Selasa, 10 Jun 2008

JENIS MILIKAN TANAH MELAYU

Pendahuluan

Tanah merupakan faktor pengeluaran utama bagi menghasilkan sumber – sumber ekonomi. Tanah juga merupakan unsur yang terhad. Ini adalah disebabkan keluasan tanah yang adalah dalam 70:30 yang mana peratusannya adalah kecil iaitu 30% dari keluasan bumi.

Milikan tanah adalah lebih menunjukkan kepada kekuasaan mutlak oleh pemilik tanah terhadap tanah yang telah diberimilik sama ada melalui pemberimilikan tanah, pembelian/pelupusan tanah atau pemilikan tanah secara tradisi. Di dalam dokumen hakmilik tanah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri, nama pemilik berdaftar telah ditetapkan di dalam muka surat ketiga dan keempat bagi dokumen hakmilik (pada mukasurat ini tertera tajuk urusan – urusan berkaitan dengan pemilikan dan urusniaga tanah).

Di dalam membincangkan tajuk jenis – jenis milikan tanah oleh orang Melayu, terdapat beberapa kategori milikan tanah iaitu Milikan Tanah Hakmilik Terbuka (Open Title), Hakmilik Pegangan Bumiputera (bagi projek pembangunan hartanah), Hakmilik dibawah Pegangan Melayu (Malay Holdings), Hakmilik Tanah Simpanan Melayu, Tanah Pegangan Adat Negeri Sembilan dan Melaka, dan Penempatan Pertanian Melayu atau “Malay Agriculture Settlements” (MAS yang terdapat di Kampung Baru, Kuala Lumpur sahaja).

Jenis – Jenis Milikan Tanah Melayu

Pemilikan tanah oleh masyarakat Melayu atau Bumiputera adalah dikategorikan kepada 6 jenis. Antaranya ialah :-

a) Hakmilik Terbuka

Hakmilik tanah secara terbuka adalah merujuk kepada tanah – tanah dimiliki oleh masyarakat Melayu yang boleh diurusniagakan kepada sesiapa sama ada seseorang itu adalah Melayu atau Bukan Melayu. Dalam konteks ini, pemilikan dan urusniaga bagi tanah kategori ini adalah tidak terhad dan nilai urusniaganya adalah berasaskan harga pasaran semata – mata. Proses untuk mendapatkan tanah yang dikategorikan dalam milikan ini boleh melalui pemberimilikan tanah oleh pihak berkuasa negeri atau pindahmilik tanah antara penjual dan pembeli.

Kebanyakkan tanah yang dikategorikan hakmilik ini mempunyai permintaan yang baik dimana turun naik permintaan terhadap tanah ini adalah berdasarkan lokaliti, kedudukan dan bentuk fizikal tanah ini. Tanah – tanah sebegini hanya tertakluk kepada peruntukkan – peruntukkan dibawah Kanun Tanah Negara 1965 dan undang – undang tanah lain selain dari Enakmen – Enakmen Rizab Melayu Negeri – Negeri dan Tanah Rizab Orang Asli.

Tanah hakmilik terbuka ini juga boleh diperolehi melalui pemansuhan tanah – tanah rizab tertentu melalui peruntukkan – peruntukkan yang telah dibenarkan dibawah mana – mana undang – undang bertulis. Walaubagaimanapun, pemilikan terhadap tanah ini adalah tertakluk kepada peruntukkan – peruntukkan yang tertera di dalam dokumen hakmilik yang meliputi Jenis Penggunaan Tanah, Syarat – Syarat Nyata dan Sekatan – Sekatan Kepentingan yang telah dimasukkan oleh pihak berkuasa negeri bagi tujuan pengawalan terhadap penggunaan tanah.

Selain daripada itu, di dalam Fasal 89(2)(a) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan mana – mana tanah di dalam sesebuah negeri yang hendak diisytiharkan sebagai Tanah Rizab Melayu, maka tanah – tanah lain yang mempunyai keluasan yang sama dengan tanah rizab Melayu yang diisytiharkan hendaklah dibuka kepada sesiapa sama ianya Melayu atau Bukan Melayu. Tanah ini juga dikenali sebagai Tanah Hakmilik Terbuka.

Terdapat juga bentuk Hakmilik Tanah Terbuka yang wujud melalui peruntukkan unit – unit hartanah yang telah ditetapkan koutanya 70:30 iaitu 30% untuk pegangan Bumiputera dan 70% untuk pegangan terbuka sama ada Bumiputera atau Bukan Bumiputera. Ekuiti 30% pegangan Bumiputera akan dibincangkan di dalam Topik (b).

b) Hakmilik Pegangan Bumiputera

Tanah kategori ini wujud apabila mana – mana tanah dibangunkan dengan projek – projek pembangunan hartanah yang mana sebanyak 30% daripada jumlah unit hartanah yang hendak dibangunkan hendaklah dirizabkan kepada bakal – bakal pembeli Bumiputera dengan harga diskaun sebanyak 5% daripada harga jualan. Unit hartanah yang diperuntukkan kepada Bumiputera ini telah diwujudkan semasa era Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada tahun 1970. walaubagaimanapun, dasar ini telahpun tamat pada tahun 1990 dan diikuti pula dengan Dasar Pembangunan Nasional Pertama (DPN I) (1991 – 2000) dan Dasar Pembangunan Nasional Kedua (DPN II) (2001 – 2020). Kedua – dua DPN ini masih lagi mengekalkan kandungan DEB yang memperuntukkan ekuiti 30% untuk pegangan Bumiputera dalam semua hal termasuklah pemilikan hartanah.

Bagi hartanah yang dikategorikan sebagai Ekuiti Bumiputera ini, ia dibezakan melalui peruntukkan di dalam Sekatan Kepentingan yang tertera di dalam Dokumen Hakmilik. Bagi hakmilik yang dikategorikan sebagai Bukan Ekuiti Bumiputera, di dalam Sekatan – Sekatan Hakmilik tidak dimasukkan sebarang sekatan berbanding dengan hartanah yang dikategorikan sebagai Ekuiti Bumiputera. Biasanya, peruntukkan yang dimasukkan di dalam Sekatan – Sekatan Kepentingan Dokumen Hakmilik akan tertera dengan perkataan “Tanah ini tidak boleh dipindahmilik atau dibebankan melainkan dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri. Sekatan ini tidak akan terpakai selepas 7 tahun dari tarikh pindahmilik pertama”.

Ekuiti ini wujud apabila projek – projek pembangunan hartanah dibangunkan sama ada di atas tanah – tanah yang diberimilik oleh pihak berkuasa negeri atau tanah – tanah yang dikategorikan sebagai tanah Hakmilik Terbuka. Tujuan utama ekuiti ini diwujudkan adalah untuk memastikan kaum Bumiputera dapat memiliki unit – unit hartanah bersama – sama masyarakat Bukan Bumiputera serta menggalakkan penglibatan masyarakat Bumiputera di dalam aktiviti sosial, ekonomi dan politik. Pada masa kini, walaupun diperuntukkan pegangan 30% ekuiti untuk Bumiputera bagi pemilikan unit – unit hartanah, masalah unit – unit tidak terjual berlaku di kawasan – kawasan yang mempunyai nilai hartanah yang tinggi terutama di bandar – bandar besar seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Pemaju unit hartanah semestinya tidak mahu menanggung kerugian. Oleh yang demikian, peruntukkan ini tidak “kebal” berbanding dengan tanah – tanah rizab Melayu. Ini adalah kerana pemaju boleh memohon kepada pihak berkuasa negeri untuk membatalkan peruntukkan pegangan Bumiputera.

c) Tanah Pegangan Melayu

Sebagaimana yang kita ketahui, di Malaysia terdapat 6 enakmen – enakmen rizab Melayu yang digunapakai di Negeri – Negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang), Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor. Pengertian “Pegangan Melayu” adalah seperti berikut mengikut enakmen – enakmen yang digunapakai di negeri – negeri berkenaan :-

Enakmen Rizab Melayu (Negeri – Negeri Melayu Bersekutu Bab 142) 1933

Pegangan Melayu termasuklah:-

a) termasuk mana – mana kepentingan berdaftar bagi seorang Melayu sebagai pemilik tunggal atau pemilik bersama bagi mana – mana tanah yang telah diberimilik termasuklah di dalam sebuah kawasan Rizab Melayu yang telah diisytihar dan digazetkan dibawah Enakmen ini : diperuntukkan bahawa kepentingan ini tidak boleh dimaksudkan sebagai Pegangan Melayu sehingga tanah ini didaftarkan di dalam dokumen hakmilik daftar sebagaimana yang dikehendaki di dalam Borang A Jadual Pertama di dalam Seksyen 6 Enakmen ini, dan,
b) mana – mana kepentingan berdaftar bagi seorang Melayu sebagai pemilik tunggal atau pemilik bersama bagi mana – mana tanah yang diberimilik termasuklah di dalam sebuah kawasan Rizab Melayu yang telah diisytiharkan dan digazetkan dibawah peruntukkan – peruntukkan di dalam Enakmen Rizab Melayu 1933.

Enakmen Rizab Melayu Johor 1936

“…..Pegangan Melayu bermaksud mana – mana kepentingan berdaftar bagi seorang Melayu sebagai pemilik tunggal atau pemilik bersama di dalam mana – mana tanah yang diberimilik termasuklah di dalam sebuah kawasan Rizab Melayu yang telah diisytiharkan atau digazetkan dibawah peruntukkan – peruntukkan Enakmen ini, memperuntukkan bahawa tidak ada kepentingan yang dimaksudkan sebagai Pegangan Melayu sehingga ianya didaftarkan di dalam dokumen hakmilik daftar sebagaimana dikehendaki di dalam Borang A, Jadual Pertama yang diperuntukkan di dalam Seksyen 7 Enakmen ini…”

Enakmen Rizab Melayu Terengganu 1941

Pegangan Melayu termasuklah :-

a) mana – mana kepentingan berdaftar bagi seorang Melayu atau Syarikat Pegangan Melayu sebagai pemilik tunggal atau pemilik bersama di dalam mana – mana tanah desa yang merangkumi keluasan pegangan tidak lebih dari 10 ekar kawasan;

b) mana – mana kepentingan yang telah direkodkan bagi seorang Melayu sebagai penduduk tunggal atau penduduk bersama di dalam mana – mana tanah desa yang meliputi dalam mana – mana pegangan yang mempunyai keluasan tidak melebihi 10 ekar dan diduduki dibawah satu tuntutan pemilik yang direkodkan dibawah Enakmen Petempatan;

c) mana – mana tanah desa yang meliputi dalam mana – mana pegangan yang mempunyai keluasan tidak melebihi 10 ekar bagi penduduk tunggal atau penduduk bersama adalah seorang Melayu yang mana namanya telah dimasukkan di dalam Daftar Permohonan yang telah diluluskan selaras dengan peruntukkan – peruntukkan Enakmen Tanah dan Peraturan – Peraturan yang berkaitan;

d) mana – mana kepentingan berdaftar bagi seorang Melayu atau Syarikat Pegangan Melayu sebagai pemilik tunggal atau pemilik bersama, dan mana – mana kepentingan yang direkodkan bagi seorang Melayu sebagai penduduk tunggal atau penduduk bersama dibawah tuntutan pemilik yang direkodkan dibawah Enakmen Petempatan, di dalam mana – mana bandar atau kampung yang mana tanah ini telah diberimilik dibawah Enakmen Tanah atau diduduki dibawah Enakmen Petempatan dan termasuklah di dalam sebuah kawasan Rizab Melayu yang telah diisytiharkan atau digazetkan dibawah peruntukkan – peruntukkan Enakmen ini, diperuntukkkan,

bahawa tidak ada kepentingan yang boleh dianggap sebagai sebuah Pegangan Melayu sehinggalah ianya didaftarkan di dalam dokumen hakmilik daftar sebagaimana yang dikehendaki di dalam Borang A, Jadual Pertama yang diperuntukkan dibawah Seksyen 6 Enakmen ini.

Enakmen – Enakmen Rizab Melayu bagi Negeri – Negeri Kedah, Perlis dan Kelantan tidak mendefinisikan Pegangan Melayu.

Dengan merujuk kepada peruntukkan – peruntukkan yang dinyatakan, Pegangan Melayu adalah merujuk kepada tanah – tanah yang telah didaftarkan sebagai Tanah Rizab Melayu. Walaubagaimanapun tanah – tanah ini boleh dimiliki oleh orang Melayu secara tunggal atau bersama dengan Bukan Melayu. Terdapat juga tanah – tanah Pegangan Melayu dimiliki sepenuhnya oleh Bukan Melayu yang mana ianya wujud sebelum peruntukkan Rizab Melayu dikuatkuasakan pada tahun 1913. Terdapat juga tanah – tanah Pegangan Melayu yang dimiliki oleh Bukan Melayu, namun peruntukkan – peruntukkan dibawah Enakmen Rizab Melayu tidak terpakai selagi tanah ini diurusniagakan kepada Bukan Melayu. Sekiranya berlaku pindahmilik antara Bukan Melayu kepada Melayu, maka peruntukkan – peruntukkan Enakmen Rizab Melayu akan terpakai.

Bagi negeri – negeri Perlis dan Kedah, terdapat satu lagi bentuk kepentingan Tanah Rizab Melayu yang dimiliki oleh golongan Petani Siam. Walaubagaimanapun, pemilikan Tanah Rizab Melayu yang dimiliki oleh Petani Siam tidak boleh diwarisi apabila petani tersebut meninggal dunia.

d) Tanah Rizab Melayu

Tanah – tanah ini adalah merujuk kepada mana – mana tanah negeri yang telah diisytiharkan sebagai Tanah Rizab Melayu dibawah Enakmen – Enakmen Rizab Melayu Negeri. Penguatkuasaan undang – undang Rizab Melayu telah wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan dan dijamin kepentingan dibawah Fasal 89 Perlembagaan Persekutuan. Terdapat 9 negeri di Semenanjung Malaysia mempunyai peruntukkan Tanah Rizab Melayu iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Johor. Kesemua negeri – negeri ini mempunyai enakmen rizab Melayu yang tersendiri iaitu Enakmen Rizab Melayu 1933 (NMB Bab 142) yang digunapakai di Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan, Enakmen Rizab Melayu Kelantan 1930, Enakmen Rizab Melayu Kedah 1931, Enakmen Rizab Melayu Perlis 1935, Enakmen Rizab Melayu 1936 dan Enakmen Rizab Melayu Terengganu 1941.

Enakmen – enakmen ini telah diwujudkan oleh Badan Perundangan Kolonial British yang bertujuan untuk mengawal penjualan tanah oleh orang – orang Melayu kepada Bukan Melayu, mengekalkan kawasan penanaman makanan untuk masyarakat Melayu, memperkasakan Dasar Pecah dan Perintah oleh Kerajaan Kolonial British di Tanah Melayu dan mengurangkan penglibatan masyarakat Melayu di dalam aktiviti – aktiviti ekonomi bercorak komersial. Semasa British memperkenalkan Enakmen Rizab Melayu, Kerajaan Kolonial Inggeris telah mengazetkan kawasan seluas 4,545,937.4 ekar sebagai Tanah Rizab Melayu. Tanah Rizab Melayu dijamin kepentingannya dibawah Fasal 89 Perlembagaan Persekutuan dan ia merupakan satu perundangan sahaja yang boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan berhubung definisi Melayu. Di dalam Fasal ini juga memperuntukkan keluasan Tanah Rizab Melayu adalah dikekalkan koutanya sebagaimana yang ada sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Selain itu, pembatalan mana – mana Tanah Rizab Melayu hendaklah digantikan dengan keluasan dan nilai yang sama sebagaimana yang dikehendaki di dalam peruntukkan fasal ini.

Di dalam enakmen – enakmen Rizab Melayu, tanah – tanah ini adalah tidak sah jika ianya diurusniagakan kepada Bukan Melayu sebagaimana yang diperuntukkan di dalam peruntukkan – peruntukkan berikut :-

a) Sekatan Terhadap Pemberimilikan kepada Bukan Melayu
b) Sekatan Terhadap Pindahmilik, Cagaran dan Pajakan Kepada Bukan Melayu
c) Sekatan Terhadap Urusniaga melalui Wakil kepada Bukan Melayu
d) Sekatan Terhadap Kaveat Lien sebagai Jaminan Pinjaman.
e) Sekatan Terhadap Kaveat – Kaveat Lain oleh Penkaveat Bukan Melayu
f) Sekatan Berhubung Pengisytiharan Bankrap bagi mana – mana Tanah Rizab Melayu untuk dipegang Oleh “Official Assignee”
g) Sekatan Terhadap “attachments in execution”
h) Sekatan Sebagai Pemegang Amanah oleh Bukan Melayu
i) Sekatan Terhadap Pemberian Probat dan Surat Wakil Kuasa kepada Bukan Melayu
j) Sekiranya berlaku lelongan, Bukan Melayu dihalang untuk menangkap lelong bagi tanah – tanah Rizab Melayu

Meskipun enakmen – enakmen Rizab Melayu bertindak sebagai “benteng pertahanan terakhir” terhadap kepentingan pemilikan tanah – tanah bagi masyarakat Melayu, namun masalah tanah – tanah rizab Melayu tidak dibangunkan selain dari masalah nilainya adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan tanah – tanah hakmilik terbuka. Akibatnya, banyak tanah – tanah rizab Melayu yang terletak di kawasan – kawasan bandar tidak dapat dimajukan dan dibangunkan yang mengakibatkan kawasan – kawasan tanah rizab Melayu berkenaan menjadi kawasan terbiar dan memberi persepsi yang kurang enak di kawasan – kawasan bandar utama.

Masalah pemilikan tanah secara beramai – ramai yang diwarisi secara warisan mengakibatkan tanah – tanah berkenaan tidak menghasilkan pulangan pendapatan yang ekonomik terutamanya yang terletak di kawasan – kawasan desa. Ini mengakibatkan tanah – tanah tersebut terbiar dan tidak mendatangkan hasil kepada pemilik – pemiliknya. Sekaligus ia mengakibatkan taraf ekonomi bagi pemilik – pemiliknya semakin rendah sejajar dengan keadaan ekonomi negara pada masa kini.

e) Tanah Pegangan Adat Negeri Sembilan dan Melaka

Tanah ini adalah merujuk kepada pemilikan tanah adat bagi masyarakat Melayu berketurunan Minangkabau yang tinggal di Negeri Sembilan dan Wilayah Naning di Melaka. Bagi tanah – tanah ini, ia diperuntukkan dibawah Enakmen Pegangan Adat 1926 bagi Negeri Sembilan dan Bahagian VIII, Akta Kanun Tanah Negara (Hakmilik – Hakmilik bagi Negeri Pulau Pinang dan Melaka) 1963, bagi negeri Melaka.

Dalam konteks Tanah Pegangan Adat ini, pemakaiannya adalah merangkumi daerah – daerah Kuala Pilah, Rembau, Tampin dan Jelebu di Negeri Sembilan. Manakala di negeri Melaka pula adalah merujuk kepada Tanah Adat Naning yang tertakluk kepada Daftar Tanah Adat Melaka. Negeri – negeri ini mengamalkan Adat Perpatih sebagai cara hidup mereka yang mana setiap suku masyarakat Minangkabau akan diketuai oleh Lembaga yang terdiri dari Undang bagi setiap daerah yang dilantik menurut peruntukkan Seksyen 2A, Enakmen Tanah Pegangan Adat Negeri Sembilan.

f) Kawasan Petempatan Pertanian Melayu (Malay Agriculture Settlement)

Petempatan ini hanya wujud di Kampung Baru Kuala Lumpur yang mana ianya telah diwujudkan pada tahun 1897 melalui peruntukkan dibawah Enakmen Tanah Selangor. Kawasan ini telah digazetkan sebagai kawasan pertanian bagi masyarakat Melayu yang tinggal di Kuala Lumpur. Dari aspek perundangan, tanah ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan peruntukkan bagi tanah – tanah Rizab Melayu yang digunapakai bagi kawasan – kawasan lain. Tujuan utama Kerajaan Kolonial British mewartakan kawasan ini sebagai Petempatan Pertanian Melayu adalah untuk memastikan masyarakat Melayu di Kuala Lumpur tidak memindahmilikkan tanah – tanah mereka kepada Bukan Melayu serta menjamin kapasiti makanan ruji bagi masyarakat Melayu.

Semasa era penjajahan Inggeris di Kuala Lumpur, terdapat banyak kawasan – kawasan perlombongan yang telah dibuka dan kebanykkannya dimiliki oleh saudagar – saudagar asing yang terdiri daripada golongan imigran China dan Eropah. Bagi mengekalkan identiti Melayu di Kuala Lumpur serta menjamin tanaman makanan bagi masyarakat Melayu di sekitar kawasan berkenaan, kerajaan telah mewartakan satu kawasan pertanian di Kampung Baru.

Setelah lebih 100 tahun Kampung Baru diwartakan sebagai Kawasan Petempatan Pertanian Melayu, pada masa kini kawasan sekitarnya telah dimajukan sebagai kawasan komersil yang mengakibatkan tanah – tanah di Kampung Baru tersepit dengan arus pembangunan. Meskipun terletak berhampiran dengan Segitiga Emas Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, namun masalah pemilikan tanah yang tidak boleh diurusniaga kepada Bukan Melayu menyebabkan kawasan ini tidak membangun. Oleh yang demikian, Kampung Baru telah bertindak sebagai kawasan Warisan Melayu di Kuala Lumpur yang masih bertahan di tengah – tengah arus pembangunan di Kota Metropolitan Kuala Lumpur.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada huraian – huraian yang dinyatakan diatas, sebenarnya orang – orang Melayu banyak bergantung kepada pemilikan tanah yang dilindungi melalui undang – undang bertulis serta dasar – dasar yang khas diwujudkan bagi melindungi kepentingan dan keistimewaan masyarakat Melayu. Namun, masyarakat Melayu tidak mempunyai kekuatan dari aspek kewangan bagi memiliki tanah – tanah yang berpotensi baik yang terletak di bandar – bandar besar. Ini adalah disebabkan oleh kuasa beli bagi orang Melayu adalah masih rendah jika dibandingkan dengan kaum – kaum Bukan Melayu lain di Malaysia.

Oleh yang demikian, masyarakat Melayu perlu sedar bahawa tanah merupakan aset utama bagi mengembangkan sosio-ekonomi mereka. Tanpa tanah, orang – orang Melayu tidak mampu untuk menjanakan pembangunan ekonomi mereka. Pada masa kini, sikap orang Melayu yang mudah menerima khabar angin menyebabkan mereka kehilangan tanah. Ini adalah kerana, masyarakat Melayu lebih nampak ke arah untuk mendapatkan pendapatan segera melalui penjualan tanah tanpa memikirkan natijah yang akan berlaku sekiranya mereka tidak memiliki tanah. Pada masa kini, masyarakat Melayu amat bergantung harap terhadap corak pemilikan tanah secara warisan, peruntukkan tanah rizab Melayu dan Kouta Bumiputra di dalam pemilikan tanah. Sikap ini haruslah dikikis dan masyarakat Melayu hendaklah berusaha untuk memiliki tanah yang lebih banyak bagi tujuan untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka.

6 ulasan:

Muhammad Nabil berkata...

Salam Abg Hasroll,
Sangat panjang lebar lagi bermakna penulisan mengenai Tanah Orang Melayu.Saya ingin memberitahu yang saya mengambil artikel tersebut untuk pembacaan para pembaca dengan menyatakan dari sumber blog.Jadi saya ingin meminta artikel seterusnya dari Abang Hasroll memuatkan tentang pembinaan Keretapi laju oleh YTL yang menhubungkan KL-Singapura.
Nanti sila lawati http://issuesrealview.blogspot.com tatkala di masa senggang untuk melihat sedikit usaha yg dilakukan sebagai individu yang berusia 20 tahun yang memerlukan banyak dorongan untuk memperbaiki kaedah penulisan.
Salam perkenalan,
Muhammad Nabil Bin Nor Azman
Pulau Pinang

Mohd Hasrol Haffiz Bin Aliasak berkata...

Salam Saudara Nabil,

Tidak menjadi masalah.... Ilmu boleh dikongsi bersama... Insyallah, setakat mana yang saya mampu saya akan tolong.... Kalau nak hubungi saya, boleh email ke de_jones77@yahoo.com

Tanpa Nama berkata...

assalam tuan..mohon untuk dijadikan rujukan untuk tugasan...

Tanpa Nama berkata...

Salam, mohon izin gunakan artikel ni untuk rujukan kerja saya. Terima kasih :)

Hasrol berkata...

Salam... Boleh... Maaf lambat balas. Tuan boleh hhubuni saya melalui email: haffiz677@perak.uitm.edu.my

Sheikhan02 berkata...

Sebagai orang awam/jiran dgn tanah yg saya isukan di sini, apakah tindakan di sisi undang² yg boleh dibuat terhadap pemilik tanah pertànian melayu yg mana telah membenarkan orang bukan Melayu menduduki tanahnya dgn tujuan pertanian / penternakan? Dalam kes sama ini tuan tanah tersebut sudah berkali² meminta bukan Melayu supaya keluar dari area tanah tanahnya duduki. Manakala sebelah lot tanah pemilik ini dimiliki oleh orang melayu yg lain (terdapat sebiji rumah) diguna sebagai premis oleh bukan Melayu atas nama pertanian / ternakan. Dalam masa sama apakah tindakan undang² yg boleh dibuat terhadap jika bukan Melayu ini yg berdegil-degil krn enggan keluar dari tanah itu meskipun tuan tanah telah meminta mereka menghentikan sebarang kegiatan.