Isnin, 30 Jun 2008

SEJARAH PEMBANGUNAN TANAH DI MALAYSIA DAN CABARAN - CABARANNYA

Pengenalan

Pembangunan tanah merupakan satu medium yang digunakan oleh pemerintah atau kerajaan bagi memajukan sesebuah kawasan yang merangkumi kepentingan politik, ekonomi dan sosial. Pembangunan tanah ini mempunyai kaitan yang rapat dengan perkembangan atau kemajuan wilayah. Sejak dari dahulu, proses pembukaan dan pembangunan wilayah – wilayah baru digunakan oleh kuasa – kuasa penakluk atau empayar bagi membuka tanah – tanah jajahan yang baru. Dalam konteks pembangunan tanah, ia merangkumi era – era klasik, pertengahan, moden awal dan moden. Pembangunan tanah juga digunakan sebagai alat bagi memudahkan pembangunan pertanian dan ekonomi setempat selaras dengan keperluan semasa.

Proses bagi perlaksanaan program pembangunan tanah ini memerlukan perancangan dan strategi yang baik. Ini adalah untuk menjamin pembangunan yang akan dijalankan menjamin pulangan ekonomi yang baik dari segi peningkatan hasil keluaran desa, penyediaan kemudahan infrastruktur desa, peningkatan tahap sosio-ekonomi masyarakat dan sebagainya. Kaedah dan pendekatan yang digunakan bagi melaksanakan program pembangunan tanah adalah berbeza mengikut era atau zaman. Kalau dahulu pembukaan dan pembangunan tanah yang digunakan oleh pemerintah adalah lebih kepada perluasan empayar atau tanah jajahan. Namun pada masa kini, manusia hidup lebih bertamadun dan pembukaan tanah – tanah jajahan baru tidak lagi wujud sebaliknya kerajaan bagi sesebuah negara akan membuka tanah – tanah yang terdapat dalam sempadan negaranya untuk kemajuan rakyat jelata dan penerokaan tanaman pertanian baru untuk kepentingan ekonomi negara.

Walaupun begitu, pembangunan tanah mempunyai kebaikan dan keburukkan yang tersendiri. Namun penilaian terhadap cadangan program yang hendak dijalankan memerlukan proses penilaian dan kepentingan alam sekitar bagi menjamin keseimbangan alam sekitar.

Latarbelakang Malaysia

Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan yang merangkumi 13 buah negeri dan 3 buah Wilayah Persekutuan. Negeri – negeri yang menjadi Persekutuan Malaysia adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak dan 3 buah Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Malaysia merupakan bekas tanah Jajahan United Kingdom dan telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang mana Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong adalah Ketua Negara yang dipilih dari kalangan raja – raja Melayu yang dipilih secara bergilir setiap 5 tahun melalui Mesyuarat Majlis Raja – Raja Melayu manakala Perdana Menteri pula adalah Ketua Kerajaan yang dilantik dikalangan ahli – ahli politik melalui Pilihanraya Umum. Malaysia juga mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan sebagaimana yang digunapakai di United Kingdom. Pada masa kini, Parti yang memerintah Malaysia adalah Barisan Nasional yang menguasai 140 kerusi Parlimen dari 222 kerusi. Manakala selebihnya dikuasai Pembangkang dibawah Parti Pakatan Rakyat yang mengandungi parti – parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Pada awal kemerdekaan, Malaysia dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya sehinggalah ia bercantum dengan Singapura, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 dan dikenali sebagai Malaysia. Walaubagaimanapun pada 9 Ogos 1965, Singapura telah keluar dari Persekutuan Malaysia dan menjadi sebuah republik.

Wilayah – wilayah Persekutuan mula diwujudkan pada tahun 1974 yang mana Kuala Lumpur (dahulunya merupakan sebahagian dari wilayah dan Ibu Negeri Selangor telah diambilalih oleh Kerajaan Persekutuan dan dikenali sebagai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Wilayah Persekutuan Labuan pula telah dijadikan sebagai wilayah persekutuan pada tahun 1984 yang mana dahulunya ia merupakan sebuah wilayah di dalam negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Putrajaya pula diwujudkan pada tahun 2001 yang mana dahulunya ia adalah sebahagian dari negeri Selangor dan terletak di dalam Mukim Dengkil Daerah Sepang semasa dibawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Malaysia mempunyai keluasan 127,355 km persegi dan merangkumi 2 bahagian utama iaitu Semenanjung Malaysia yang juga dikenali sebagai Malaysia Barat dan Kepulauan Borneo Utara yang merangkumi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dikenali sebagai Malaysia Timur. Kedua – dua wilayah ini dipisahkan oleh Laut China Selatan.
Ekonomi utama Malaysia adalah berteraskan kepada pertanian dan perindustrian. Bandar – bandar utama di Malaysia adalah Kuala Lumpur, Johor Bahru, Georgetown, Butterworth, Putrajaya, Petaling Jaya, Shah Alam, Ipoh, Kuantan, Alor Star, Kuantan, Kuching dan Kota Kinabalu. Pecahan penduduk di Malaysia adalah merangkumi Kaum Melayu, Cina, India, Bumiputra Sabah dan Sarawak dan lain – lain. Masyarakat Melayu/Bumiputera adalah penduduk majoriti di Malaysia.

Sejarah Malaysia Secara Ringkas

Malaysia atau juga dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan sebuah negara yang terletak di Asia Tenggara. Pada tahun 1402 sebuah Kerajaan Melayu telah dibangunkan oleh Parameswara yang dikenali sebagai Empayar Melaka. Setelah Parameswara menganut agama Islam, empayar Melaka telah dikenali sebagai Kesultanan Melayu Melaka dan sekaligus menjadi sebuah empayar yang terbesar dan berkuasa di Kepulauan Melayu sehinggalah ianya jatuh ke tangan Portugal pada tahun 1511.

Setelah empayar Melaka jatuh ke tangan Portugis, beberapa kerajaan Melayu telah didirikan seperti Kesultanan Melayu Perak, Kesultanan Melayu Johor, Kesultanan Melayu Pahang, Kesultanan Melayu Acheh, Kesultanan Melayu Patani dan sebagainya. Setelah kejatuhan Melaka, Kesultanan Melayu Acheh dan Kesultanan Melayu Johor telah berusaha untuk merampas kembali Melaka dari tangan Portugis. Selain itu juga, telah berlaku Perang Tiga Segi antara Acheh, Johor dan Portugis sehinggalah Portugis Melaka dikalahkan oleh Belanda pada 1641 hasil dari bantuan dan sokongan Kerajaan Johor-Riau.

Inggeris mula berminat dengan Kepulauan Melayu pada abad ke-17 dan telah memulakan misi bagi mendapatkan tanah – tanah jajahan di Asia Tenggara. Inggeris telah menduduki Pulau Pinang pada 1786 dan kuasa Inggeris di Tanah Melayu mula berkembang setelah Perjanjian Inggeris-Belanda ditandatangani pada tahun 1824 yang membahagikan geopolitik Melayu kepada 2 kuasa kolonial iaitu Zon Utara dibawah Pengaruh Inggeris dan Zon Selatan dibawah Pengaruh Belanda. Inggeris telah meluaskan kuasanya ke atas negeri – negeri Tanah Melayu bermula dengan Singapura pada tahun 1819 yang diambilalih dari Sultan Johor, penubuhan Negeri – Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 setelah sultan – sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yam Tuan Besar Negeri Sembilan menerima Residen Inggeris sebagai Penasihat, pengambilalihan Negeri – Negeri Melayu Utara yang terdiri dari Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Wilayah Raman dari Siam pada tahun 1909 melalui Perjanjian Bangkok antara Inggeris dan Siam dan terakhir sekali Johor pada tahun 1914 apabila Sultan Ibrahim menerima Penasihat British. Sepanjang tempoh dari tahun 1874 hingga 1946, Tanah Melayu (Tidak termasuk Negeri – Negeri Selat) telah menjadi Negeri Naungan British dan dikenali sebagai Malaya.

Pada tahun 1946, British telah mencadangkan Gagasan Malayan Union bagi tujuan menjadikan Persekutuan Tanah Melayu sebagai Tanah Jajahan Inggeris. Akibatnya telah berlaku tentangan dari orang – orang Melayu yang tidak mahu menerima gagasan berkenaan dan akibatnya Britain terpaksa menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaannya dari Inggeris dan menjadi sebuah negara merdeka dan diikuti pada 16 September 1963, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak telah menyertai Gagasan Malaysia. Walaubagaimanapun pada 9 Ogos 1965, Singapura telah keluar dari Persekutuan Malaysia dan menjadi sebuah Republik.

Kronologi Sejarah Pembangunan di Malaysia
Sebelum Tahun 1402 Masihi

Sebelum tahun 1402 Masihi, terdapat berbagai – bagai Kerajaan Melayu yang wujud di Alam Melayu seperti Kerajaan Langkasuka, Kerajaan Pan-Pan, Kerajaan Beruas, Kerajaan Manjung, Kerajaan Kedah Tua dan sebagainya. Kesemua kerajaan – kerajaan ini berada dibawah pengaruh Hindu dan Buddha yang telah berkembang sejak dari dahulu lagi.

Kerajaan – kerajaan ini menggunakan sungai sebagai laluan air untuk berhubung antara satu sama lain. Manakala bagi sesetengah kerajaan yang terletak di muka laut mempunyai pelabuhan – pelabuhan yang membolehkan kerajaan berkenaan dapat berhubung dengan kerajaan luar dengan menggunakan laluan laut. Pada ketika itu, kekuasaan Kerajaan Hindu di India banyak mempengaruhi aliran pentadbiran dan gaya hidup masyarakat Melayu sehinggalah tertubuhnya Empayar Melayu Melaka yang diasaskan pada tahun 1402 Masihi.

Kerajaan – kerajaan Melayu Kuno adalah berasaskan kepada sistem kerajaan maritime yang mana laut adalah sumber bagi tujuan perdagangan melalui sistem eksport and import barangan serta kedudukan kerajaan ini adalah unik kerana terletak di tengah – tengah laluan perdagangan antara Timur dan Barat. Selain itu, sistem ekonomi sara diri merupakan aktiviti ekonomi utama bagi rakyat di dalam kerajaan – kerajaan yang berkenaan. Tanaman padi dan buah – buahan tempatan merupakan hasil pendapatan utama bagi golongan petani yang hidup di zaman feudal kuno pada ketika itu. Hasil – hasil berkenaan akan dituai oleh petani sama ada untuk kegunaan petani dan ahli keluarganya manakala selebihnya dijual di pasar – pasar awam.

Aktiviti penangkapan ikan sama ada di sungai atau di laut serta amalan memburu haiwan – haiwan liar di dalam belantara juga merupakan aktiviti sampingan bagi masyarakat kuno Melayu terutama sekali dilakukan di luar musim tanaman sementara menunggu musim penanaman padi.

Empayar Kesultanan Melayu Melaka (1402 – 1511)

Empayar Melayu Melaka telah diasaskan pada tahun 1402 Masihi oleh anak raja Palembang iaitu Parameswara yang telah melarikan diri ke Tanah Melayu. Baginda telah memeluk agama Islam pada tahun 1414 Masihi setelah mengahwini Puteri Raja Pasai. Era pentadbiran Kerajaan Melayu Melaka telah berlangsung dari tahun 1402 Masihi hingga 1511 Masihi dimana kesultanan ini telah menguasai keseluruhan Semenanjung Melayu, Pantai Timur Pulau Sumatera dan sebahagian kecil Pulau Borneo.

Sistem pentadbiran yang digunakan di dalam Sistem Feudal Empayar Melayu Melaka adalah SULTAN, PEMBESAR – PEMBESAR DAN PEGAWAI KERAJAAN, RAKYAT DAN GOLONGAN HAMBA ABDI.

Empayar Kesultana Melayu Melaka merupakan satu – satu empayar Melayu yang paling berjaya di rantau Melayu dan menjadi sebuah Kerajaan Maritim yang menguasai laluan perdagangan Selat Melaka serta menjadikan Pelabuhan Melaka sebagai pelabuhan entreport antarabangsa serta kedudukannya di tengah – tengah laluan perdagangan Timur dan Barat. Kegemilangan dan kecemerlangan kerajaan ini sentiasa berterusan selain mendapat pengiktirafan dan perlindungan dari Kerajaan China semasa dibawah pemerintahan Dinasti Ming.

Pembukaan wilayah – wilayah baru dan jajahan telah diperluaskan oleh Kerajaan Melayu Melaka yang mana wilayah – wilayah ini adalah terdiri dari kawasan – kawasan baru yang dibuka serta mempunyai kepentingan ekonominya tersendiri. Setiap wilayah yang baru dibuka akan diketuai oleh pembesar dan penghulu yang dilantik oleh Sultan. Manakala jajahan – jajahan pula adalah merangkumi kerajaan – kerajaan yang sanggup membayar ufti kepada Kesultanan Melayu Melaka yang sanggup memberi perlindungan dalam bentuk bantuan ketenteraan sekiranya kerajaan tersebut diserang oleh kerajaan luar.

Aktiviti ekonomi utama bagi Kerajaan kesultanan Melayu Melaka adalah berasaskan kepada sumber – sumber berikut seperti tanaman padi, ubi kayu, buah – buahan tempatan, perikanan sungai dan laut serta perdagangan antarabangsa melalui penggunaan Pelabuhan Melaka.

Sistem ekonomi tradisi merupakan aktiviti ekonomi utama bagi masyarakat Melayu semasa berada di dalam pentadbiran Empayar Melayu Melaka yang mana pada ketika itu ekonomi orang Melayu adalah bergantung sepenuhnya pada sektor pertanian tradisi. Majoritiorang Melayu semasa zaman dahulu adalah merupakan golongan petani yang mengerjakan aktiviti pertanian tradisi. Hanya sebilangan kecil sahaja yang tinggal di kawasan pelabuhan yang dapat melibatkan diri di dalam aktiviti perdagangan dan pentadbiran sebagai pegawai – pegawai kerajaan yang dilantik oleh Sultan.

Kawasan penempatan Melayu tradisi kebanyakkannya terletak di kawasan – kawasan yang sesuai untuk pertanian serta mudah untuk mendapatkan sumber bekalan air bagi tujuan pengairan hasil pertanian. Pada ketika itu, penggunaan sistem taliair yang tersusun masih belum wujud serta penggunaan aliran sungai adalah amat praktikal bagi tujuan pertanian tradisi terutama sekali bagi aktiviti penanaman padi. Kebanyakkan kampung – kampung Melayu tradisi terletak di tepi – tepi sungai dan juga di kawasan yang berhampiran dengan laut bagi golongan masyarakat Melayu yang terlibat dengan aktiviti perikanan laut. Selain kegunaan sistem air bagi tujuan ekonomi, sungai – sungai dan laut juga digunakan sebagai sistem jaringan perhubungan bagi memudahkan penduduk kampung tradisi untuk berhubung dengan dunia luar.

Masyarakat Melayu tradisi yang terdiri daripada petani dan nelayan merupakan golongan yang diperintah. Ini adalah kerana petempatan mereka ini akan diketuai oleh seorang ketua kampung dan penghulu yang dilantik oleh Sultan. Dengan adanya aktiviti ekonomi pertanian tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Melayu di kawasan pendalaman, maka ia memberi sumbangan yang amat besar kepada golongan pemerintah atau aristokrat sebagai sumber penawaran makanan tetapi juga menjadi asas kekuatan golongan pemerintah dan pentadbir untuk memperolehi sumbangan dalam bentuk cukai dan tenaga.

Empayar Melayu Melaka telah melalui Zaman Kegemilangannya semasa di bawah pentadbiran Sultan Muzaffar Syah (1445 – 1459), Sultan Mansur Syah (1459 – 1477) dan Sultan Alauddin Riayat Syah (1477 – 1488) serta dibawah kebijaksanaan Bendahara Tun Perak di dalam mentadbir dan mengurus kerajaan. Sepanjang tempoh itu, Siam dan Majapahit pernah cuba untuk menakluk dan menyerang Kerajaan Melayu Melaka, tetapi tidak berjaya.

Walaubagaimanapun, pada tahun 1511 semasa Kerajaan Melayu Melaka dibawah pemerintah Sultan Mahmud Syah (1488 – 1511), pentadbirannya menjadi tidak cekap. Akibatnya banyak wilayah – wilayah dan jajahan – jajahan Melaka merdekla serta dirampas oleh kuasa lain. Dan akhirnya Portugis telah menyerang dan menakluk Melaka seterusnya menjadikan Melaka sebagai Tanah Jajahan Portugal di Timur. Portugis hanya menakluk ibukota pentadbiran Melaka dan pelabuhannya tetapi tidak menakluk wilayah dan jajahan takluk Melaka yang lain. Sebaliknya wilayah – wilayah dan kerajaan – kerajaan naungan Melaka mula membebaskan diri dan menjadi kerajaan sendiri.

Setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis, wujud kerajaan – kerajaan Melayu kecil yang baru serta berpengaruh seperti Kesultanan Melayu Perak, Kesultanan Melayu Johor, Kerajaan Kedah dan Kesultanan Acheh yang mula berusaha untuk menguasai laluan laut Selat Melaka yang mula dikuasai oleh Portugis melalui beberapa siri serangan bagi tujuan untuk mengukuhkan ekonomi bagi kerajaan – kerajaan baru berkenaan.

Penjajahan Portugal (1511 – 1641)

Pentadbiran Portugis di Melaka adalah semata – mata untuk tujuan pengawalan dan penguasaan perdagangan laut di Selat Melaka. Semasa pemerintahan Portugis di Melaka, pentadbir Portugal telah memperkukuhkan penguasaan perdagangan di Pelabuhan Melaka dengan membina kota pertahanan dan pusat pentadbiran yang terkenal iaitu Porta de Santiago. Kota ini adalah bertujuan untuk mempertahankan Melaka dari diserang oleh mana – mana kuasa yang cuba mengambilalih Pelabuhan Melaka dari Portugis. Kerajaan Melayu Johor, Kerajaan Acheh dan Kerajaan Melaka dalam buangan dari Bentan tetap berusaha untuk mengambilalih melalui beberapa siri peperangan. Antara peperangan yang terkenal ialah Perang Tiga Segi antara Johor-Acheh- Portugis.

Meskipun Portugal mentadbir Melaka dari tahun 1511 hingga 1641, pembangunan fizikal hanya ditumpukan di dalam kawasan Bandar Melaka, manakala kawasan – kawasan pendalaman yang lain tidak dibangunkan. Portugis berjaya membangunkan tapak asal pusat pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka dengan sebuah perbandaran yang moden dengan mengambil ciri – ciri pembangunan Eropah semasa Zaman Pertengahan. Akhirnya, Portugis ditewaskan oleh Belanda dengan bantuan Kerajaan Johor dan rakyat tempatan.

Penjajahan Belanda (1641 – 1824)

Semasa Melaka dibawah pemerintahan Belanda, penjajah Belanda hanya menjadikan Pelabuhan Melaka sebagai pusat pengumpulan hasil – hasil tempatan untuk dibawa ke Batavia (Jakarta). Tujuan utama Belanda menguasai Melaka adalah untuk memecah monopoli Portugis terhadap perdagangan di Selat Melaka serta mengalihkan pusat perdagangan dari Melaka ke Jakarta. Belanda telah mula menjajah Indonesia pada tahun 1602.

Proses pembangunan amat kurang diberi perhatian oleh penjajah Belanda ke atas Melaka sebaliknya mengguna semula kemudahan – kemudahan perbandaran yang telah dibangunkan oleh Penjajah Portugis. Cubaan Belanda untuk memonopoli perdagangan di Tanah Melayu melalui pembinaan kota dan loji bijih timah di Pulau Pangkor pada tahun 1670 bagi memunggah tujuan hasil bijih timah di Perak. Namun pendudukan Belanda di Pangkor hanya sementara sebelum dimusnahkan oleh pejuang – pejuang tempatan yang diketuai oleh Panglima Kulup Ali.

Belanda juga pernah menduduki Kota Malawati di Kuala Selangor pada tahun 1784 tetapi telah dimusnahkan oleh pahlawan – pahlawan Melayu yang diketuai oleh Sultan Ibrahim yang memerintah Selangor pada ketika itu. Tujuan Belanda mendirikan Kota Pertahanan Bukit Melawati adalah untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai pusat pengumpulan hasil bijih timah di Selangor.

Oleh yang demikian, Belanda hanya dapat kekal di Melaka sehingga tahun 1824 selepas termeterai Perjanjian Inggeris-Belanda yang menyaksikan Tanah Melayu diserah kepada Britain manakala di Selatannya diserahkan kepada Belanda.

Penjajahan Inggeris (1824 – 1957)

British mula menduduki Tanah Melayu melalui pendudukan di Pulau Pinang pada 11 Ogos 1786 selepas memperolehinya melalui tipu muslihat dari Sultan Muhammad Jiwa iaitu Sultan Kedah melalui jaminan British untuk melindungi Kedah dari diserang oleh Siam dan Burma. Kemudian pihak Britain telah menduduki Pulau Singapura melalui perjanjian khas yang dimeterai antara Raffles dan Temenggung Ibrahim pada tahun 1819.

Belanda telah menentang rancangan British untuk menduduki Tanah Melayu kerana beranggapan bahawa Tanah Melayu adalah berada dibawah pengaruhnya. Akibatnya berlaku beberapa siri peperangan antara United Kingdom dengan Belanda yang menyaksikan pertumpahan darah antara tentera Inggeris dan Belanda. Akhirnya kedua – dua pihak bersetuju untuk menandatangani perjanjian yang mana Wilayah Melayu utara yang merujuk kepada Tanah Melayu diserahkan kepada Britain termasuk Melaka. Manakala Wilayah Melayu di selatan dibawah pengaruh Belanda.termasuk koloni British di Bangkahulu yang terletak di Pantai Barat Pulau Sumatera.

Pihak British telah meluaskan kekuasaannya di Tanah Melayu melalui siri campurtangan dan peperangan yang bermula dengan Perang Naning 1831 dan 1832, Perjanjian Pangkor 1874 bagi penguasaan British di Perak, Perang Klang di Selangor, Perang Sungai Ujong di Negeri Sembilan, penerimaan Residen British oleh Sultan Pahang pada Oktober 1888, Perjanjian Bangkok 1909 yang menyaksikan Perlis, Kedah, Gerik, Kelantan dan Terengganu diserahkan kepada British oleh Siam dan penerimaan penasihat British oleh Sultan Ibrahim pada 1914 yang menyaksikan Johor berada dibawah pengaruh Inggeris.

Sepanjang era penjajahan Britain di Tanah Melayu, British telah memajukan Tanah Melayu dari pelbagai aspek ekonomi, politik dan sosial. British telah memperkenalkan sistem perlombongan bijih timah moden, pengenalan kepada tanaman pertanian komersil serta pembinaan jalan – jalan raya dan jalan keretapi. Banyak bandar – bandar baru telah dibangunkan oleh British, antaranya ialah Georgetown, Taiping, Ipoh, Teluk Intan, Kuala Lumpur, Seremban dan Kuantan. Bandar – bandar ini telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran negeri dan pusat aktiviti ekonomi bagi sesebuah negeri. Dengan penyediaan sistem jaringan jalanraya dan jalan keretapi antara negeri – negeri, telah menyebabkan berlakunya kepesatan pembangunan di Tanah Melayu.

Kerajaan British juga telah memperkenalkan pelbagai undang – undang bagi tujuan untuk melicinkan proses pentadbiran dan pembangunan di Tanah Melayu. Kebanyakkan undang – undang yang diperkenalkan oleh Britain adalah berasaskan kepada Undang – Undang Inggeris dan Undang – Undang India. Walaubagaimanapun, pentadbiran Inggeris dalam konteks pembangunan di Malaysia adalah tertumpu kepada kawasan – kawasan yang mempunyai faedah ekonomi kepada Kerajaan Kolonial Inggeris. Manakala kawasan – kawasan pendalaman yang tidak mempunyai faedah ekonomi kepada British tidak diberi perhatian. Akibatnya berlaku kemunduran dikalangan masyarakat kawasan pendalam yang mana kebanyakkannya adalah terdiri dari golongan petani Melayu. Masyarakat Melayu tidak diberi peluang untuk melibatkan diri di dalam aktiviti – aktiviti perlombongan bijih timah dan tanaman komersil, sebaliknya kekal mengamalkan aktiviti – aktiviti pertanian tradisi.

Dengan pengenalan Undang – Undang Rizab Melayu pada tahun 1913, tumpuan pembangunan ekonomi adalah tertumpu di kawasan – kawasan pendalaman yang kebanyakkannya didominisikan oleh Masyarakat Melayu. British mengamalkan dasar “Pecah dan Perintah” dengan harapan masyarakat Bumiputera tidak dapat bercampur dengan golongan pendatang yang terdiri dari kaum Cina, India dan Eropah.

Awal Kemerdekaan (1957 – 1970)

Negara telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Harapan pemimpin – pemimpin awal untuk memajukan ekonomi negara pada awal kemerdekaan adalah melalui pembukaan tanah – tanah pertanian baru melalui Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (Felcra) yang mana kedua – dua projek ini adalah untuk menggalakkan penglibatan masyarakat Melayu di dalam aktiviti pertanian komersil yang dahulunya dimonopoli oleh kaum pendatang.

Manakala bagi kaum Cina, pembukaan kampung – kampung baru oleh Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu adalah untuk menghalang anasir Parti Komunis Malaya dari meresapi ke dalam masyarakat Cina. Oleh yang demikian, banyak kawasan – kawasan petempatan Felda dan kampung – kampung baru Cina telah dibuka sepanjang dekad – dekad 1950’an dan 1960’an yang seterusnya menjadi sebuah kawasan perbandaran moden pada masa kini.

Semasa zaman awal kemerdekaan, ekonomi Persekutuan Tanah Melayu masih lagi bergantung kepada amalan ekonomi yang ditinggalkan oleh British seperti aktiviti perlombongan bijih timah dan tanaman komersil. Pada 16 September 1963, Sabah, Sarawak dan Singapura telah menyertai Persekutuan Tanah Melayu dan dikenali dengan nama Malaysia. Namun wilayah – wilayah yang baru menyertai Malaysia masih lagi berpegang kepada amalan ekonomi penjajah British. Hanya beberapa bandar sahaja yang wujud di Sabah dan Sarawak seperti Kuching dan Kota Kinabalu (Jesselton) yang merupakan pusat pentadbiran British di Sabah dan Sarawak, Labuan dan Miri. Manakala Singapura kekal sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa yang diwarisi oleh Kerajaan Kolonial Britain. Walaubagaimanapun, Singapura telah keluar dari Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965 dan menjadi sebuah republik.

Walaubagaimanapun, perbezaan sosio-ekonomi masyarakat Malaysia telah mengakibatkan berlakunya Rusuhan Kaum pada 13 Mei 1969 yang disebabkan oleh perasaan tidak puashati antara kaum Melayu dan Cina yang mengakibatkan negara diisytiharkan darurat. Walaubagaimanapun, masalah ini dapat diatasi melalui penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang bertujuan untuk memulihkan situasi negara dan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai jalan penyelesaian ke atas masalah ketidaksamaan sosio-ekonomi masyarakat di Malaysia.

Zaman Dasar Ekonomi Baru (1970 – 1990)

Terdapat 2 matlamat utama di dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia. Sebelum berlakunya tragedi 13 Mei, masyarakat berbilang kaum di Malaysia dikenali melalui sistem ekonomi yang diamalkan oleh mereka hasil dari dasar “Pecah dan Perintah” yang diperkenalkan oleh Kerajaan Kolonial Inggeris. Sepanjang tempoh DEB dari tahun 1970 hingga 1990, terdapat beberapa program memajukan sosio-ekonomi masyarakat Malaysia melalui pembukaan tanah – tanah pertanian baru, kawasan – kawasan pertanian, pembukaan bandar – bandar baru dan sebagainya.

Felda dan Felcra telah merancakkan lagi proses pembangunan ekonomi negara melalui penglibatan golongan Bumiputera dan Bukan Bumiputera di dalam memajukan ekonomi mereka melalui skim pertanian moden. Penubuhan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri bagi menyediakan kemudahan infrastruktur dan perbandaran baru juga menggalakkan penglibatan semua kaum di dalam memajukan ekonomi di kawasan – kawasan perbandaran dan petempatan baru. Proses ini menggalakkan pergaulan kaum – kaum secara harmoni dan aman damai serta mengamalkan sistem ekonomi yang lebih luas tanpa mengekalkan amalan ekonomi tinggalan Penjajah Inggeris. Ekonomi negara mula berkembang dan banyak bandar – bandar baru telah dibangunkan seperti Shah Alam, Seri Manjung, Tanjung Malim, Kajang, Port Dickson, Sungai Petani dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, kemajuan ekonomi dan pembangunan negara telah digugat disebabkan oleh kemelesetan ekonomi yang melanda negara pada tahun – tahun 1984 dan 1985 akibat dari pergantungan terhadap sektor pertanian dan perlombongan. Langkah pemulihan telah diperkenalkan melalui Dasar mempelbagaikan Ekonomi. Hasilnya banyak kawasan – kawasan perindustrian baru telah dibuka seperti di Mak Mandin, Seremban, Shah Alam, Seberang Perai, Kuantan dan sebagainya.

Masa Kini (1990 hingga sekarang)

Ekonomi moden negara telah bermula sebaik sahaja tamat Dasar Ekonomi Baru yang mana telah menyaksikan negara menuju ke arah sebuah negara maju dan negara perindustrian selaras dengan dasar Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1991.

Dasar ini telah menyaksikan banyak kawasan – kawasan baru telah dibuka dan tidak hanya untuk sektor pertanian dan perindustrian sebaliknya menjadi sebuah pusat tumpuan ekonomi komersil. Antaranya pembukaan Putrajaya pada tahun 1995, pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, pembinaan Menara Berkembar Petronas sebagai pusat bandaraya Kuala Lumpur, projek Lebuhraya Utara-Selatan yang menghubungkan Bukit Kayu Hitam di Utara dan Johor Bahru di selatan, pembangunan bandar – bandar di kawasan luar bandar seperti Kuala Kubu, Sabak Bernam, Nilai, Puchong, Segamat, Pasir Gudang, Kerteh, Sungai Petani, Seri Iskandar, Kerian dan sebagainya. Kesemua bandar – bandar tersebut bertindak sebagai nukleus untuk menyediakan kemudahan ekonomi dan sosial bagi masyarakat di kawasan sekitarnya.

Walaubagaimanapun, kestabilan ekonomi negara diuji sekali lagi masalah kemelesetan ekonomi pada tahun 1997 yang menyaksikan nilai matawang negara jatuh merudum akibat dari spekulasi matawang antarabangsa yang dipelopori oleh George Soros. Walaupun diasak dengan masalah ketidaktentuan ekonomi, negara masih mampu membangun dan mengatasi masalah kemelesetan ekonomi.

Pada tahun 2007, Perdana Menteri Malaysia yang kelima iaitu Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah memperkenalkan koridor – koridor pembangunan ekonomi seluruh negara dengan harapan untuk memacu kemajuan ekonomi negara berasaskan kepada sumber – sumber sedia ada dan terdapat di dalam lingkungan koridor ekonomi. Antaranya ialah Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang merangkumi negeri – negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) dan Wilayah Ekonomi Sabah. Manakala koridor ekonomi sedia ada adalah di Lembah Klang yang merangkumi kawasan – kawasan Gombak, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang yang bertindak sebagai fasilitator bagi memajukan negara.

Kesemua koridor – koridor ekonomi ini akan memajukan ekonomi bagi masyarakat luar bandar yang mana sebahagian besarnya adalah dari kalangan orang Melayu. Dengan ini, pembangunan koridor ini akan dapat dimanfaatkan oleh golongan tersebut di dalam memajukan sosio-ekonomi mereka. Manakala bandar – bandar dan pekan – pekan yang sedia ada terdapat di dalam wilayah ekonomi tersebut akan dinaiktaraf dan dimajukan mengikut keperluan bagi wilayah ekonomi berkenaan. Selepas ini tidak akan wujud masalah ketidakseimbangan pembangunan ekonomi dan wilayah di dalam negara menjelang mencapai hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.

Cabaran Pembangunan Negara

Antara cabaran – cabaran yang akan dihadapi oleh negara di dalam membangunkan kawasan adalah seperti berikut :-

a) Kesediaan masyarakat untuk maju dari pelbagai aspek politik, ekonomi dan sosial

Dalam hal ini, kesediaan itu harus dilihat bagi kelompok masyarakat yang tinggal di kawasan – kawasan pendalaman. Ini adalah kerana, mereka telah mengamalkan aktiviti – aktiviti dan sistem ekonomi tradisi yang telah diamalkan sejak dari dahulu lagi. Tingkatan golongan masyarakat yang sukar untuk menerima aliran pembangunan adalah dari kalangan golongan tua yang mana adalah sukar untuk mereka mengubah cara hidup mereka dari pelbagai aspek kehidupan seharian mereka. Oleh yang demikian, teknik mendekatkan hati kepada mereka harus dimulakan agar golongan ini mampu untuk menerima aliran kemajuan dan pembangunan di kawasan petempatan tradisi mereka. Perlu dijelaskan jenis – jenis manfaat yang akan diterima dan faedah ekonomi yang dapat dikongsi oleh ahli – ahli keluarga dan masyarakat sekelilingnya.

b) Masalah Perhubungan Kaum

Masalah ini telah wujud sejak sekian lama yang untuk mewujudkan satu hubungan yang baik antara kaum telah digerakkan sejak dahulu lagi. Masalah ketidakpercayaan dan perasaan syak wasangka antara kaum masih lagi wujud meskipun insiden Tragedi 13 Mei telah lama berlalu. Masalah ini paling ketara wujud antara masyarakat Melayu dan Cina. Ini adalah kerana masyarakat Melayu tradisi dan ortodok masih beranggapan bahawa kaum Cina akan cuba menguasai ekonomi, politik dan sosial mereka sebagaimana yang telah mereka saksikan di Pulau Pinang dan Singapura yang mengakibatkan masyarakat Melayu tidak diberi peluang untuk maju dan terlibat di dalam pelbagai aspek kehidupan. Oleh yang demikian, kerajaan haruslah mewujudkan sebuah jawatankuasa perhubungan kaum serta mewujudkan kerjasama ekonomi yang erat antara kaum – kaum tersebut agar mereka dapat bekerjasama serta memajukan ekonomi bagi kepentingan bersama. Kerjasama yang baik antara kaum ini mampu untuk mewujudkan perpaduan kaum serta saling bekerjasama antara satu sama lain tanpa wujud perasaan syak wasangka antara satu sama lain.

c) Masalah tanah – tanah yang tidak ekonomik

Tanah – tanah yang tidak ekonomik adalah meliputi kawasan paya, kawasan berbukit – bukau dan kawasan – kawasan bekas lombong yang sukar untuk dimajukan. Kawasan – kawasan ini menjadi terbiar dan tidak diusahakan. Ini adalah kerana kawasan – kawasan ini tidak mempunyai kepentingan dan kegunaan yang mampu untuk dimanfaatkan. Bagi tanah – tanah yang terletak di kawasan perbandaran atau tumpuan ekonomi tidak mempunyai masalah, tetapi isunya di kawasan luar bandar. Oleh yang demikian, kerajaan seharusnya mencari mekanisma yang terbaik bagi mengatasi masalah tanah – tanah yang tidak ekonomik bagi dibangunkan dan dimajukan dengan sektor yang lebih ekonomik serta memberi faedah kepada masyarakat.

d) Masalah keadaan ekonomi yang tidak menentu

Masalah kenaikan harga pasaran minyak antarabangsa dan kenaikan harga – harga barangan juga menyumbang ke arah kesukaran kerajaan untuk mewujudkan pembangunan seimbang seluruh negara. Masalah ini menjadi lebih rumit pada masa kini serta menyebabkan kerajaan perlu mencari langkah – langkah penyelesaian bagi mengatasi masalah berkenaan. Akibatnya berlaku jurang yang tinggi meliputi aspek sosio-ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar di Malaysia. Oleh yang demikian, kerajaan perlu mencari langkah yang bijak dan beransur – ansur untuk mewujudkan suasana yang elok di dalam menggerakkan dasar pembangunan ekonomi kawasan melalui koridor – koridor ekonomi yang telah dilancarkan dengan menggunakan sumber – sumber yang sedia ada. Proses pembangunan perlu dijalankan tetapi keperluan hendaklah diberi kepada sektor – sektor yang mempunyai nilai yang tinggi serta dapat menjana pendapatan yang lebih baik.

e) Perubahan iklim politik negara

Pilihanraya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 yang lalu telah menyaksikan kerajaan pemerintah di Malaysia iaitu Barisan Nasional telah mengalami kekalahan yang terus di 5 buah negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Akibatnya, dasar – dasar dan perancangan pembangunan bagi negeri – negeri yang berada dibawah kekuasan Pembangkang iaitu Pakatan Rakyat terganggu. Kerajaan baru Pakatan Rakyat mempunyai agendanya yang tersendiri di dalam memajukan negeri dan yang pasti tidak semua dasar dan perancangan yang telah dirangka oleh kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional dapat dilaksanakan di negeri – negeri terbabit. Perbezaan fahaman politik antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat juga menyumbang ke arah perbezaan fahaman dan dasar pembangunan dan perancangan negeri yang mengakibatkan rakyat menjadi mangsa yang tersepit akibat dari masalah perbezaan ideologi parti – parti politik tersebut.

Kesimpulan

Secara amnya, pembangunan negara boleh dibahagikan kepada beberapa aspek yang meliputi pembangunan fizikal, ekonomi, sosial, politik dan persekitaran. Oleh yang demikian, bagi mencapai hasrat negara untuk menjadi sebagai sebuah negara yang maju pada masa akan datang, beberapa cabaran dan halangan harus diatasi dan dilalui. Walaupun negara telah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, namun masih terdapat masalah dan isu ketidakseimbangan pembangunan yang wujud di dalam negara. Perbezaan ini seolah – olah dilihat sebagai tinggalan legasi penjajah yang masih diwarisi oleh kerajaan pada masa kini.

Kemajuan pelbagai kemudahan infrastruktur dan fizikal walaupun telah dibangunkan namun terdapat kelemahan dan masalahnya yang tersendiri. Oleh yang demikian, dengan mengambil langkah – langkah dan kaedah yang dilalui oleh sesetengah negara lain bukanlah satu langkah penyelesaian yang baik. Oleh yang demikian, persefahaman oleh kerajaan memerintah sama ada dari kalangan Parti Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat dan rakyat harus diberi pertimbangan sewajarnya demi keamanan dan kesejahteraan rakyat di dalam negara.

Kemajuan dan pembangunan ekonomi merupakan teras utama di dalam memajukan kawasan di dalam negara. Oleh yang demikian, setiap sumber ekonomi haruslah dimanfaat dan diberi perhatian agar kemajuan dan kemakmuran kawasan di dalam negara dapat menjana pendapatan sama ada kepada rakyat dan negara akan dapat berterusan selama – lamanya dan dapat diwarisi oleh generasi – generasi akan datang.

Tiada ulasan: