Isnin, 16 Jun 2008

WILAYAH EKONOMI KORIDOR UTARA (NCER) SECARA AM

Pendahuluan

Sejajar dengan harapan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara perindustrian menjelang tahun 2020 serta untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang telah dimasyhurkan oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1991. Kini Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah mentadbir negara sejak Oktober 2003 cuba untuk merealisasikan cabaran untuk mencapai Wawasan 2020. Oleh yang demikian, beberapa inisiatif telah diperkenalkan dan dijalankan oleh pihak kerajaan bagi memastikan Wawasan 2020 yang ingin dicapaikan dimulakan langkah – langkah awalannya.

Wilayah Ekonomi merupakan satu pendekatan yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi memastikan semua rakyat Malaysia dapat sama – sama menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara melalui bidang – bidang serta sumber – sumber yang ada di dalam negara. Sebelum pengenalan beberapa koridor ekonomi oleh Kerajaan Malaysia, tumpuan pembangunan perindustrian dan kemajuan sesebuah kawasan adalah berdasarkan kepada faktor – faktor seperti pembangunan semula bandar – bandar warisan tinggalan Kolonial Inggeris seperti di Taiping, Kuala Lumpur, Seremban, Klang, Pulau Pinang, Butterworth, Melaka, Labuan, Kuching dan sebagainya. Kemudian proses perbandaran dan pembangunan diperluaskan ke beberapa kawasan pembangunan baru yang diwujudkan sejak era tahun – tahun 1960’an, 1970’an dan 1980’an seperti pembukaan Bandaraya Shah Alam, Seri Manjung, Batu Pahat, Kuala Terengganu, Kuantan dan sebagainya.

Sejak Wawasan 2020 diperkenalkan pada tahun 1991, beberapa projek mega telah dibangunkan seperti Pembukaan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Cyberjaya, Pasir Gudang, Sungai Petani dan lain – lain. Pembinaan lapangan terbang yang serba lengkap iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebagainya.

Wilayah – wilayah pembangunan ekonomi berasaskan kepada koridor mula diperkenalkan oleh Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi pada tahun 2007 dengan perasmian Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor Bahru, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan terkini sekali ialah Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE). Kesemua koridor – koridor ekonomi yang telah diperkenalkan oleh kerajaan adalah bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran ekonomi negara, peningkatan pendapatan masyarakat tempatan melalui penglibatan mereka di dalam aktiviti ekonomi, menggalakkan penanaman modal oleh pelabur – pelabur asing dan sebagainya.

Dengan ini adalah diharapkan pembentukan dan pembangunan koridor – koridor ekonomi mampu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Wawasan 2020

Wawasan 2020 merupakan cetusan idea yang dikeutarakan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 28 Februari 1991 semasa Perlancaran Majlis Perdagangan Malaysia melalui kertas kerja beliau yang bertajuk “Malaysia – Melangkah ke Hadapan”. Tujuan Wawasan 2020 diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian dan maju pada tahun 2020. Ia tidak hanya memberi tumpuan ke arah pembangunan ekonomi negara semata – mata tetapi meliputi politik, sosial, kerohanian, psikologi dan perpaduan kaum dan masyarakat. Pada ketika itu, semua kaum – kaum di Malaysia tidak lagi dikenali mengikut kaum asal tetapi dikenali sebagai bangsa Malaysia.

Objektif utama Wawasan 2020 adalah untuk mengatasi segala bentuk cabaran dan halangan yang mungkin wujud yang mana ianya dianggap sebagai cabaran untuk mencapai wawasan berkenaan. Di dalam Wawasan 2020, terdapat 9 cabaran utama, antaranya ialah :-

1. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

2. Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.

3. Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.

4. Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.

5. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.

6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.

7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.

8. Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.

9. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Latarbelakang Wilayah Ekonomi Koridor Utara

Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) adalah merangkumi 4 buah negeri – negeri utara Semenanjung Malaysia yang terletak di Pantai Barat. Negeri – negeri tersebut adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara. Diantara keempat – empat negeri yang terlibat dengan NCER, Pulau Pinang merupakan negeri yang maju di dalam bidang perindustrian, manakala negeri – negeri lain pula mempunyai teras ekonomi pertanian yang menjadi tunjang kepada ekonomi bagi negeri – negeri yang terlibat. Berdasarkan kepada kajian yang telah dibuat oleh penyelidik – penyelidik sebelum ini, negeri – negeri Perlis, Kedah dan Perak Utara merupakan negeri – negeri yang mempunyai paras kemiskinan yang tinggi.

Oleh yang demikian, bagi mengimbangkan pembangunan ekonomi bagi negeri – negeri berkenaan, maka kewujudan koridor ekonomi ini sedikit sebanyak akan membantu negeri – negeri ini untuk maju dan membangun dengan Pulau Pinang bertindak sebagai hab bagi penghasilan barangan yang berasaskan kepada sumber – sumber yang dikeluarkan oleh negeri – negeri lain.

Objektif utama penubuhan NCER adalah seperti berikut :-

a) Komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membantu wilayah ini untuk memaksimumkan potensi ekonominya dan merapatkan jurang pembangunan dan pendapatan di antara kawasan yang berbagai di Malaysia.

b) Ekonomi Malaysia bermatlamat untuk bergerak ke arah aktiviti ekonomi yang lebih tinggi nilai tambahnya dan berasaskan ilmu pengetahuan untuk terus meningkatkan lagi pendapatan per kapita.

Wilayah Ekonomi Koridor Utara mempunyai banyak sumber – sumber ekonomi tempatan yang belum dikomersilkan. Antaranya adalah seperti berikut :-

a) Jelapang Padi yang terdapat di Kedah, Seberang Perai dan Kerian yang boleh menjana penghasilan sumber makanan bagi rakyat Malaysia. Tanaman padi banyak terdapat di sekitar kawasan berkenaan dan menjadi sumber pendapatan bagi masyarakat yang tinggal di negeri – negeri berkenaan. Kebanyakan tanaman padi yang dijalankan di sekitar kawasan berkenaan adalah berbentuk tanaman secara kecil – kecilan dan bukan berbentuk perladangan.

b) Perindustrian Elektrik dan Elektronik merupakan teras perindustrian utama yang terdapat di sekitar Seberang Perai dan Pulau Pinang. Banyak kilang – kilang yang berteraskan kepada Elektrik dan Elektronik didirikan dan dimajukan di Pulau Pinang.

c) Penanaman Kelapa Sawit dan Getah. Perak Utara mempunyai banyak kawasan perladangan kelapa sawit di sekitar Daerah Kerian dan Larut, Matang dan Selama. Ia banyak diusahakan oleh syarikat perladangan Sime Darby sejak sekian lama.

d) Perlancongan merupakan sektor yang paling banyak terdapat di Koridor Utara seperti Pulau Peranginan Pulau Langkawi, Padang Besar, Bukit Kayu Hitam, Hutan Simpan Lembah Belum, Kuala Kangsar, Taiping, Georgetown dan sebagainya. Tempat – tempat pelancongan ini mampu mernarik ramai pelancong sama ada dari dalam atau luar negeri untuk mengunjungi tempat tersebut. Dengan ini pembangunan ekonomi pelancongan di Koridor Utara dapat dikomersilkan secara besar – besaran.

e) Pertanian Buah – Buah Tempatan boleh juga didapati di Koridor Utara seperti buah mempelam Sala di Perlis dan durian di Perak Utara dan Pulau Pinang. Sektor ini kurang dikomersilkan kerana permintaannya adalah terhad dan berasaskan kepada musim semata – mata.

f) Seni Kraftangan paling banyak boleh didapati di Kuala Kangsar yang mana daerah ini terkenal dengan perusahaan Labu Sayong yang dijalankan di kawasan desa oleh masyarakat tempatan. Seni ini boleh dijadikan sebagai cenderamata bagi pelancong – pelancong yang datang ke daerah ini. Sektor ini boleh dikomersilkan melalui insentif dan dorongan dari kerajaan untuk kemajuan ekonomi pengusahanya yang terdiri daripada masyarakat Bumiputera.

Sektor Utama Koridor Utara

Di dalam menjayakan pembangunan koridor ini, terdapat sumber utama yang akan diberi keutamaanya di dalam perlaksanaan program ini. Antaranya ialah :-

a) Pertanian : mengukuhkan sektor huluan dan membangunkan sektor hiliran.
b) Pembuatan : memajukan sektor ke tahap yang lebih inovasi.
c) Pelancongan : menjadikan destinasi yang terpilih taraf antarabangsa.
d) Infrastruktur : meningkatkan rangkaian pengangkutan, menyokong pertumbuhan ekonomi.
e) Modal Insan : mempertingkatkan tahap kemahiran selaras dengan permintaan pasaran.
f) Alam Sekitar : melindungi dan memelihara demi pembangunan yang mampan.

Wawasan Koridor Utara
(Dari laman web http://www.ncer.com.my)

Wawasan Koridor Utara adalah untuk menjadi wilayah ekonomi bertaraf dunia menjelang tahun 2025, di mana sektor E&E, pertanian, pelancongan dan bioteknologi adalah di antara sebilangan sektor ekonomi utama yang terbaik di dunia. Melalui penyediaan suasana perniagaan yang sesuai, Koridor Utara akan menjadi satu destinasi pilihan bagi peniaga asing dan tempatan untuk melabur, manakala penekanannya terhadap pembangunan sosial, infrastruktur masyarakat dan integriti alam sekitar akan menjadikannya tempat pilihan utama rakyat Malaysia dan warga asing untuk bekerja, belajar, melancong dan menetap.

Justeru itu, misi program pembangunan Koridor Utara adalah untuk membantu Wilayah ini mencapai wawasannya, dengan mengenal pasti peluang yang berpotensi dari segi komersil dan melaksanakan inisiatif-inisiatif strategik yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia untuk:

a) Mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan pendapatan melalui program-program yang menjana kuntungan
b) Mencapai pembangunan yang seimbang dalam semua sektor, daripada pertanian ke perindustrian
c) Meningkatkan modal insan untuk memenuhi keperluan pasaran dunia yang berdaya saing
d) Meningkatkan pelaburan sektor swasta dan Inisiatif Pembiayaan Swasta

Daerah Koridor Utara dan Kedudukan Bandar Gabungan Utama

Merujuk kepada Rangka Tindakan Sosioekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara 2007 – 2025, terdapat 5 koridor utara yang terkandung di dalam Rancangan Pembangunan Koridor Utara. Antaranya ialah Koridor Pulau, Koridor Pesisiran Pantai, Koridor Tengah, Koridor Pedalaman dan Koridor Butterworth-Kulim-Baling-Pengkalan Hulu-Grik.

Koridor Utara

Koridor ini meliputi Pulau Langkawi dan Pulau Pinang. Ini adalah kerana kedua – dua pulau ini mempunyai nilai dari aspek pelancongan disamping kemudahan prasarana yang bertaraf antarabangsa. Kedua – dua pulau ini juga mempunyai kemudahan pusat pengangkutan yang merangkumi pelabuhan laut dan lapangan terbang antarabangsa iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Langkawi. Dengan adanya infrastruktur tersebut, pulau – pulau ini akan memberi tumpuan terhadap aktiviti – aktiviti pelancongan dan pengedaran perkhidmatan. Perkhidmatan perubatan juga akan dapat dipromosikan melalui kaedah – kaedah bagi pemantapan perhubungan udara ke IMT-GT dan rantau lain di dunia.

Pulau Pinang akan mengekalkan asas perkhidmatan pendidikannya dan juga aktiviti – aktiviti pembuatan Elektrik dan Elektronik (E&E). Pulau Pinang bersama – sama Seberang Perai akan kekal menjadi sebuah entiti yang bersifat pemacu logistik utama Koridor Utara. Pembaikan pelabuhan, jalan – jalan, pembesaran lapangan terbang dan pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua akan memudahkan perkhidmatan pergi-balik dari Seberang Perai.

Koridor Pesisir Pantai

Koridor Pesisiran Pantai yang terletak di puncak utara adalah pintu masuk Padang Besar ke Selatan Thailand. Di Kangar, perkhidmatan pendidikan adalah merupakan aktiviti – aktiviti utama yang mempunyai jalinan perhubungan ke Arau dan Sintok. Bandar – bandar di Kuala Muda dan Kuala Kedah akan memberi tumpuan terhadap aktiviti perikanan terutama sekali perikanan laut dalam dan aktiviti – aktiviti pemprosesan makanan laut. Perlancongan pesisiran pantai dan aktiviti – aktiviti akuakultur laut akan ditonjolkan di kampung – kampung nelayan dan bandar yang lebih kecil.

Bandar Yan akan digunakan sebagai kompleks petrokimia untuk Koridor Utara. Rancangan – rancangan awal adalah untuk membina kilang penapis petroleum dan kemudahan simpanan di kawasan tersebut. Ke arah selatan, Butterworth akan mengambil peranan sebagai pintu masuk utama bagi kemudahan logistik perkapalan utama untuk ke Koridor Utara. Koridor Pesisiran Pantai mengunjur melalui Nibong Tebal, Simpang Empat dan Bagan Serai yang pada umumnya merupakan pusat – pusat berasaskan pertanian.

Koridor Tengah

Koridor Tengah mempunyai ciri yang unik iaitu mempunyai laluan Lebuhraya Utara-Selatan yang menghubungkan Johor Bahru di Selatan Malaysia dan Bukit Kayu Hitam di Utara Malaysia. Bagi Koridor Utara, laluan ini menghubungkan Wilayah Utara dari Bandaraya Ipoh dengan Pekan Bukit Kayu Hitam yang merupakan sebuah pekan di negeri Kedah yang bersempadanan dengan Thailand. Aktiviti utama bagi kawasan ini adalah merangkumi koridor pembuatan dari Butterworrth/Kulim ke Gurun. Sub-sektor E&E dan pemasangan automatif kekal sebagai aktiviti – aktiviti pembuatan zon ini. Kamunting merupakan sebuah kelompok perusahaan terutamanya untuk aktiviti industri kecil dan sederhana (IKS) yang terlibat di dalam membekalkan syarikat – syarikat E&E atau aktiviti pertanian hiliran. Koridor Tengah dijangka akan diperkukuhkan dengan cadangan pembinaan projek landasan keretapi berkembar dan perkhidmatan komuter serta pelebaran jalan – jalan di beberapa kawasan yang menghala ke pelabuhan dan lapangan terbang.

Pertanian akan menjadi aktiviti utama yang akan dipromosikan di sekitar laluan Lebuhraya Utara-Selatan terutama sekali ke arah kawasan pedalaman. Estet – estet industri yang kurang digunakan akan ditukar menjadi taman – taman pertanian bagi produk – produk premium seperti pengeluaran ikan hiasan, florikultur, pengeluaran benih yang diperakui dan kelompok – kelompok pemprosesan makanan.

Koridor Pedalaman

Koridor ini meliputi dari kawasan Kota Putra dan berakhir di Kuala Kangsar. Aktiviti – aktiviti utama adalah berasaskan sektor pertanian yang merangkumi pertanian komersil, estete – estet buah – buahan dan penternakan haiwan. Koridor ini merangkumi zon pengeluaran makanan berasaskan kepada lanskap pertaniannya yang bersesuaian.

Sebahagian besar kawasan ini merupakan hutan asli yang kritikal untuk keperluan kawasan air tawar Koridor Utara. Kawasan ini akan dipelihara dan dipromosikan sebagai tarikan eko-pelancongan. Koridor Pedalaman juga menjadi pintu masuk kedua ke Selatan Thailand, terutama sekali Pengkalan Hulu. Aktiviti – aktiviti pelancongan akan dipromosikan di sini dan di sepanjang tanah tinggi di Tasik Pedu. Ini akan diperkukuhkan lagi dengan pelurusan, pelebaran dan pembinaan lebuhraya pedalaman Trans-Kedah.

Kerja – kerja perluasan jalan yang menghubungkan Grik-Jeli merupakan satu lagi langkah strategik yang penting di dalam pengembangan perdagangan dengan negeri – negeri Pantai Timur. Di dalam peringkat perancangan, jalan perhubungan yang sedia ada akan dinaiktaraf dan diikuti dengan pembinaan landasan keretapi yang baru sebaik sahaja perkhidmatan lalulintas barangan dan perkhidmatan meningkat.

Koridor Butterworth-Kulim-Baling-Pengkalan Hulu-Grik

Koridor ini adalah bersifat sebagai alat perhubungan logistik yang menghubungkan Pusat Logistik Butterworth dengan kawasan perusahaan utama di Kulim. Dalam jangkamasa yang panjang, koridor ini dijangka akan memainkan peranan yang penting di dalam pembukaan Koridor Kelantan dan Pantai Timur melalui pengukuhan jalan Grik-Jeli dan/atau pembinaan landasan keretapi. Jalan – jalan besar Timur-Barat di sepanjang koridor ini akan dipertingkatkan bagi tujuan untuk memperbaiki laluan perhubungan Timur-Barat.

Bidang Tumpuan Sektor Ekonomi Mengikut Negeri

Merujuk kepada Buletin Peladang Edisi 3/2007, ringkasan bagi bidang tumpuan sektor ekonomi telah diringkaskan di dalam tajuk “Fakta Mengenai Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER(” yang mana sumber utamanya adalah dari akhbar Berita Harian. Antaranya adalah seperti berikut :-

Perlis
· Depoh kontena darat
· Pembangunan Bandar Sempadan
· Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Biji Benih
· Pembinaan jalan pesisir pantai dari Kuala Perlis ke Kedah
· Kluster buah – buahan bermusim
· Pelancongan agro di Sungai Batu Pahat
· Pendidikan di Kangar dan Arau

Kedah
· Pelancongan sempadan di Kota Putra dan Bukit Kayu Hitam
· Perikanan di Kuala Kedah dan Kuala Muda
· Pusat pembuatan di Yan, Gurun, Sungai Petani dan Kulim
· Pelancongan kesihatan dan antarabangsa di Langkawi
· Pelancongan eko dan sejarah di Merbok
· Pelancongan keluarga dan riadah tasik di Kuala Nerang
· Pusat Pertanian di Kota Star, Pokok Sena, Kuala Ketil, Kuala Nerang, Pedu, Sik, Baling dan Bandar Baharu
· Pendidikan di Sintok, Kota Star, Sungai Petani dan Bandar Baharu
· Menaiktaraf sistem pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)
· Lebuhraya Trans Eastern Hinterland dari Baling ke Kota Putra
· Projek monorel yang disambung dari seberang Perai ke Kulim dan Sungai Petani
· Projek jalan pesisir pantai

Pulau Pinang
· Industri pembuatan di Butterworth dan Kepala Batas
· Pertanian di Nibong Tebal
· Pelancongan kesihatan dan antarabangsa di Georgetown
· Pusat logistik dan lapangan terbang di Georgetown
· Pusat bandaraya Penang City Centre
· Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas
· Pendidikan di Georgetown, Butterworth dan Kepala Batas
· Projek monorel di Georgetown dan Batu Kawan yang menghubungkan Sungai Petani dan Kulim
· Terminal pengangkutan bersepadu di Butterworth Central
· Melaksanakan system pengangkutan awam RapidPenang
· Pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua
· Pelebaran Jambatan Pulau Pinang

Perak Utara
· Pelancongan sempadan di Pengkalan Hulu
· Industri pembuatan di Kamunting, Taiping dan Ipoh
· Pertanian di Belum/Temenggor, Lenggong, Kuala Kangsar, Bukit Merah, Bagan Serai dan Grik
· Projek Penyambungan Lebuhraya Timur-Barat (Grik-Jeli) ke kluster elektrik dan elektronik (E&E) di Taiping
· Projek ternakan moden di Selama
· Pusat Herba untuk pembangunan bioteknologi di Belum

Aktiviti Ekonomi Semasa Koridor Utara

Pertanian merupakan aktiviti ekonomi utama di negeri – negeri utara yang mana ia melibatkan 21.7% gunatenaga kerja di Perlis, 19% bagi negeri Kedah, 18% bagi negeri Perak dan 1.4% bagi negeri Pulau Pinang. Aktiviti – aktiviti pertanian utama bagi kawasan Koridor Utara adalah merangkumi penanaman padi, penanaman tanaman – tanaman komersil seperti kelapa sawit, getah dan tebu dan penanaman buah – buahan dan sayur – sayuran. Daripada sejumlah 800,000 hektar kawasan pertanian utama, hampir 42% dari kawasan pertanian ini adalah untuk tanaman padi sebagai sumber makanan ruji, lebih kurang 49% bagi tanaman kelapa sawit, getah sebanyak 3% dan tanaman tebu pula sebanyak 3%.

Kebanyakkan golongan petani yang tinggal di kawasan Utara Semenanjung Malaysia adalah terdiri daripada masyarakat golongan petani yang mempunyai pendapatan yang rendah terutama sekali di kawasan – kawasan seperti Pendang, Baling dan sebagainya jika dibandingkan dengan pekerja – pekerja dari sektor lain. Masalah ini adalah berpunca daripada kadar pengeluaran tanaman yang rendah dan juga disebabkan oleh beberapa faktor asas.

Matlamat kerajaan adalah untuk menjadikan Koridor Utara sebagai zon pengeluaran makanan moden negara melalui kaedah inovasi yang berasaskan penemuan oleh pakar – pakar saintis yang kemudiannya digunapakai dan dikomersilkan oleh pihak industri dengan berdasarkan kepada piawaian antarabangsa dan dipasarkan ke pasaran domestic serta luar negara.

Kelebihan – Kelebihan Koridor Utara sebagai Zon Makanan Moden

Berikut adalah kelebihan – kelebihan yang terdapat bagi Koridor Utara untuk menjadi sebuah Zon Makanan Moden. Antaranya ialah :-

a) Keluasan Tanah yang diperuntukkan dan digunakan untuk aktiviti pertanian.

Terdapat kira – kira 40% daripada keluasan Koridor Utara (iaitu 932,581 hektar) telah diklasifikasikan untuk kegunaan pertanian. Daripada jumlah itu, sebanyak 595,615 hektar adalah digunakan untuk tujuan penanaman padi, tebu, kelapa sawit dan getah. 167,598 hektar kawasan adalah digunakan untuk penanaman padi iaitu mewakili 64% daripada jumlah kawasan penanaman padi di Semenanjung Malaysia.

Daripada 932,581 hektar tanah yang dikelaskan untuk kegunaan pertanian dan kira – kira 100,000 hektar merupakan tanah terbiar. Tanah terbiar ini mempunyai potensi untuk digiatkan semula. Terdapat sesetengah kawasan di utara seperti Perlis yang mempunyai musim kering dan hujan yang ketara. Cirri iklim ini telah menjadikan kawasan – kawasan ini sesuai untuk tujuan penanaman buah – buahan seperti mangga dan juga dijadikan sebagai tapak untuk menguji ketahanan biji benih.

b) Kewujudan Masyarakat Petani.

Kesemua negeri – negeri yang terlibat dengan koridor ini kecuali Pulau Pinang mempunyai kira – kira 20% penduduk bagi setiap negeri terlibat di dalam sektor pertanian seperti penanaman padi, buah – buahan serta sayur – sayuran. Penglibatan ini agak tinggi yang mana ia menunjukkan bahawa penduduk yang sedia ada mempunyai pengetahuan dan amat biasa dengan amalan – amalan pertanian terutama sekali amalan pertanian tradisional. Amalan ini boleh dipertingkatkan melalui pengenalan kepada beberapa program yang dinyatakan di dalam Rangka Kerja Tindakan ini.

c) Sokongan dari Institusi – Institusi bagi Aktiviti Penanaman Padi.

Terdapat beberapa institusi di kawasan Koridor Utara yang membantu golongan penaman – penanam padi melalui penyediaan pelbagai jenis benih padi yang lebih baik, bermutu tinggi dan peningkatan produktiviti melalui pengurusan sawah padi yang lebih efektif. Pada masa kini, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) memiliki 3 kawasan jelapang padi di Koridor Utara. Antara peranan dan sokongan yang diberi adalah seperti berikut :-

i. MADA di Kedah telah mengurus sistem pengairan di kawasan jelapang MADA dan menyediakan subsidi bagi meningkatkan hasil padi selaras dengan program “Projek 10 tan”.
ii. IADP Pulau Pinang dan Kerian telah menjalankan kerja – kerja menambahbaik infrastruktur penanaman padi seperti sistem pengairan, penyediaan subsidi baja dan juga memberi khidmat nasihat bagi meningkatkan tahap kemahiran petani.

Kewujudan institusi – institusi pertanian tersebut telah banyak menyediakan mekanisma sedia ada bagi menyalur rancangan – rancangan peninngkatan yang akan diperkenalkan melalui rangka kerja tindakan ini.

Cabaran – Cabaran Utama Sektor Pertanian di Koridor Utara

Antaranya ialah :-

a) Meningkatkan Skala Aktiviti – Aktiviti Pertanian

Selain daripada tanaman komersil yamng diusahakan oleh syarikat – syarikat perladangan, kebanyakkan aktiviti pertanian yang dijalankan oleh pekebun – pekebun kecil, terutama sekali penanaman padi dan penternakan. Padi biasanya ditanam oleh pekebun – pekebun kecil dalam kawasan seluar 1.06 hektar (secara purata). Ia berbeza dengan negara – negara lain seperti Australia yang mana kawasan seluas 400 hektar telah diperuntukkan dan dimajukan oleh sebuah keluarga.

Pertanian pada skala kecil – kecilan telah menyebabkan berlakunya ketidakcekapan, peningkatan kos pengeluaran serta penghasilan keluaran menjadi tidak konsisten. Akhirnya hasil pengeluaran dan pendapatan menjadi rendah dan berlakunya penghadan keupayaan petani untuk membuat pelaburan yang dapat meningkatkan produktiviti tanah seperti sistem pengurusan air dan jentera.

b) Penambahbaikan Sistem Pengedaran dan Pemasaran

Isu – isu yang berkaitan dengan pemasaran hasil – hasil pertanian telah wujud dan disebabkan oleh pertanian berskala kecil. Ini telah mengakibatkan berlakunya ketidakupayaan bagi membekal hasil – hasil pada kuantiti, kekerapan dan mutu yang konsisten. Oleh itu, petani – petani serta penternak – penternak kurang berupaya untuk membekal terus hasil berkenaan kepada pasaraya mega, pasaraya biasa, pengilang ataupun peruncit yang akan memastikan permintaan berterusan terhadap hasil pertanian mereka. Kebanyakkan petani – petani memasarkan hasil – hasil pertanian mereka melalui pasar – pasar tempatan, pasar tani, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) atau orang tengah yang tidak dapat memberi harga atau kadar pembelian yang tetap.

c) Peningkatan Terhadap Penggunaan Teknologi dan Amalan Pertanian yang baik

Kadar penggunaan teknologi serta amalan agronomi dikalangan petani masih lagi rendah walaupun terdapat bantuan yang diberi oleh kerajaan dari segi khidmat nasihat berhubung dengan amalan pertanian moden, teknologi serta benih yang berkualiti melalui pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad dan MADA. Ini adalah antara faktor yang membawa kepada masalah kadar pengeluaran yang rendah seperti kaedah “tabur terus” yang biasanya diamalkan oleh petani tradisi. Tahap kemahiran teknikal yang rendah ini juga menjejaskan keupayaan petani untuk mencapai piawaian antarabangsa seperti Amalan Pertanian Terbaik (GAP).

Selain daripada pertanian padi, penternakan kecil – kecilan juga biasanya tidak mematuhi piawaian antarabangsa seperti Gred Kesihatan Veterinar (VHM), Analisis Risiko dan Tanda Kawalan Kritikal (HACCP) serta Amalan – Amalan Penternakan Terbaik (GAHP) yang disebabkan oleh kurangnya kesedaran dan keupayaan petani untuk memenuhi syarat – syarat yang telah ditetapkan. Dengan ini, ia akan mengurangkan potensi untuk pengeksportan hasil – hasil pertanian dan merumitkan lagi isu – isu pemasaran hasil pertanian.

d) Meningkatkan dan Menambahbaikkan Infrastruktur

Had jangkauan sistem pengairan dan pengurusan air adalah salah satu daripada faktor yang mengakibatkan hasil pengeluaran pertanian menjadi rendah di Koridor Utara. Walaupun menggunakan benih – benih padi yang berkualiti tinggi. Oleh itu, penambahbaikan sistem pengairan dan pengurusan air akan menjadi salah satu dari inisiatif utama bagi meningkatkan hasil pertanian terutama sekali untuk tanaman padi.

Kawasan sawah padi yang berada dibawah pengurusabn MADA dan IADP menerima saliran tetapi terdapat sebanyak 40,000 hektar sawah padi yang berada di luar skop agensi – agensi tersebut yang tidak mempunyai kemudahan sistem pengairan yang baik. Ini telah menyebabkan pergantungan terhadap air hujan yang hanya mampu menampung 1 kitaran tanaman setahun dan penghasilan kadar pengeluaran adalah terhad kepada 3 tan sahaja atau kurang daripada itu.

Kesimpulan

Wilayah Ekonomi Koridor Utara merupakan salah satu daripada pelan tindakan kerajaan bagi mengatasi masalah ekonomi dikalangan petani – petani terutamanya masyarakat Melayu yang merupakan penduduk majoriti di negeri – negeri Perlis, Kedah dan Perak Tengah. Masalah ketidakseimbangan ekonomi wujud terutama sekali bagi kawasan – kawasan Koridor Utara yang terletak di kawasan pendalaman. Meskipun mempunyai sumber ekonomi, namun masalah sumber ekonomi yang tidak dimajukan dan dimodenkan yang mengakibatkan hasil – hasil tersebut adalah terhad untuk kegunaan petani dan ahli keluarganya.

Perlaksanaan NCER ini juga mampu bagi mengatasi masalah penduduk – penduduk di Utara Semenanjung Malaysia bagi mendapatkan kemudahan dan penaiktarafan prasarana sesuai dengan kawasan – kawasan maju yang lain di Malaysia seperti di Lembah Klang dan Johor Bahru. Aksesibiliti antara kawasan lain dengan Koridor Utara telah dimajukan sejak sekian lama lagi dengan siapnya Lebuhraya Utara-Selatan pada tahun 1994 yang telah meningkatkan keupayaan kawasan – kawasan utara untuk berhubung dengan tempat – tempat lain di Malaysia.

Berdasarkan kepada tinjauan tidak rasmi, Perlis, Kedah dan Perak Utara mempunyai keluasan tanah Rizab Melayu yang banyak yang mana tanah – tanah ini telah diperuntukkan sejak dari zaman penjajahan Inggeris lagi untuk penghasilan makanan asasi bagi masyarakat Melayu. Namun zaman telah berganti, amalan pertanian oleh masyarakat tradisi Melayu masih belum berubah dan kadar penghasilannya adalah sedikit. Oleh itu dengan adanya Koridor Utara ini, ia sedikit sebanyak akan menggalakkan masyarakat Melayu tradisi untuk mengubah amalan pertanian mereka kepada corak yang lebih moden serta mampu menjana pulangan hasil pengeluaran pertanian yang lebih tinggi.

Peranan negeri Pulau Pinang sebagai mentor dan hab bagi sektor perindustrian terutamanya di dalam sektor Elektrik dan Elektronik yang pastinya memerlukan sumber mentah boleh mendapatkannya dari negeri – negeri dalam lingkungan Koridor Utara. Perak Utara merupakan negeri utama bagi hasil tanaman komersil terutamanya kelapa sawit mampu untuk menyediakan sumber bahan mentah bagi keperluan perindustrian di Pulau Pinang.

Negeri – negeri Utara mempunyai banyak laluan pintu masuk sempadan yang mana di Perlis mempunyai pintu sempadannya di Padang Besar, Kedah di Bukit Kayu Hitam dan Wang Kelian, Perak di Pengkalan Hulu dan Pulau Pinang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas mampu menjana kemajuan eko-pelancongan bagi Koridor Utara. Dengan penglibatan Malaysia di dalam Kawasan IMT-GT bersama – sama Indonesia dan Thailand akan dapat merancakkan lagi pembangunan ekonomi di Koridor Utara.

Rujukan

Rangka Tindakan Sosio-ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara 2007 – 2025. Sime Darby (2007)

Percetakan Nasional Berhad (2007) : Rang Undang – Undang Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara 2007.

Pertubuhan Peladang Kawasan Changloon : Buletin Peladang Edisi 3/2007.

Laman Web Wilayah Ekonomi Koridor Utara : http://www.ncer.com.my

Tiada ulasan: