Rabu, 25 Jun 2008

TANAH RIZAB MELAYU : PIHAK – PIHAK YANG BERKEPENTINGAN DI DALAM PERENCANAAN DAN MASA DEPANNYA

1.0 Pendahuluan

Tanah Rizab Melayu merupakan salah satu aset yang terpenting bagi menunjukkan keberlangsungan bangsa Melayu menjadi tuan di Tanah Melayu. Bermula pada tahun 1900 yang mana Kerajaan Kolonial Inggeris telah memperkenalkan “Malay Agriculture Settlement” melalui peruntukkan dibawah Enakmen Tanah Selangor 1897 bagi menyediakan satu kemudahan tanah untuk kegunaan pertanian bagi masyarakat Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur. 13 tahun kemudian, Kerajaan Kolonial British telah mewartakan Enakmen Rizab Melayu 1913 setelah melihat masyarakat Melayu pada ketika itu ghairah membuka tanah – tanah hutan dan seterusnya menjual kepada saudagar – saudagar asing untuk tujuan perlombongan bijih timah dan perladangan tanaman komersil seperti tanaman getah dan kelapa sawit yang mula diperkenalkan di Tanah Melayu.

Bagi memperkukuhkan lagi kekuatan perundangan Tanah Rizab Melayu, Badan Perundangan Kolonial British bagi Negeri – Negeri Melayu Bersekutu (FMS) telah memansuhkan Enakmen Rizab Melayu 1913 dan digantikan dengan Enakmen Rizab Melayu (Negeri – Negeri Melayu Bersekutu Bab 142) 1933. Setelah itu, negeri – negeri Melayu Tidak Bersekutu seperti Negeri Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor telah mewartakan enakmen – enakmen Rizab Melayu bagi tujuan melindungi kepentingan tanah bagi orang – orang Melayu.

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, undang – undang Tanah Rizab Melayu telah diperkukuhkan lagi di dalam Perlembagaan Persekutuan melalui peruntukkan dibawah Fasal 89 dan menjadi sebahagian daripada hak keistimewaan Melayu. Namun, perkara yang menjadi isu di dalam memaju dan membangunkan Tanah Rizab Melayu ialah kerana tanah – tanah ini mempunyai urusan terbatas berbanding dengan tanah – tanah yang bukan dikategorikan sebagai Rizab Melayu. Akibatnya tanah – tanah Rizab Melayu menjadi tidak laku atau sukar untuk dibangunkan kerana sekatan yang wujud terhadap pemilikan dan urusniaganya.

2.0 Sektor Ekonomi Zaman Kolonial British

Perlombongan bijih timah dan pengenalan kepada sektor tanaman komersil mula menjadi aktiviti utama Kerajaan Kolonial Inggeris semasa zaman pertengahan. Ini adalah kerana, sektor perindustrian telah berkembang di Great Britain yang mana banyak kilang – kilang perindustrian telah dibangunkan oleh Kerajaan British. Penjajah British mula membuat penjelajahan dan penaklukan terhadap negara – negara luar bagi tujuan untuk mendapatkan bahan mentah bagi memenuhi keperluan industri perkilangan dan perindustrian di United Kingdom. Malaysia atau pada ketika itu dikenali sebagai Tanah Melayu telah menjadi sebahagian dari tanah jajahan Inggeris yang pada mulanya digunakan sebagai tapak pelabuhan bagi mengawal aktiviti perdagangan di Asia Tenggara.

Namun, tumpuan terhadap industri perlombongan bijih timah telah mula mendapat perhatian pihak Kolonial Inggeris dimana kawasan lombong bijih timah telah mula dibuka di sekitar Larut, Kuala Lumpur dan Lembah Kinta. Menurut sejarah, bijih timah telah ditemui oleh Dato’ Long Jaafar pada tahun 1848 di Lembah Larut yang mana ia telah menyaksikan ramai pelombong – pelombong bijih yang terdiri dari kaum Cina telah berhijrah dan mengerjakan lombong – lombong bijih timah. British telah mula campurtangan dalam hal ehwal dalaman negeri Perak dan akhirnya termeterai Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 yang mana Sultan Abdullah telah diminta untuk menerima Residen British. Bermula dari saat itu, Perak telah menjadi “Protectorate State” oleh Kerajaan Inggeris. Kemudian diikuti Selangor melalui Perang Klang 1, 2 dan 3 dan menyaksikan British mula mencampuri urusan dalaman Selangor sehingga membawa kepada penerimaan Residen British oleh Sultan Selangor pada tahun 1877.

Sektor pertanian komersil mula diperkenalkan oleh British pada tahun 1877 apabila tanaman getah telah mula ditanam di Kuala Kangsar oleh Sir HN Ridley. Ladang – ladang getah mula dibuka di Tanah Melayu oleh syarikat – syarikat perladangan Inggeris seperti Guthrie dan Sime Darby (kemudiannya menjadi Syarikat Malaysia pada tahun 1981). Tenaga kerja bagi ladang – ladang getah telah dibawa khusus dari India melalui Sistem Kangany dan Kontrak yang dikendalikan oleh Kerajaan Inggeris. Pada masa yang sama, India merupakan tanah jajahan British.

Tanaman kelapa sawit telah diperkenalkan oleh Penjajah British pada tahun 1917 yang mana Rantau Panjang, Selangor telah dijadikan kawasan perladangan pertama bagi penghasilan tanaman kelapa sawit. Buruh – buruh dari India telah dibawa masuk bagi mengerjakan tanaman kelapa sawit yang menjadi komoditi ekonomi utama Kerajaan British di Malaya.

Oleh kerana permintaan terhadap tanah – tanah bagi tujuan perlombongan dan tanaman komersil telah menggalakkan masyarakat Melayu di Tanah Melayu untuk membuka tanah – tanah hutan dan kemudiannya dijual kepada saudagar – saudagar lombong dan syarikat – syarikat perladangan Barat. Berdasarkan kepada scenario berkenaan, pihak British telah melihat sekiranya aktiviti masih berterusan, maka masyarakat Melayu tidak akan mempunyai tanah dan akhirnya terpaksa merempat di tanahair sendiri. Oleh itu, atas inisiatif Badan Perundangan Kolonial British, maka Enakmen Rizab Melayu 1913 telah diwartakan bagi tujuan melindungi kepentingan Melayu sebagai anak watan di Tanah Melayu.

Meskipun Kerajaan Inggeris memperkenalkan dan mewartakan Tanah Rizab Melayu bagi tujuan melindungi kepentingan Melayu, tanah – tanah yang dirizabkan tersebut tidak semua sesuai untuk tujuan pertanian tradisi bagi masyarakat Melayu.

3.0 Sikap Pemilik Tanah oleh Melayu semasa era penjajahan British

Sekitar tahun – tahun 1900 hingga 1930, sektor ekonomi di Tanah Melayu berada dalam kemuncak yang mana banyak sektor – sektor ekonomi telah diperkenalkan oleh British bagi kepentingan industri perkilangannya di Britain. Oleh yang demikian, permintaan tanah – tanah mempunyai hasil bumi yang tinggi serta subur telah menjadi perhatian utama oleh saudagar – saudagar lombong dan syarikat – syarikat perladangan Eropah.

Masyarakat Melayu pada ketika itu lebih bersifat material semata – mata dan sanggup membuka tanah – tanah baru untuk dijual kepada golongan pendatang bagi kepentingan ekonomi mereka. Kawasan – kawasan tanah yang telah dibuka telah menjadi sebuah kawasan perbandaran dan petempatan yang moden hasil daripada kemajuan sektor pertanian dan perlombongan berkenaan. Golongan pendatang juga menawarkan harga yang tinggi kepada masyarakat Melayu yang memiliki tanah bagi tujuan kemajuan ekonomi zaman kolonial. Akibatnya banyak kawasan – kawasan hutan telah dibuka dan dijual. Boleh dikatakan pada masa lalu, masyarakat Melayu mempunyai banyak tanah, namun keadaan tersebut mula berubah apabila banyak tanah – tanah milik masyarakat Melayu telah jatuh ke tangan Bukan Melayu.

Akhirnya, kawasan petempatan Melayu yang dahulunya terletak di dalam kawasan Bandar telah berubah ke kawasan pendalaman yang tidak mempunyai kelengkapan yang serba lengkap dan daif. Ekonomi masyarakat Melayu hanyalah berdasarkan aktiviti ekonomi tradisi. Ini adalah kerana kawasan – kawasan petempatan komersil yang dahulunya milik Melayu telah jatuh ke tangan pendatang.

4.0 Jenis Kegunaan Tanah bagi Tanah Rizab Melayu

Tanah – tanah yang telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu telah dikhususkan kegunaannya seperti berikut :-

a) Tanaman Padi : tanaman ini merupakan sumber makanan utama bagi masyarakat Melayu sejak dari zaman dahulu. Tujuan British mengekalkan kegunaan tanah tersebut bagi maksud tanaman padi adalah untuk menjamin pengeluaran beras bagi kegunaan masyarakat Melayu dan pendatang Asia yang lain. Namun aktiviti pertanian padi dijalankan secara kecil – kecilan dan tidak dibuat dalam bentuk perladangan sebagaimana yang diamalkan di ladang – ladang getah dan kelapa sawit.

b) Tanaman Buah – Buahan : dikhususkan untuk tanaman buah – buahan tempatan seperti durian, rambutan, manggis dan sebagainya sebagai sumber ekonomi utama bagi masyarakat Melayu. Ini adalah kerana, hasil tanaman ini akan dijual kepada pembeli melalui pasar – pasar yang disediakan secara khusus.

c) Kampong : Kegunaan ini adalah merujuk sebagai sebuah petempatan tradisi bagi masyarakat Melayu yang terletak di kawasan pendalaman. Petempatan ini akan mengekalkan nilai tradisi Melayu bagi memberi peluang mengamalkan adat dan amalan keagamaan mereka secara bebas. Selain itu juga, British ingin terus mengekalkan dasar “Pecah dan Perintah” dan tidak menggalakkan masyarakat Melayu untuk berkomunikasi dan bergaul dengan kaum – kaum Cina dan India yang mungkin akan menyebabkan kekuasaan British di Tanah Melayu tergugat.

5.0 Pihak yang mempunyai kepentingan dalam Tanah Rizab Melayu

Di dalam membincangkan kepentingan yang wujud di dalam pemilikan Tanah Rizab Melayu di Malaysia, secara amnya, ia boleh dibahagikan kepada 2 bentuk iaitu secara langsung dan tidak langsung. Pemilik tanah itu sendiri adalah merujuk kepada pihak yang mempunyai kuasa pemilikan dan penentu terhadap Tanah Rizab Melayu. Manakala bentuk tidak langsung adalah merujuk kepada pihak – pihak yang telah diberi kuasa untuk merangka dan merancang masa depan dan keperluan Tanah Rizab Melayu. Pihak – pihak ini telah diberi amanah dalam bentuk kuasa sama ada secara terus atau tidak terus untuk membuat, menggubal dan memansuhkan apa – apa perkara berkaitan dengan Tanah Rizab Melayu termasuklah perundangan yang telah dikuatkuasakan sejak 75 tahun tersebut. Pihak – pihak yang mempunyai peranan secara tidak langsung ialah Ketua Kampung, Penghulu Mukim, Pegawai Daerah, Ahli – Ahli Politik, Orang Besar Jajahan, Pihak Berkuasa Negeri, Kerajaan Persekutuan, Ahli – Ahli Dewan Rakyat dan Raja Dalam Majlis.

a) Pemilik Berdaftar

Pemilik berdaftar adalah merujuk kepada pemilik sama ada yang telah menerima pemberimilikan tanah oleh pihak berkuasa negeri melalui peruntukkan dibawah Seksyen 42, Akta Kanun Tanah Negara 1965 ataupun penerima milikan tanah melalui pemberian secara pusaka atau penerima pindahmilik tanah. Pemilik Tanah dilindungi haknya sebagai pemilik tanah dan pemilikannya adalah tidak boleh disangkal sebagaimana yang termaktub di dalam Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Selain itu, nama pemilik berdaftar adalah tertera di dalam sama ada muka surat ketiga (penerima pemberimilikan tanah yang pertama) atau mukasurat ketiga adalah dijamin haknya. Di dalam sistem pentadbiran tanah di Malaysia, terdapat 2 dokumen hakmilik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri iaitu Dokumen Hakmilik Daftar yang disimpan di Pejabat Tanah atau Pejabat Pendaftar Hakmilik dan Dokumen Hakmilik Keluaran yang disimpan oleh pemilik berdaftar.

Dalam konteks Tanah Rizab Melayu, biasanya pemilik – pemilik berdaftar bagi tanah – tanah Rizab adalah terdiri dari orang perseorangan atau perbadanan – perbadanan Melayu sebagaimana yang diperuntukkan dibawah Enakmen – Enakmen Rizab Melayu. Pemilik berdaftar mempunyai kebebasan terhadap penggunaan tanah yang dimilikinya yang diakui sah dari segi undang – undang. Akan tetapi kebebasan pemilik tanah tersebut adalah tertakluk kepada syarat dan penggunaan tanah sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam dokumen hakmilik. Pemilikan tanah oleh pemilik berdaftar tersebut adalah juga dijamin dibawah Fasal 13 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan :-

Hak keatas Harta

a) Tiada seseorang pun yang dilucutkan hak ke atas hartanya sebagaimana yang diperuntukkan di dalam undang – undang,

b) Tiada suatu pun undang – undang yang boleh mengambil tanah tersebut atau menggunakannya secara paksaan melainkan dibayar dengan sejumlah pampasan yang munasabah.

b) Ketua Kampung

Dalam konteks kampung tradisi di Malaysia, sesebuah petempatan tradisi Melayu di kawasan pendalaman akan diketuai oleh seorang Ketua Kampung. Pemilihan Ketua Kampung boleh dibuat sama ada melalui perlantikan secara langsung dari pihak berkuasa negeri atau melalui proses pemilihan dari kalangan penduduk kampung tersebut. Tugas utama Ketua Kampung adalah untuk mengurus dan mentadbir pentadbiran dan keselamatan kampung, menjaga kebajikan dan ketenteraman penduduk – penduduk kampung yang berada di dalam pentadbirannya dan menyampaikan segala maklumat atau makluman yang disampaikan oleh pentadbiran Mukim, Daerah dan Negeri.

Dalam konteks pentadbiran Ketua Kampung di Malaysia, Ketua Kampung biasanya mempunyai hubungan yang baik dengan Penghulu Mukim, Pegawai Daerah, Ahli – Ahli Politik yang memenangi Pilihanraya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pihak Berkuasa Negeri. Oleh yang demikian, sedikit sebanyak ia akan boleh menyampaikan kehendak dan keperluan kampung yang berada dibawah pentadbirannya bagi tujuan pembangunan dan kemajuan dari aspek politik, ekonomi dan sosial.

c) Penghulu Mukim

Penghulu Mukim merupakan anggota Perkhidmatan Awam Negeri yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri. Jawatan Penghulu Mukim dikenali sebagai jawatan Penolong Pegawai Tadbir (Penghulu) (N27). Fungsi dan peranan Penghulu Mukim adalah tertakluk kepada dasar perkhidmatan awam negeri yang sedang digunapakai dan bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran di dalam Mukimnya yang terdiri daripada kampung – kampung yang berada di dalam kawasan pentadbiran Mukim.

Penghulu Mukim mempunyai hubungan pentadbiran dan pengurusan dengan Pegawai Daerah di Pejabat Daerah bagi sesebuah pentadbiran daerah mukim berkenaan. Penghulu Mukim juga akan mempengerusikan mesyuarat dikalangan ketua – ketua kampung yang berada di dalam pentadbiran mukimnya bagi menyampaikan hasrat dan cadangan kemajuan dan pembangunan daerah supaya ianya dapat disampaikan ke kawasan – kawasan yang berada di dalam pentadbirannya.

d) Pegawai Daerah

Dalam konteks Negeri Perak, seseorang Pegawai Daerah yang dilantik bagi mengetuai pentadbiran daerah adalah dari kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang dilantik melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan. Peranan Pegawai Daerah adalah untuk mengkoordinasikan perancangan dan cadangan kemajuan dan pembangunan daerah melalui dasar – dasar yang telah diperkenalkan sama ada di peringkat Negeri atau Persekutuan. Pegawai Daerah tidak mempunyai kuasa secara langsung di dalam memaju dan membangunkan sesebuah petempatan. Ini adalah kerana penglibatan dan peranan pihak berkuasa tempatan di dalam menentukan perancangan dan pembangunan kawasan melalui Pelan Struktur dan Pelan Tempatan yang telah diluluskan melalui Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang merupakan Jentera Pentadbiran Utama Kerajaan Negeri.

e) Ahli – Ahli Politik (merujuk kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri)

Di dalam membincangkan peranan ahli – ahli politik di dalam merancang dan membangunkan kawasan – kawasan kampung tradisi Melayu yang sebahagian besarnya terdiri dari tanah – tanah Rizab Melayu, terdapat 2 jenis ahli politik iaitu Parti Pemerintah dan Parti Pembangkang. Namun terdapat perbezaan antara Ahli Parlimen (AP) yang mewakili rakyat di Dewan Rakyat di Persekutuan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kemungkinan sebagai wakil rakyat biasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau ahli Exco Kerajaan Negeri.

AP dan ADUN adalah terdiri daripada individu – individu yang dipilih oleh rakyat melalui proses pilihanraya. Peranan utama AP dan ADUN adalah untuk membawa suara dan hasrat rakyat ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri bagi diberi perhatian oleh Jentera Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Biasanya ahli – ahli politik ini sangat berpengaruh dan mempunyai hubungan dengan pelbagai pihak bagi kepentingan kawasan yang diwakilinya. Bagi AP dan ADUN yang mempunyai portfolio sama ada di peringkat Negeri atau Persekutuan, mereka ini mempunyai peranan dan penglibatan di dalam merangka sesuatu dasar atau rang undang – undang bagi kepentingan politik, ekonomi dan sosial.

Walaubagaimanapun, persepsi dan pandangan berhubung dengan penyelesaian permasalahan dan pembangunan bagi tanah – tanah Rizab Melayu adalah berdasarkan kepada kepentingan masyarakat Melayu itu sendiri, negeri, parti politik dan negara. Namun ia bergantung kepada keikhlasan dan kejujuran AP dan ADUN di dalam mentadbir kawasan yang diwakilinya atau semangat kebangsaannya di dalam membela bangsa Melayu.

f) Orang Besar Jajahan (OBJ)

Orang Besar Jajahan (OBJ) merupakan satu jawatan yang berbentuk feudal dan aristokrat yang masih diamalkan di negeri Perak. Pada masa dahulu, OBJ merupakan pembesar – pembesar kerajaan yang dilantik oleh Sultan Perak yang mana jawatan ini adalah bersifat warisan. Sebelum Britain menjajah Malaysia, fungsi dan peranan OBJ adalah hampir sama dengan fungsi dan peranan Pegawai Daerah yang merupakan satu jawatan yang telah diperkenalkan oleh British dan masih digunapakai sejak Sistem Persekutuan diperkenalkan pada tahun 1897.

Fungsi dan peranan OBJ pada masa kini lebih bersifat untuk menjaga kepentingan Adat Istiadat Melayu dan Agama Islam. Oleh kerana Tanah Rizab Melayu merupakan salah satu keistimewaan orang – orang Melayu dan menjadi tugas utama OBJ di peringkat Jajahan untuk melindungi dan mempertahankan Tanah Rizab Melayu. Perisytiharan dan perlantikan kuasa adalah diberi oleh Sultan.

g) Pihak Berkuasa Tempatan

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah merujuk kepada majlis perbandaran dan daerah yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mentadbir kawasan pentadbiran tempatan. Pihak Berkuasa Tempatan telah diperuntukkan kuasanya dibawah Akta Kerajaan Tempatan 1976. Di dalam organisasi pentadbiran PBT, terdapat jabatan – jabatan atau bahagian – bahagian yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan penyelenggaraan kawasan PBT. Terdapat sesetengah kawasan Tanah Rizab Melayu yang berada di dalam pentadbiran PBT. PBT diketuai oleh Yang Dipertua atau Presiden yang merupakan Pegawai Daerah bagi konteks negeri Perak. Walaubagaimanapun, perjalanan organisasi PBT dilaksanakan oleh Setiausaha Majlis. Manakala ahli – ahli Majlis adalah terdiri daripada anggota – anggota parti politik yang mentadbir negeri yang dipilih melalui Pilihanraya Umum atau Pilihanraya Kecil. Piliharaya Pihak Berkuasa Tempatan telah digantung sejak dari 1970.

Fungsi dan peranan PBT adalah tertakluk kepada dasar dan perancangan pembangunan kemajuan yang telah dirangka oleh pihak berkuasa negeri. PBT banyak terlibat di dalam mengezon dan meluluskan cadangan pembangunan bagi kawasan – kawasan yang berada di dalam pentadbirannya. Walaubagaimanapun, cadangan pengezonan kawasan Rizab Melayu biasanya dikhususkan kegunaannya untuk pertanian sebagaimana yang telah dikawal dibawah enakmen – enakmen Rizab Melayu.

h) Pihak Berkuasa Negeri

Pihak Berkuasa Negeri (PBN) juga dikenali sebagai Kerajaan Negeri yang mana jentera pentadbirannya akan diketuai oleh Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). Perlantikan Menteri Besar dan Barisan Exco adalah melalui proses pilihanraya yang mana keahliannya adalah dari parti politik yang memenangi pilihanraya. Keanggotaanya adalah terdiri dari Ahli – ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti pemerintah.

PBN bertanggungjawab untuk mengorganisasikan pentadbiran negeri meliputi perancangan dan pembangunan negeri dan rakyat dari aspek politik, ekonomi dan sosial. PBN juga bertanggungjawab merangka dasar dan cadangan perundangan bagi pembangunan negeri berdasarkan kepada keperluan rakyat dan keadaan semasa.

i) Kerajaan Persekutuan

Kerajaan Persekutuan adalah dibentuk melalui undang – undang tubuhnya iaitu Perlembagaan Persekutuan yang mula dikuatkuasakan sejak 31 Ogos 1957. Jentera Pentadbiran Persekutuan diketuai Perdana Menteri dan menteri – menteri kabinet yang dipilih yang juga merupakan ahli – ahli Parlimen yang dipilih melalui Pilihanraya untuk mewakilkan rakyat di Dewan Rakyat.

Kerajaan Persekutuan melalui kementerian – kementeriannya berperanan untuk merangka dasar dan perancangan dan pembangunan negara bagi faedah rakyat dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Namun peranan dan kuasa Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai impak besar terhadap perubahan dasar bagi tanah – tanah Rizab Melayu.

j) Ahli – Ahli Dewan Rakyat

Ahli – ahli ini adalah terdiri daripada ahli – ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat di Dewan Rakyat yang mana pemilihan mereka adalah melalui Pilihanraya. Mereka terlibat di dalam menyampaikan suara rakyat untuk kepentingan politik, ekonomi dan sosial mereka. Mereka juga mempunyai kuasa untuk membahas apa – apa cadangan dan rang undang – undang untuk faedah dan kepentingan negara. Ahli – ahli Dewan Rakyat adalah terdiri dari kelompok parti pemerintah, pembangkang dan bebas. Bagi meluluskan sesuatu usul bagi sesuatu cadangan dan rang undang – undang yang dibawa oleh Kuasa Eksekutif, ia memerlukan majoriti 2/3 dari ahli yang hadir bagi memudahkan usul berkenaan boleh dikuatkuasakan. Mereka juga boleh menentang sebarang usul yang pada fikirannya menjejas kepentingan rakyat dan negara.

k) Raja Dalam Majlis

Raja Dalam Majlis adalah merujuk kepada Sultan, Raja dan Yang DiPertuan Besar yang merupakan Ketua Negeri – Negeri Melayu. Sebarang bentuk perwartaan dan kelulusan sesuatu usul untuk kepentingan negeri dan rakyat akan dimasyhurkan oleh Sultan/Raja/Yang DiPertuan Besar atas nasihat Menteri Besar.

Sultan/Raja/Yang DiPertuan Besar telah diberi tanggungjawab untuk melindungi dan penaung bagi Adat Istiadat Melayu dan Agama Islam bagi negerinya.

6.0 Kapitalisme vs Patriotisme

Kapitalisme adalah merujuk kepada sikap atau keinginan seseorang untuk memonopoli sesuatu ekonomi demi kepentingan peribadi atau komunitinya tanpa mengambilkira kesan yang akan berlaku. Kapitalis lebih bersifat sebagai pemodal dan mempunyai ciri – ciri amalan ekonomi “Laissez-Faire” atau pasaran bebas. Kebaikannya ialah jaminan pulangan modal yang tinggi serta terjamin dan keburukkannya pula ialah orang – orang miskin akan terus tertekan dan menjadi lebih miskin dan melarat.

Patriotisme adalah merujuk kepada semangat kebangsaan dan amat menyayangi pada bangsanya sendiri lebih dari segala – galanya. Dengan ini ia akan menghalang sebarang bentuk cubaan untuk merosakkan bangsanya dari pelbagai aspek. Namun kelemahannya ialah, masalah pencapaian bangsanya meliputi aspek politik, ekonomi dan sosial yang mungkin terus rendah berbanding dengan bangsa – bangsa lain.

7.0 Sikap Kapitalisme atau Patriotisme dikalangan Pihak – Pihak Berkepentingan

Tanah Rizab Melayu adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kerana ia merupakan salah satu daripada Hak Keistimewaan Orang – Orang Melayu yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan. Walaubagaimanapun, mengikut senario masa kini serta amalan pada masa sekarang, kebanyakkan pihak – pihak yang berkepentingan lebih bersifat kapitalis berhubung dengan kemajuan dan pembangunan tanah – tanah Rizab Melayu terutamanya yang terletak di kawasan – kawasan bandar dan mempunyai nilai yang tinggi. Persoalan yang timbul adakah mereka bersifat kapitalis, patriotisme dan “in between”?

7.1 Adakah mereka ini bersifat kapitalis?

Terdapat sesetengah pihak ini sanggup menggadai kepentingan Melayu demi keuntungan semata – mata tanpa memikirkan apa yang akan berlaku pada generasi Melayu akan datang. Antaranya ialah,

a) Pengambilan Tanah Rizab Melayu melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 tetapi dimajukan dan dibangunkan oleh Bukan Melayu

i. Mengambil mana – mana Tanah Rizab Melayu yang mempunyai nilai yang tinggi, berdayamaju terutamanya yang terletak di dalam kawasan bandar. Setelah itu mohon pertukaran syarat dan pemansuhan peruntukkan “Kawasan Simpanan Melayu”. Setelah itu menggantikannya dengan tanah – tanah baru yang “Similar in Character” yang terletak di kawasan pendalaman dan jauh dari tempat aktiviti manusia. Akibatnya masyarakat Melayu akan terus tinggal di kawasan pendalaman dan tidak mampu untuk memiliki tanah di dalam kawasan perbandaran.

ii. Bagi pemaju projek pembangunan hartanah, unit – unit hartanah yang dibangunkan diatas bekas Tanah Rizab Melayu akan dimiliki oleh sesiapa sahaja yang mampu sama ada ia adalah seorang Melayu dan Bukan Melayu serta sanggup untuk membayar hartanah tersebut pada harga yang mampu.

iii. Meskipun terdapat projek pembangunan hartanah yang telah memperuntukkan ekuiti pemilikan hartanah sebanyak 305, namun ekuiti tersebut bersifat tidak “kebal”. Pemaju berkenaan boleh memohon kepada pihak berkuasa negeri untuk membatalkan lot Bumiputera bagi memudahkan ianya dibeli oleh sesiapa sahaja. Sebagaimana yang telah kita ketahui, masyarakat Melayu mempunyai kuasa beli yang rendah jika dibandingkan dengan kaum – kaum lain di Malaysia terutamanya dari masyarakat Cina.

b) Penggubalan Dasar dan Perundangan Tanah Rizab Melayu

Kuasa untuk menggubal dasar dan perundangan Tanah Rizab Melayu adalah tertakluk kepada usul yang dibawa di Dewan Rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Proses penggubalannya memerlukan majoriti 2/3 dari keseluruhan ahli – ahli yang adil. Dengan ini kedudukan dan “kekebalan” Tanah Rizab Melayu adalah rapuh dan apa yang dikhuatiri sekiranya ahli – ahli Melayu adalah sedikit berbanding dengan ahli – ahli Bukan Melayu. Antara penggubalan yang boleh dibuat, ialah :-

i. Memansuhkan Enakmen Tanah Rizab Melayu bagi tujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak hanya berdasarkan kepada sesuatu kaum atau “Pluralism Society”. Fahaman untuk mewujudkan Malaysia sebagai “Malaysian Malaysia” sebagaimana yang telah diutarakan oleh Bekas Perdana Menteri Singapura semasa Singapura menjadi Malaysia. Kini fahaman ini dibawa oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP).

ii. Membuat pindaan terhadap Enakmen Rizab Melayu melalui proses perluasan terhadap urusniaga – urusniaga terhadap Tanah Rizab Melayu yang mana pada masa kini menghalang Bukan Melayu untuk menerima pindahmilik, cagaran dan sebagainya. Akibatnya Bukan Melayu yang mendapat faedah dan manfaat dari penggunaan Tanah Rizab Melayu.

iii. Memansuhkan Kawasan – Kawasan Rizab Melayu yang telah digazetkan atau sedia ada dan mencadangkan bagi mewujudkan satu kawasan rizab yang berkelompok bagi tujuan memindahkan kawasan tersebut ke satu kawasan yang mungkin terletak jauh di pendalaman serta merugikan pemilik – pemilik Melayu. Ia adalah berbentuk satu kelompok kepungan dengan harapan tanah – tanah tersebut yang mempunyai nilai yang tinggi untuk pembangunan tidak dihalang oleh peruntukkan enakmen – enakmen Rizab Melayu.

iv. Memansuhkan penggunaan istilah “Tanah Pegangan Melayu” bagi mana – mana tanah Rizab Melayu yang dimiliki oleh Bukan Melayu semasa perwartaan yang dibuat pada tahun 1913. Dengan ini Bukan Melayu akan boleh memanfaatkan tanah – tanah tersebut melalui penggunaan yang lebih ekonomik dan berdayamaju.
v. Tindakan sesetengah kerajaan negeri yang mengambil balik tanah – tanah Rizab Melayu melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 dan tidak menggantikan tanah – tanah tersebut juga mengakibatkan berlakunya kekurangan kouta Tanah Rizab Melayu. Kebanyakkan tanah – tanah ini diambil atas maksud pembangunan yang mana pemaju – pemaju yang terlibat di dalam memajukan tanah – tanah tersebut adalah dari kalangan Bukan Melayu. Masyarakat Melayu yang terlibat dengan pengambilan tanah hanya dibayar pampasan tetapi faedah ekonomi jatuh ke tangan Bukan Melayu.

c) Meng”Ali Baba”kan Tanah Rizab Melayu

Meng”Ali Baba”kan Tanah Rizab Melayu kepada Bukan Melayu boleh dianggap sebagai perbuatan mengkhianati bangsa yang mana tanah – tanah tersebut diberi kepada Bukan Melayu memajukan tanah tersebut melalui kaedah – kaedah berikut :-

i. Membuat satu perjanjian sulit di antara pihak – pihak yang berkepentingan dengan Bukan Melayu untuk mengusahakan Tanah Rizab Melayu dan akhirnya Bukan Melayu mendapat manfaat terhadap penggunaan tanah tersebut. Ini adalah merujuk kepada tanah – tanah Rizab Melayu yang mempunyai nilai yang tinggi dan ekonomik.

ii. Bertindak sebagai ahli Boneka di dalam sebuah organisasi atau badan yang diiktiraf sebagai Bumiputera. Namun pengoperasian organisasi atau badan tersebut dijalankan oleh Bukan Melayu. Faedah ekonomi akan jatuh ke tangan Bukan Melayu yang mendapat manfaat ke atas penggunaan tanah – tanah Rizab Melayu.

iii. Membuat pindahmilik Tanah Rizab Melayu yang berpotensi tinggi kepada Bukan Melayu secara rahsia atau sulit dengan persetujuan seorang Melayu yang lain yang menjadi pemilik “proxy” kepada Bukan Melayu. Tindakan ini boleh dianggap sebagai pengkhianat bangsa yang sanggup menggadai maruah Melayu serta memberi faedah kemajuan ekonomi kepada Bukan Melayu.

7.2 Adakah mereka bersifat Patriotisme?

Sifat – sifat patriotisme bagi mempertahankan Tanah Rizab Melayu yang mungkin wujud dikalangan pihak – pihak yang berkepentingan di dalam pemilikan dan mempertahankan Tanah Rizab Melayu adalah seperti berikut :-

i. Menyayangi Bangsa Melayu sepenuh hatinya.

Bertindak mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk memajukan dan membangunkan tanah – tanah rizab Melayu secara berkelompok bagi tujuan memajukan bangsa. Setiap pemilik berdaftar dan pihak – pihak berkepentingan seharusnya bekerjasama dan menolak perbezaan fahaman dengan harapan untuk memajukan ekonomi Melayu yang sejak dulu dinafikan sehingga kini. Tanah – tanah berkenaan dijadikan sebuah ladang berkelompok dengan mengekalkan kegunaan untuk pertanian tradisional bagi persediaan menghadapi masalah penghasilan sumber makanan asasi bagi masyarakat Asia dan khususnya kepada orang – orang Melayu. Pada masa kini, banyak pemilik – pemilik tanah lebih berminat untuk memajukan pertanian komersil yang menjanjikan pulangan yang lebih baik. Tapi hakikatnya, pertanian tradisi mempunyai nilai yang tersendiri terutama sekali apabila dunia berhadapan dengan krisis makanan pada masa kini. Kepakaran penanaman padi hanya terdapat pada orang Melayu sejak dahulu lagi, namun kepakaran tradisi haruslah dipertingkatkan melalui penggunaan jentera yang moden bagi penghasilan yang berskala besar.

ii. Mempertahankan Undang – Undang Rizab Melayu sedia ada

Dalam konteks ini, ia akan merujuk kepada penguasa dan pihak – pihak yang mempunyai kuasa untuk menggubal, membatal dan meminda undang – undang rizab Melayu yang sedia ada. Pihak – pihak ini biasanya merujuk kepada Ahli – Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Melayu yang dipilih oleh orang – orang Melayu untuk mewakilkan mereka di Dewan Rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Hanya menggunakan undi majoriti 2/3 dari ahli – ahli yang hadir, undang – undang ini boleh dibatal, digubal dan dipinda. Oleh yang demikian, ahli – ahli ini haruslah mempunyai semangat patriotisme bagi mempertahankan kedaulatan orang – orang Melayu di dalam pemilikan tanah. Sesuatu rang undang – undang boleh dikuatkuasakan setelah mendapat persetujuan ahli – ahli yang hadir setelah mendapat atau tidak perkenan dari Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong atau Sultan selepas 30 hari ianya diluluskan. Secara kasarnya, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa yang lebih tinggi berbanding dengan Sultan Melayu.

iii. Memperluaskan Jenis Penggunaan Tanah

Bagi tanah – tanah rizab Melayu yang diperuntukkan bagi kegunaan selain dari tanaman padi, pihak berkuasa negeri hendaklah memperluaskan kegunaan tanah kepada jenis penggunaan tanah yang lebih ekonomik. Ini adalah kerana, terdapat satu kajian yang dijalankan oleh Ahmad Nazri Abdullah yang mana beliau telah membuat penyelidikan ke atas Fail Pejabat Tanah Kinta (LCF 306/1924) dan Laporan Pesuruhjaya Tanah Negeri – Negeri Melayu Bersekutu kepada Setiausaha Kerajaan yang bertarikh 14 Mac 1924. Hasilnya di dapati Tanah Rizab Melayu yang sesuai untuk tujuan pertanian adalah 531,544.

Berdasarkan kepada analisis dan kajian yang dibuat oleh Ahmad Nazri Abdullah (1985), didapati bahawa 621,654 hektar tanah – tanah berkenaan adalah tidak sesuai untuk pertanian. Antaranya kawasan yang terletak di kawasan berbukit – bukau serta mempunyai kandungan tanah yang tidak mempunyai manfaat untuk keperluan pertanian. Oleh yang demikian, pihak berkuasa negeri seharusnya membenarkan pemilik – pemilik tanah tersebut untuk menukar kegunaan tanah kepada kegunaan bukan pertanian yang lebih baik dan ekonomik demi kemajuan ekonomi masyarakat Melayu.

iv. Menghalang Cubaan untuk Membatalkan Undang – Undang Rizab Melayu

Pada masa kini, telah kedengaran pelbagai isu yang cuba ditiup oleh pihak – pihak bertanggungjawab terhadap sikap Kerajaan Malaysia yang masih mengekalkan amalan sistem “Plurisme” di dalam pentadbiran negera. Penumpuan terhadap kemajuan pada satu – satu kaum yang lebih merujuk kepada masyarakat Bumiputera dan khususnya kepada orang – orang Melayu telah memberi reaksi negatif oleh masyarakat Bukan Melayu yang lain. Cubaan untuk menjadikan Malaysia sebagai “Malaysian Malaysia” telah dimulakan sejak pertengahan tahun – tahun 1960’an semasa Lee Kuan Yew menjadi salah seorang ahli politik atas tiket Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Malaysia sewaktu Singapura menjadi sebahagian Malaysia.

Punca utama Singapura disingkirkan dari Malaysia adalah disebabkan oleh kelancangan Lee Kuan Yew yang cuba mempersoalkan hak keistimewaan orang – orang Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan. Namun usaha tersebut masih diteruskan oleh saki baki ahli – ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang kemudiannya menubuhkan sebuah parti yang dikenali sebagai Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Oleh yang demikian, semua peringkat masyarakat Melayu seharusnya mempertahankan hak Melayu ke atas tanah melalui peruntukkan – peruntukkan dibawah Undang – Undang Rizab Melayu. Sebarang bentuk cubaan untuk memansuhkan undang – undang ini haruslah dihalang. Oleh itu dengan pengekalan undang – undang ini, generasi Melayu akan datang akan terus menerus mempunyai kepentingan terhadap tanah di Malaysia.

iv. Memperbanyakkan lagi keluasan tanah – tanah Rizab Melayu yang mempunyai nilai yang lebih ekonomik

Pihak berkuasa negeri (PBN) merupakan pihak yang telah diberi kebenaran dan kekuasaan untuk memperuntukkan dan merizabkan mana – mana tanah lain yang berada di dalam negeri sebagai Tanah Rizab Melayu yang baru sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Fasal 89(2), iaitu :-

Mana – mana tanah di dalam Negeri yang pada masa kini bukan Rizab Melayu sebagaimana yang diperuntukkan dibawah undang – undang sedia ada dan masih belum dibangunkan atau dicucuktanam boleh diisytiharkan sebagai Tanah Rizab Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang – undang, dengan syarat :-

a) mana – mana tanah di dalam negeri diisytiharkan sebagai Tanah Rizab Melayu dibawah Fasal ini, sebuah kawasan lain di dalam negeri yang masih belum dibangunkan atau dicucuktanam mestilah dibuka kepada pihak – pihak lain, dan

b) jumlah keluasan tanah di dalam negeri yang pada masa yang sama telah diisytiharkan sebagai Tanah Rizab Melayu dibawah Fasal ini hendaklah pada bila – bila masa tidak melebihi dari keluasan tanah negeri yang dibuka kepada pihak – pihak lain sebagaimana yang dinyatakan di dalam paragraf (a).

Walaubagaimanapun, sejak negara mencapai kemerdekaan, tidak semua negeri yang mempunyai undang – undang Rizab Melayu yang berbuat demikian kecuali negeri – negeri Kelantan yang merizabkan sebahagian besar tanah negeri sebagai Tanah Rizab Melayu, Terengganu pada tahun 1964 semasa dibawah pemerintahan Kerajaan PAS memperuntukkan tanah – tanah yang terletak di dalam kawasan bandar seluas 91.459 hektar sebagai Tanah Rizab Melayu yang sulung dan Johor telah mengazetkan semua tanah – tanah Felda sebagai Tanah Rizab Melayu. Negeri – negeri lain yang kebanyakkan terletak di Pantai Barat Semenanjung Malaysia mempunyai populasi penduduk berbilang kaum adalah sukar untuk menggazetkan tanah – tanah Rizab Melayu yang baru.

Senario politik negara telah berubah selepas Pilihanraya Umum Ke-12 yang menyaksikan parti – parti pembangkang menguasai 5 negeri. Hanya negeri Perak sahaja yang mempunyai situasi politik yang tidak menentu kerana merupakan satu – satu negeri Melayu yang dibarisi oleh exco – exco Bukan Melayu yang ramai. Walaubagaimanapun, komposisi Ahli – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi negeri Perak masih lagi mengekalkan majoriti Melayu melalui pemilihan ahli – ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang bertindak sebagai parti pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Harapan untuk mempertahankan hak – hak Melayu keatas tanah melalui Undang – Undang Rizab Melayu masih ada dan terletak pada tangan ADUN – ADUN dan ahli – ahli Parlimen Melayu sebagi wakil kepada bangsa Melayu. Daripada 59 orang ADUN yang dipilih, seramai 36 orang ADUN adalah terdiri daripada ADUN Melayu. Oleh yang demikian, harapan untuk mempertahankan Tanah Rizab Melayu masih boleh dilaksanakan oleh ADUN – ADUN berkenaan sekiranya mereka mempunyai semangat patriotisme untuk melindungi kepentingan Melayu selain dari Sultan Perak.

7.3 Mempertahankan Tanah Rizab Melayu dan dalam masa yang sama bersifat Kapitalisme untuk kepentingan Bangsa Melayu

Sifat ini adalah baik kerana mempunyai semangat patriotisme tetapi mengambil ciri – ciri kapitalisme dengan harapan untuk memajukan Tanah Rizab Melayu. Dalam konteks ini, masalah untuk mendapatkan orang Melayu yang berpatriotisme untuk mempertahankan hak Melayu dan memajukan bangsa sendiri dari pelbagai aspek politik, ekonomi dan sosial adalah sukar. Ia adalah bersifat subjektif kerana setiap manusia mempunyai naluri yang berbeza. Kaedah ini juga disebut sebagai seorang yang bersifat “in between” iaitu mengambil nilai – nilai positif dari aspek – aspek nasionalisme dan kapitalisme. Huraiannya adalah seperti berikut :-

i. Mewujud dan membangunkan kawasan Tanah Rizab Melayu dengan sebuah perbandaran baru

Mewujudkan sebuah petempatan komersil seperti bandar – bandar baru dan pekan di kawasan yang mempunyai keluasan Tanah Rizab Melayu yang luas. Ini adalah bertujuan untuk mewujudkan sebuah kawasan petempatan Melayu elit yang memiliki tanah serta memajukan tanah – tanah tersebut untuk kepentingan Melayu itu sendiri. Dalam konteks ini, masalah meng”Ali Baba”kan Tanah Rizab Melayu dapat dielakkan yang mana secara tidak langsung, ia akan menjadikan pemilik – pemilik Melayu itu sebagai taukeh bagi membekalkan keperluan dan hasil – hasil ekonomi kepada pengilang – pengilang Melayu yang juga pemilik – pemilik Tanah Rizab Melayu. Ini akan mewujudkan satu jaringan ekonomi antara Melayu yang mana hasilnya akan dapat dinikmati bersama.

ii. Mewujudkan sebuah Koperasi atau Pertubuhan Pertanian Melayu Kawasan

Bagi tanah – tanah Rizab Melayu yang mempunyai pemilik yang ramai, adalah dicadangkan agar diwujudkan sebuah koperasi atau pertubuhan ekonomi khas orang Melayu bagi tujuan untuk mengusahakan aktiviti – aktiviti pertanian makanan secara perladangan yang mana faedah dan hasil pertanian tidak hanya untuk kegunaan domestic tetapi boleh dipasarkan ke kawasan lain. Dengan ini semua pemilik – pemilik tanah tersebut akan mendapat manfaat sebagai petani dan pemilik – pemilik syer di dalam koperasi atau pertubuhan berkenaan. Pada masa kini, pertanian padi masih berada di tangan orang Melayu dan kelemahannya adalah proses pemprosesannya berada di tangan Bukan Melayu. Oleh yang demikian, koperasi atau pertubuhan tersebut haruslah mempunyai pusat pengilangannya yang tersendiri di atas tapak berkenaan tanpa perlu bergantung kepada Bukan Melayu untuk mengilangkan hasil pertanian makanan tersebut.

iii. Menyusun Semula Kompartmen Tanah – Tanah Rizab Melayu yang berselerak

Pada masa kini, banyak tanah – tanah Rizab Melayu yang berada di kawasan luar bandar berkedudukan berselerak serta mempunyai keluasan yang tidak sekata. Oleh yang demikian, pemilik – pemilik tanah berkenaan boleh memohon kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri untuk menyediakan sebuah pelan tatatur tapak yang baik serta memohon kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk menggunakan peruntukkan dibawah Seksyen 204A Akta Kanun Tanah Negara 1965 dibawah peruntukkan Serah dan Berimilik Semula Tanah. Dengan ini aktiviti – aktiviti pertanian makanan bagi masyarakat Melayu akan lebih tersusun dan sistematik serta mampu untuk menjana hasil pulangan pertanian yang maksimum.

iv. Penubuhan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)

Penubuhan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dikhususkan untuk memajukan tanah – tanah Rizab Melayu yang tidak mempunyai nilai ekonomik dan terbiar dengan harapan untuk membantu pemilik – pemilik tanah berkenaan untuk memajukan tanah tersebut kepada kegunaan yang lebih ekonomik. Komposisi pertubuhan tersebut hendaklah dinaungi oleh Pihak Berkuasa Negeri atau pihak – pihak mempunyai kepentingan di dalam melindungi kepentingan Melayu yang mana segala bentuk bantuan dapat disalurkan bagi tujuan tersebut. NGO tersebut perlulah menyediakan khidmat kepakaran dan latihan kepada pemilik – pemilik tersebut untuk mencari kaedah atau alternatif yang sesuai untuk memajukan tanah – tanah tersebut. Dengan ini masalah tanah – tanah Rizab Melayu yang tidak sesuai untuk kegunaan pertanian boleh mengubah kegunaan tanah yang boleh mendatangkan hasil ekonomi yang tinggi kepada pemilik – pemilik berkenaan.

v. Menggantikan Tanah – Tanah Rizab Melayu yang tidak sesuai untuk pertanian

Bagi tanah – tanah Rizab Melayu yang tidak ekonomik dan tidak sesuai untuk tujuan pertanian, adalah dicadangkan agar Pihak Berkuasa Negeri untuk mengambil semula tanah – tanah berkenaan untuk dijadikan sebuah kawasan hutan simpan kekal dan menggantikan tanah – tanah lain di dalam negeri yang mempunyai nilai ekonomik serta boleh dicucuk tanam. Oleh yang demikian, masalah tanah Rizab Melayu yang terbiar dan tidak ekonomik boleh diatasi. Secara tidak langsung, tanah – tanah yang baru boleh dijadikan semula aset untuk menghasilkan sumber makanan yang kian menjadi isu pada masa kini.

vi. Peranan Raja Dalam Mesyuarat

Raja Dalam Majlis (RDM) mempunyai kuasa di dalam mempertahankan Tanah Rizab Melayu melalui peruntukkan – peruntukkan yang diberi dibawah enakmen – enakmen Rizab Melayu. Meskipun perlu menerusi nasihat Menteri Besar, Raja Dalam Mesyuarat boleh menggazetkan Tanah Rizab Melayu yang baru melalui gazet sebagaimana yang telah diperuntukkan dibawah Seksyen 3 Enakmen Rizab Melayu 1933 bagi memastikan tanah – tanah Rizab Melayu di dalam negeri berkenaan bertambah. Untuk menggazetkan tanah – tanah yang baru, adalah perlu mencari tanah – tanah yang baik serta ekonomik untuk kegunaan pertanian dengan harapan rakyat yang berketurunan Melayu di dalam negeri tersebut dapat mengusahakan tanah tersebut serta menjana pulangan pendapatan kepada pemilik serta memberi faedah kepada ekonomi negeri.

Kesimpulan

Tanah Rizab Melayu merupakan benteng terakhir bagi masyarakat Melayu bagi pemilikan tanah yang mana ia merupakan aset utama bagi menjamin sumber makanan serta pendapatan bagi rakyat bagi sesebuah negeri. Tanpa tanah, masyarakat Melayu tidak mempunyai peluang lain untuk memajukan ekonomi mereka. Sebagai contoh jika dilihat kepada masyarakat Melayu di Singapura, meskipun hak dan keistimewaan mereka dijamin dibawah Fasal 152 Perlembagaan Singapura, namun soal tanah tidak menjadi jaminan kepada mereka. Akibatnya, ramai masyarakat Melayu di Singapura terpaksa menyerahkan tanah mereka kepada pihak Pemerintah. Akhirnya, dahulu masyarakat Melayu bergantung kepada tanah untuk menghasilkan pertanian makanan tetapi mereka terpaksa bekerja “makan gaji” untuk mendapatkan sumber pendapatan. Pendapatan dari sumber gaji hanya terhad untuk membeli keperluan makanan namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti peperangan dan sebagainya, bagaimanakah mereka untuk mendapat sumber makanan segera melalui penggunaan tanah – tanah untuk tujuan pertanian. Isu pemilikan tanah di Singapura yang terkini ialah pengambilan balik tanah milik pusaka Kesultanan Melayu Singapura di Kampung Gelam untuk dijadikan sebagai Taman Warisan Melayu di Singapura pada tahun 2002 lalu menunjukkan bahawa semua peringkat masyarakat Melayu tidak mempunyai hak bagi mempertahankan hakmilik tanah mereka.

Oleh itu, bagi masyarakat Melayu di negeri – negeri Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan yang masih mempunyai Undang – Undang Tanah Rizab Melayu dan Undang – Undang Tanah Adat bagi menjadi benteng terakhir bagi pemilikan tanah haruslah mempertahankan keistimewaan tanah tersebut untuk kegunaan generasi Melayu pada masa akan datang. Oleh itu, semua pihak sama ada pemilik – pemilik tanah, ahli – ahli politik, pegawai – pegawai kerajaan dan Sultan – Sultan haruslah menggunakan kuasa mereka dengan sebaik yang mungkin bagi mempertahankan ketuanan Melayu di bumi Malaysia. Setiap orang Melayu tidak seharusnya mempunyai semangat patriotisme semata – mata tetapi harus bersikap kapitalisme yang bertujuan untuk menjamin kekuasaan ekonomi orang Melayu. Jangan bersifat kapitalisme secara membabi buta tanpa memikirkan kesan yang akan berlaku terhadap generasi Melayu pada masa akan datang di dalam memajukan ekonomi bangsa pada masa hadapan.

Meskipun terpaksa berhadapan kepada isu nilai tanah Rizab Melayu yang lebih rendah dari nilai pasaran, apa yang penting tanah tersebut bukan untuk tujuan jualbeli tetapi sebaliknya digunakan untuk apa – apa aktiviti ekonomi yang boleh mendatangkan hasil pulangan yang tinggi serta menjamin kekuasaan ekonomi bagi orang – orang Melayu.

Tiada ulasan: