masyarakat tradisi yang telah menetap di kawasan ini sejak turun menurun akan merasakan jaminan dan hak mereka ke atas tanah akan hilang apabila diberi kepada masyarakat Bukan Melayu menjalankan projek usahasama ini. Akibatnya tanah – tanah ini tidak dapat memberi hasil yang lumayan serta menyediakan kemudahan sumber – sumber mentah kepada sektor perkilangan serta menjadi terbiar.

g) Kongkongan Pemikiran Ortodok dikalangan Masyarakat Melayu Tradisional

Di dalam dokumen hakmilik tanah bagi tanah – tanah rizab Melayu tidak dinyatakan secara jelas mengenai jenis kegunaan tanah. Namun pemikiran kolot bagi masyarakat Melayu tradisi yang berpegang kepada syarat – syarat asal tanah yang khusus untuk kegunaan pertanian, tidak mampu menjadikan tanah – tanah mereka ini menjadi lebih ekonomik atau dengan kata lain tidak “Utilised” kegunaan tanah selain bercucuk tanam sahaja. Jadi kebanyakkan tanah – tanah rizab Melayu hanya digunakan untuk tanaman buah – buahan dan padi secara bermusim. Apabila bukan musim penanaman berkenaan, tanah – tanah ini dibiarkan tanpa mencari alternatif bagi tanaman kontan untuk memenuhi keperluan tanah sebelum tempoh musim. Akibatnya, masyarakat Melayu tradisi akan terus berterusan menjadi golongan miskin dan berpendapatan rendah. Oleh itu, masyarakat Melayu tradisi ini hendaklah diberi peluang untuk menceburi bidang keusahawan tanaman kontan dalam usaha untuk memajukan tanah – tanah rizab Melayu.

Cadangan Penyelesaian Isu Tanah Rizab Melayu

Sebagaimana yang telah kita ketahui, tanah merupakan faktor modal di dalam memajukan ekonomi bagi sesebuah negara. Selain daripada itu, ia juga menjamin pendapatan dan kemajuan sosio-ekonomi bagi pemilik – pemilik dan juga pengusaha tanah – tanah tersebut. Berikut adalah cadangan penyelesaian bagi isu – isu tanah rizab Melayu, iaitu :-

a) Koperatif antara Pemilik dan Pengusaha

Sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini, kebanyakkan pemilik – pemilik bagi tanah rizab Melayu adalah terdiri dari pemilik – pemilik Melayu yang masih mengekalkan nilai – nilai tradisi mereka. Selain itu juga pegangan terhadap fahaman ortodok juga menyebabkan tanah – tanah tersebut tidak digunakan kepada kegunaan yang lebih ekonomik. Manakala pengusaha – pengusaha pula adalah terdiri dari kaum bukan Melayu yang terdiri dari kalangan orang – orang Cina. Oleh itu, bagi mewujudkan satu kerjasama yang efektif, kedua – dua pihak perlulah diberi penjelasan oleh seseorang yang bertindak sebagai orang tengah. Orang tengah yang hendak dipilih mestilah dari orang Melayu sendiri yang bersifat liberal dan tidak memihak mana – mana pihak. Atau dengan kata lain, bersifat neutral dengan harapan untuk mewujudkan suasana yang lebih harmoni di dalam memajukan tanah – tanah rizab Melayu selagi ianya tidak bertentangan dengan peruntukkan di dalam Enakmen Rizab Melayu yang sedang dikuatkuasakan. Oleh yang demikian, pihak – pihak berkenaan dapat berkongsi keuntungan dan faedah yang diperolehi.

b) Mewujudkan satu peruntukkan khas bagi memajukan Tanah Rizab Melayu

Penguatkuasaan dan perlaksanaan undang – undang rizab Melayu semasa adalah lebih memberi penekanan terhadap pemilikan dan kegunaan tanah untuk tujuan pertanian semata. Kegunaan – kegunaan yang lain lebih menguntungkan kurang memberi penekanan. Selain itu juga, perbezaan aplikasi perundangan yang berbeza antara negeri – negeri juga mengakibatkan pengurusan dan pembuatan polisi bagi tanah berkenaan sukar dilaksanakan dengan lebih berkesan. Adalah dicadangkan agar enakmen – enakmen yang diwujudkan semasa pemerintahan Inggeris tersebut digantikan dengan satu akta atau perundangan khas yang seragam di seluruh negeri – negeri di Semenanjung Malaysia. Peruntukkan akta baru yang dicadangkan mestilah mengambilkira nilai ekonomi di dalam memajukan tanah – tanah berkenaan. Walaupun demikian, perlindungan terhadap jaminan dan keistimewaan orang – orang Melayu perlu diambilkira dan mengikut dengan keperluan semasa.

c) Memberi latihan dan galakan kepada golongan remaja yang terdiri dari anak – anak kepada pemilik Tanah Rizab Melayu

Masalah untuk menukar corak pemikiran bagi pemilik – pemilik tanah rizab Melayu nyang kebanyakkan mereka ini adalah terdiri dari golongan emas adalah amat sukar. Ini adalah kerana fahaman ortodok yang ada pada mereka adalah sukar untuk mengubah keadaan dan kegunaan tanah – tanah rizab Melayu. Ini akan menyebabkan kawasan – kawasan luar bandar yang terdiri dari tanah – tanah rizab Melayu sukar untuk dimajukan. Kaedah yang baik ialah, pihak kerajaan melalui agensi – agensi tertentu yang diwujudkan menyediakan khidmat latihan dan kursus kepada anak – anak mereka yang terdiri dari golongan remaja yang berusia antara 18 hingga 25 tahun yang tidak menlanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi atau pusat – pusat latihan kemahiran serta masih tinggal di kampung – kampung Melayu tradisi. Ini adalah bertujuan untuk mengatasi masalah – masalah remaja desa dari aktiviti – aktiviti yang tidak sihat. Seperti mana yang selalu kita dengar dan baca dari media – media arus perdana, ramai remaja desa tidak mempunyai pekerjaan tetap serta tidak mempunyai masa depan yang baik terlibat dengan aktiviti – aktiviti yang tidak sihat.

Sekiranya ibubapa atau kaum keluarga mereka memiliki tanah – tanah yang dikategorikan sebagai Tanah Rizab Melayu, latihan kemahiran yang merangkumi kemahiran usahawan, usahatani dan perindustrian kampung boleh diterapkan kepada mereka serta mengeluarkan mereka dari pemikiran ortodok yang diamalkan oleh orang – orang tua mereka. Dengan ini, ia akan dapat melahirkan golongan remaja desa yang berfikiran konservatif serta mempunyai kepakaran ekonomi yang berasaskan kepada sumber desa yang akan menguntungkan mereka.

d) Mewujudkan Pusat Pertemuan yang terletak antara penempatan tradisi Melayu dan penempatan bukan Melayu

Semasa era penjajahn Inggeris di Malaysia, British telah menggunakan pendekatan “Pecah dan Perintah” di dalam sistem pentadbiran mereka. Ini adalah bertujuan untuk tidak mewujudkan hubungan yang harmoni antara Masyarakat Melayu, Cina dan India di Tanah Melayu. Selain itu untuk menjamin kekuasaan British di Tanah Melayu akan berterusan serta berjalan lancar tanpa adanya tentangan dari kaum – kaum tersebut. Selain itu, pengenalan sistem ekonomi dan penempatan yang berbeza – beza antara kaum tersebut akan melemahkan mereka untuk bangkit menentang Kerajaan Inggeris di Tanah Melayu. Sejarah telah menunjukkan Kerajaan British telah menguasai India dan Hongkong serta menggalakkan penghijrahan bangsa – bangsa tersebut ke tanah – tanah jajahan British yang lain bagi mewujudkan perbezaan kaum bagi sesebuah tanah jajahan tersebut. Setelah negara mencapai kemerdekaan, masalah kaum di Malaysia yang masih mengekalkan corak sosial yang diperkenalkan oleh British.

Akibatnya sikap perkauman masih kekal dan masih wujud ketidaksefahaman dan syak wasangka antara kaum – kaum tersebut. Orang – orang Melayu mempunyai pemilikan tanah – tanah rizab Melayu yang diwarisi, manakala kaum – kaum bukan Melayu terutamanya kaum Cina mempunyai modal dan sumber kewangan yang banyak. Semasa zaman Darurat (1948 – 1960), Kerajaan Inggeris telah mengumpul dan menempatkan kaum Cina yang tinggal di kawasan – kawasan penempatan berhampiran dengan kawasan hutan. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan ejen – ejen Parti Komunis Malaya (PKM) menghasut dan mengugut mereka. Kebanyakkan penempatan – penempatan bagi kampung baru Cina terletak bersebelahan dan berhampiran dengan penempatan tradisi kaum Melayu. Walaupun begitu, hubungan antara kaum Melayu dan Cina tidak serapat mana dan ini adalah disebabkan oleh perasaan bersifat perkauman yang kuat bagi kedua – dua kaum tersebut.

Bagi mewujudkan satu hubungan yang lebih interaktif dan muhibah serta dapat mewujudkan sebuah kerjasama yang baik antara kaum – kaum tersebut, adalah disarankan bagi mewujudkan sebuah pusat pertemuan seperti dewan atau tempat perhimpunan khusus bagi mewujudkan hubungan yang erat antara kaum berkenaan serta mampu mewujudkan suasana kerjasama yang baik yang meliputi aspek – aspek sosial, ekonomi dan politik. Penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Antara Kaum di peringkat penempatan mampu mewujudkan sebuah organisasi yang boleh bekerjasama antara satu sama lain untuk kemajuan sosial, politik dan ekonomi. Ini termasuklah untuk memajukan tanah Rizab Melayu yang juga melibatkan kedua – dua kaum tersebut.

e) Pembangunan Tanah untuk Kemajuan dan Kepentingan Ekonomi Melayu

Jika dilihat pada masa kini, banyak tanah – tanah rizab Melayu yang terletak di kawasan perbandaran atau baru digazetkan sebagai Tanah Bandar dibawah Kanun Tanah Negara 1965, masalah himpitan pembangunan telah mengakibatkan tanah – tanah ini tidak maju dan sukar untuk dibangunkan kerana halangan – halangan dari peruntukkan Enakmen Rizab Melayu. Akibatnya tanah – tanah ini tidak dibangunkan serta tidak mampu menjana pulangan ekonomi yang baik kepada pemilik – pemiliknya. Selain dari perletakan syarat kegunaannya untuk pertanian, ia tidak lagi sesuai untuk bercucuk tanam di kawasan tengah bandar atau perbandaran. Kawasan perbandaran adalah sesuai untuk pembinaan dan perjalanan aktiviti – aktiviti yang bersifat komersil. Bagi mengatasi masalah ini, tindakan yang terbaik adalah dengan melupuskan syarat Tanah Rizab Melayu dengan menggantikannya dengan tanah – tanah lain. Tapi terdapat juga tanah – tanah yang dilupuskan kegunaan Rizab Melayu yang tidak digantikan.

Oleh yang demikian, bagi mengekalkan identiti dan jaminan keistimewaan Melayu tanpa melupuskan syarat Tanah Rizab Melayu, pembangunan komersil ke atas tanah tersebut boleh dilaksanakan dengan mewujudkan sebuah hab perniagaan Melayu melalui lot – lot perniagaan di dalam bangunan yang didirikan.Bagi mendapatkan pemilik – pemilik atau penyewa – penyewa lot perniagaan dari kalangan orang – orang Melayu, satu bentuk penjualan atau kadar sewa yang lebih fleksibel adalah diperlukan bagi menjamin lot tersebut berterusan dikuasai dan dipelopori oleh orang – orang Melayu. Penentuan dan kaedah pembayaran sewa mestilah dikawal dan diurus oleh satu badan atau jawatankuasa khas bagi menjamin penyewa –penyewa Melayu berniaga di kawasan berkenaan. Secara tidak langsung, ekonomi orang – orang Melayu akan dapat dipertahankan dan diperkasakan.

Kesimpulan

Tanah Rizab Melayu merupakan salah satu dari jaminan keistimewaan bagi orang – orang Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang berakar umbi dari Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Ini adalah kesan dari tindakan UMNO dan orang – orang Melayu pada ketika itu bersatu menentang Gagasan Malayan Union yang menidakkan hak dan keistimewaan orang – orang Melayu di dalam pemberian kerakyatan Malayan Union. Terdapat 4 kestimewaan orang Melayu yang dilindungi iaitu Raja Melayu, Bahasa Melayu, Agama Islam dan Hak Keistimewaan Melayu. Tanah Rizab Melayu digolongkan di dalam Hak Keistimewaan Melayu seperti yang dinyatakan di dalam Fasal 86 Perlembagaan Persekutuan.

Akibat dari itu, banyak tanah – tanah Rizab Melayu sukar untuk dibangunkan kerana sekatan terhadap pemilikan dan urusniaga yang dinyatakan di dalam Enakmen Rizab Melayu. Selain itu juga, aliran pembangunan yang dahulunya tertumpu di kawasan bandar telah mula menular dan mengalir ke kawasan – kawasan yang berhampiran seterusnya merebak ke kawasan luar bandar yang mempunyai keluasan rizab Melayu yang luas. Keperluan terhadap pembangunan telah mengakibatkan banyak tanah – tanah ini terhimpit dengan pembangunan. Selain dari kegunaan yang telah ditetapkan untuk tujuan pertanian adalah tidak lagi releven bagi tanah – tanah yang terletak di dalam kawasan bandar yang sesuai untuk aktiviti komersil dan perniagaan.

Bagi tanah – tanah Rizab Melayu di kawasan luar bandar, masalah berbilang pemilik telah mengakibatkan tanah – tanah tersebut tidak lagi ekonomik untuk kemajuan ekonomi pertanian dan sekaligus menyebabkan tanah – tanah tersebut terbiar. Selain dari mentaliti masyarakat Melayu Tradisi yang masih berpegang kepada amalan ortodok atau pemikiran tradisi yang mempunyai prasangka buruk terhadap kesan pembangunan juga menyumbang ke arah tanah yang tidak maju dari aspek sosial, ekonomi dan politik.

Tanah Rizab Melayu adalah lambang kedaulatan dan keistimewaan bagi orang – orang Melayu bagi menjamin ketuanan Bangsa Melayu di bumi Malaysia. Sekiranya tiada apa – apa tindakan untuk memajukan tanah – tanah ini, tidak mustahil bangsa Melayu akan terus ketinggalan di dalam kemajuan ekonomi dan terus berada dari kalangan kelompok yang miskin. Manakala bangsa – bangsa bukan Melayu akan terus terusan menjadi golongan peniaga dan usahawan yang berjaya serta akan mengawal ekonomi yang merangkumi keperluan hidup dan pekerjaan di Malaysia. Jadi tindakan – tindakan proaktif adalah perlu untuk memajukan dan memanfaat tanah – tanah ini demi kemajuan bangsa. Takkan Melayu Hilang Di Dunia.................

Rujukan

Baharum Mohamad Salleh (1993) : “Pengalaman Pembangunan Pelancongan di atas Tanah Simpanan Melayu – Satu Penghayatan dan Cabaran” di dalam Seminar Tanah Rizab Melayu – Perspektif Pembangunan. Anjuran Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan Malaysia.

Chamhuri Siwar (1996) : “Penilaian Dasar, Strategi dan Institusi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan” di dalam Abd. Malik dan Mohaini Tajuddin (ed.). Institusi Pertanian : Peranan, Masalah dan Keberkesanan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Chamhuri Siwar (1996) : “Rural Development” in Jomo K. S. and Ng Suew Kiat (ed.). Malaysia’s Economic Development. Policy and Reform. Pelanduk Publications, Kuala Lumpur.

Chamhuri Siwar (1997) : “Penilaian Dasar dan Strategi Pembangunan Pertanian dan Luar Bandar Dalam Konteks Transformasi Ekonomi dan Wawasan 2020” dalam Surtahman Kastin, Zulkefli Senteri & Zaimah Darawi (ed.). Sektor Pertanian Kearah Pembentukan Negara Perindustrian. Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur.

D. S. Gibbons (Terjemahan Nor Aini Hj. Idris) (1988) : “Pembangunan Luar Bandar dan Proses Politik di Semenanjung Malaysia Sejak Merdeka” di dalam Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei (ed.). Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan. Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Hashim Aman (1993) : “Development and Investment in Malay Reservation – A Financier’s View” di dalam Seminar Tanah Rizab Melayu – Perspektif Pembangunan. Anjuran Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan Malaysia.

Hasnah Ali (1991) : Ekonomi Wilayah : Teori dan Amalan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Ismail Dollah Harun (2004) : “Pembangunan Tanah Rizab Melayu : Satu Tinjauan Permasalahan dan Perundangan”. Prosiding telah dibentangkan di dalam Seminar Pentadbiran Tanah Semenanjung Malaysia. Anjuran Institut Tanah dan Ukur Negara, Kuala Lumpur.

Ismail Dollah Harun (2006) : “Pembangunan Tanah – Tanah Rizab Melayu : Satu Tinjauan Permasalahan dan Perundangan”. Dalam Jurnal Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) Tahun 2006. (Ms. 49 – 52).

Kamarudin Ngah dan Rahmat Azam Mustafa (1991) : Pengenalan Perancangan Pembangunan Wilayah. Penerbit Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Nik Abdul Rashid Nik Abdul Majid (1993) : “Malay Reservation Land : A Development Perspective” di dalam Seminar Tanah Rizab Melayu – Perspektif Pembangunan. Anjuran Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan Malaysia.

Nik Hashim Mustapha, Redzuan Othman, Mohd Fauzi Mohd Jani, Zainal Abidin Hashim, Zulkifli Senteri, Jamal Othman dan Tuan Hj. Hassan Ali (1996) : “Pembangunan Tanah Rizab Melayu dari Perspektif Ekonomi” di dalam Persidangan Pembangunan Tanah Rizab Melayu. Anjuran Bersama Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dan Fakulti Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nik Mohd Zain Nik Yusof (1996) : “Pembangunan Tanah Rizab Melayu dari Perspektif Sejarah, Perundangan dan Pembangunan Masa Depan” di dalam Persidangan Pembangunan Tanah Rizab Melayu. Anjuran Bersama Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dan Fakulti Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nik Mohd Zain Nik Yusof (1993) : “Tanah Rizab Melayu dari Perspektif Dasar dan Perundangan” di dalam Seminar Tanah Rizab Melayu – Perspektif Pembangunan. Anjuran Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan Malaysia.

Norhaya Kamaruddin (2005) : Prinsip Asas Ekonomi Tanah. Dalam Monograf Jabatan Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, Johor.

Ruslin Hassan (1993) : “Pembangunan Tanah Rizab Melayu. Kajian Kes : Kg. Bharu” di dalam Seminar Tanah Rizab Melayu – Perspektif Pembangunan. Anjuran Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan Malaysia.

S. Ramaswamy (2000) : Malay Reservation Enactments in Peninsular Malaysia. International Law Book Services, Kuala Lumpur.

Shaik Mohd Nor Adam Shaik Hussain (1996) : “Tanah Rizab Melayu – Suatu Perspektif Undang – Undang” di dalam Persidangan Pembangunan Tanah Rizab Melayu. Anjuran Bersama Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dan Fakulti Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia.

Shaikh Mohd Nor Alam Sheikh Hussein and Basiran Begum (1995) : “Malay Reservations : Meeting the Challenges of the Millennium”.

Wan Ibrisam Fikry Wan Ismail dan Ainur Zaireen Zainuddin (2005) : Pengenalan Kepada Sumber Tanah Luar Bandar. Dalam Monograf Jabatan Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, Johor.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Rasanya saya kenal saudara ni.....saya mulanya tertarik dengan tajuk....tapi bila membacanya...saya rasa baik saya ambik buku atau laporan dan baca kat satu sudut di dalam perpustakaan.....
Seeloknya...blog digunakan untuk catitan sendiri, ringkas dan seronok bila audience membacanya...
sekian terima kasih....

MOHD HASROL HAFFIZ ALIASAK berkata...

Salam....

Terima kasih kerana kesudian Tuan melewati "teratak" saya ini dan juga atas respons yang Tuan berikan. Walaubagaimanapun, komen2 yang Tuan berikan lebih kepada aspek teknikal sahaja, bukannya terhadap penulisan saya. Untuk pengetahuan Tuan, bahan2 yang saya paparkan disini adalah berasaskan kepada pemahaman saya melalui buku2, artikel2 dan penulisan yang telah saya baca. Kemudian saya ringkaskan. Saya pasti, Tuan tidak akan jumpa apa2 penulisan atau artikel yang "same in character" dengan penulisan saya ini. Satu lagi, adakah Tuan ini saya ibaratkan "baling batu sembunyikan tangan" kerana Komen Tuan seolah2 dianggap sebagai "mail layang". Adakah Tuan tidak bernama?

T H E . M A L A Y . P R E S S berkata...

nice material bro. pinjam nak masuk THE MALAY PRESS blog...

Tanpa Nama berkata...

Salam.... Boleh tak ada masalah... Boleh hubungi saya melalui email....

deraman berkata...

Semestinya segala karangan saudara dlm blog in jelas menrencanakan bagaimana "Tanah Rizab Melayu" terbentuk & terhasil. Namun di sini saya ingin bertanya pandangan saudara akan pendirian saudara dlm realiti sebenar TRM sekarang yg mengalami penyusutan. Menurut suatu laporan tidak rasmi jumlah TRM sekarang dianggarkan tinggal 1.7juta hektar. Apakah punya penyusutan tersebut, tidakkan saudara ingin menjalankan sebarang penyelidikan dlm hal tersebut?

Pada saya genap 53thn negara kita merdeka, tampak makin kita tersepit & tertipu dgn pemimpin seagama & sebangsa kita sendiri? Kita hulurkan kepercayaan kepada mereka namun pengkhianatan yg kita terima balas. Siapa yang harus kita persalahkan dlm hal ini?

Hasrat saya bukan untuk menunding jari pada mana2 pihak, namun realitinya menjurus ke situ. Dengan itu salahkan jika anak2 muda sekarang bangkit menyeru suatu perubahan total kepada tampuk pemerintahan sedia ada?

Tanpa Nama berkata...

Salam Tuan Deraman. terima kasih atas komen yang Tuan berikan. Berdasarkan perbandingan analisis Tanah Rizab Melayu dahulu dan sekarang, saya mendapati peratusan keluasan TRM di Semenanjung Malaysia lebih kurang 12%. Memang berlaku penyusutan. Di Perak sendiri pun ada penyusutan. Jika kita baca Wasiat Raja2 Melayu, sepatutnya TRM mestilah 50% dari keluasan Semenanjung Malaysia...

Tanpa Nama berkata...

thelitkhalif...
Tq kerana ada sumber ttg tanah rizab melayu. saya pelajar master ukm semester 3 ,boleh saya berhubung dengan saudara terutamanya tentang pentadbiran tanah di Malaya ketika zaman kolonial..alamat email saya
the_little_khalifah@yahoo.com.my

Tanpa Nama berkata...

Saya ingin menayakan apakah peranan PBT untuk mengekalkan TRM??